Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Kronikel Dunia

Bila Juara Dunia Chess Bertepuk Tangan Atas Kekalahannya

Boris
Spassky bangun dari tempat duduknya. Dia diam, dan terus berdiri. Hadirin di
dalam dewan kesemuanya diam, menunggu apa yang bakal terjadi seterusnya.

“Clap,
clap”, bunyi tepukan tangan dari Spassky.

Di
hadapannya, Bobby Fischer, yang merupakan lawannya dari Amerika Syarikat,
melihat dengan penuh tidak percaya. Jarang sekali dalam Kejohanan Dunia,
seorang Juara Dunia kalah dalam perlawanan, dan bertepuk tangan atas kemenangan
pihak lawannya.

Fischer
berasa agak terharu.

Hadirin
yang ada di dewan turut meraikan kemenangan Fischer dalam perlawanan ke enam
Kejohanan Catur Dunia 1972 (World
Championship 1972
). Baru perlawanan ke enam, ada berbaki 15 lagi perlawanan
bakal dihadapi oleh Fischer dan Spassky, namun kekaguman Spassky terhadap
kejayaan Fischer adalah satu bentuk sportsmanship
yang Fischer amat hargai.

Bobby
Fischer bukanlah biasa-biasa. Semenjak umur 6 tahun, dia diajar bermain catur
oleh kakaknya. Sekiranya kakaknya sibuk, Fischer akan mengajak ibunya bermain
catur bersamanya. Minatnya terhadap catur amat mendalam, sehinggakan satu
ketika Fischer berjumpa dengan satu buku catur dan menelaah segala isinya.

Keluarganya
sendiri tidak punya banyak masa untuk melayan Bobby dan caturnya. Sampai satu
tahap, ibu Bobby menghantar iklan ke akhbar, bertanya kalau-kalau ada anak lain
yang sebaya umur dengan Bobby yang ingin bermain catur bersama anaknya. Pihak
akhbar bingung mendapat iklan sedemikian rupa. Iklan apa ini? Bagaimana patut
kita klasifikasikan? Mencari pekerja? Bukan. Mencari orang? Nampak macam tidak
sesuai.

Iklan yang dihantar oleh ibu Bobby kemudian diberikan kepada “orang kuat” catur di Amerika, yang kemudiannya menjemput Bobby bermain dalam kejohanan bersama dengan seorang Master catur terkemuka Amerika, Max Pavey. Sudah tentulah Bobby kalah.

Masakan seorang budak baru berusia lingkungan 10 tahun menang melawan seorang Master dalam permainan catur? Namun, Bobby Fischer member saingan sengit kepada Max, dan hal ini menarik perhatian seorang guru catur, Carmine Nigro, yang kemudiannya menjemput Bobby menyertai Kelab Catur Brooklyn.

Bakat
Fischer kemudiannya digilap, dan Fischer menunjukkan tanda-tanda bahawa dia
sememangnya seorang Genius dalam dunia Catur. Dia berjaya menang Kejohanan
Catur Amerika Syarikat (US Championship) pada tahun 1957/58, menjadikan dirinya
juara US termuda pada usia 15 tahun. Kemenangan Bobby juga menjadikan dia
seorang International Master, gelaran
yang agak tinggi bagi mereka yang menganggap bermain catur sebagai satu kerjaya
professional.

Figure 1: Pangkat dalam Catur Professional.

Sebagai seorang International Master pada usia yang muda, Fischer juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai IQ yang tinggi. Namun begitu, pada usianya 16 tahun, Fischer berhenti sekolah kerana baginya, tidak ada apa-apa yang dia belajar dari sekolah. Fischer mula serius bermain catur sebagai atlet professional, memenangi banyak pertandingan di peringkat US dan antarabangsa, hingga melayakkan Fischer menjadi salah seorang Candidates yang cuba merebut Kejuaraan Dunia pada tahun 1962.

Catur di Russia pula, dianggap sebagai satu permainan buat golongan elit. Russia (yang pada itu dikenali sebagai Soviet Union) mempunyai barisan pemain catur yang hebat dan terkenal di peringkat antarabangsa, dan mereka mengungguli banyak pertandingan catur di peringkat dunia. Catur, dalam erti kata lain, adalah satu bentuk ideologi yang ditanamkan ke dalam minda warga Soviet, “kita hebat bermain catur, dan catur merupakan permainan yang menggunakan strategi dan ketajaman akal, maka kita, bangsa Soviet, adalah bangsa yang bijak dan hebat.”

Pada tahun 1962, Fischer merupakan salah seorang Candidates yang bakal bertarung untuk merebut tempat untuk berlawan dengan Juara Dunia pada tahun berikutnya. Format kejohanan adalah seperti ini: Beberapa orang calon (Candidates) akan berlawan sesama sendiri untuk mendapatkan tempat sebagai lawan (Challenger) kepada Juara Dunia (World Champion). Juara Dunia akan berusaha untuk mempertahankan kejuaraan yang disandangnya, manakala lawan atau Challenger akan cuba untuk menjadi Juara Dunia yang baru.

Maka Bobby Fischer berhasrat untuk menjadi Challenger, namun terdapat beberapa halangan. Menurut Fischer, terdapat beberapa orang pemain catur Russia yang sengaja seri sewaktu awal permainan untuk mendapatkan ½ mata. Hal ini mengganggu Fischer kerana untuk memenangi Kejuaraan Candidate adalah berdasarkan kepada point, dan sekiranya pemain Russia berpakat sesama mereka, Fischer tidak mungkin berpeluang untuk menang. Perkara ini menyebabkan kemarahan Fischer sehingga Fischer menulis satu artikel mengkritik sikap pemain Russia di Sports Illustrated, dengan tajuk artikel “The Russians Have Fixed World Chess“. Fischer berjanji dia tidak akan kembali bermain sebagai Candidates pada tahun selepas itu, selagi mana perkara ini tidak diatasi.

Meskipun tidak berpeluang untuk berlawan dengan Juara Dunia,
Fischer terus bermain catur secara professional sepanjang tempoh 1960 – 1970.
Dia memenangi banyak kejohanan bertaraf dunia, sehingga ke satu tahap dia
menjadi selebriti masyarakat US dan profilnya diletakkan dalam majalah
terkenal, Life.

Figure 2: Fischer sebagai model majalah Life.

Pada tahun 1970, Fischer sekali lagi ingin cuba merampas
kejuaraan dunia. Kalau sebelum ini pada 1962, dia tidak berpuas hati dengan
sistem kejuaraan, pada tahun 1970, Fischer berhempas pulas menjuarai pelbagai
kejohanan utama sehinggalah Fischer berjaya memasuki Kejohanan Candidate pada tahun 1971. Dalam
Kejohanan Candidate tersebut, Fischer
ternyata mendominasi kejohanan itu dan berjaya memperoleh tempat pertama dalam
kejohanan terbabit. Fischer dijadualkan akan menjadi Challenger kepada Juara Dunia, Boris Spassky.

Figure 3: Jadual Kejohanan Candidates 1971. Bobby Fischer berjaya menjuarai kejohanan ini dengan kemenangan penuh bergaya.

Pertarungan
Bobby Fischer menentang Boriss Spassky merupakan sebahagian manifestasi perang
dingin. Bagi Soviet, mereka wajib mempertahankan kejuaraan yang telahpun
didominasi oleh mereka sejak sekian lama. Jadi, tanggungjawab Spassky adalah
berat. Pertahankan kejuaraan dunia yang dia pegang, dan harumkan nama Soviet.
Iyalah, takkan Soviet nak kalah dengan US kan?

Pada
1972, perlawanan antara Boriss Spassky dan Bobby Fischer berlangsung. Ini
adalah pertarungan antara Amerika dan Russia!

Oh
dan btw, perlawanan dunia ini bukan calang-calang.

Format
perlawanan ini adalah sama seperti perlawanan catur yang lain. 1 mata sekiranya
menang, ½ mata sekiranya seri, dan 0 mata sekiranya kalah. Perlawanan akan
berlangsung sebanyak 24 pusingan, dengan satu hari satu perlawanan, dan tiga
hari perlawanan dalam masa seminggu. Perlawanan kejohanan dunia ini berlangsung
selama 7 minggu, dengan perlawanan berlangsung setiap hari Ahad, Selasa dan
Khamis. Hari Sabtu adalah hari cuti, dan sekiranya pertarungan tidak habis pada
hari berkenaan, ia akan dibawa pada hari berikutnya.

Bobby
Fischer terkenal sebagai seorang yang schizophrenia dan paranoid. Sebelum
perlawanan berlangsung pun, pihak penganjur mempunyai masalah untuk menghubungi
Fischer, dan Fischer sendiri terlepas upacara pembukaan World Championship.
Fischer juga dilihat paranoid apabila mengatakan kepada media bahawa pihak
Russia meletakkan pepijat (bug) atau
alat pengintip untuk mengintip persiapan dia sepanjang kejohanan berlangsung.

Fischer
terkenal sebagai seorang pemain catur yang handal. Dia bahkan dipuji oleh
pemain catur sezaman dengannya sebagai antara yang terbaik abad itu (Greatest
of the Century). Gaya permainan Fischer adalah lebih kepada sharp tactical play, di mana Fischer
akan menyerang dengan penuh teliti sambil 
cuba mendominasi papan catur dengan taktikal yang sukar dibaca.

Spassky
pula adalah seorang yang lebih flexible. Taktikal Spassky lebih kepada bertahan
dan menunggu masa yang sesuai untuk menyerang, dengan kelebihan psikologi
berpihak kepada Spassky kerana bermain di laman sendiri dan Fischer sendiri
tidak pernah menang menentang Spassky sepanjang 3 kali mereka bertarung di
arena antarabangsa.

Pada
perlawanan pertama, Fischer kelihatan tidak mampu untuk fokus. Banyak alas an
yang diberikan oleh Fischer. Kamera mengganggu. Bunyi kipas. Pada perlawanan
pertama, masalah paranoid Fischer terserlah, sehingga Fischer terbuat kesalahan
(blunder) pada pergerakan ke 29 nya, menyebabkan dia kehilangan buah Bishopnya. Dia cuba untuk menebus
kesilapannya, namun Spassky, lawan yang lebih berpengalaman, mengambil
kesempatan itu dan terus menghukum Fischer atas kesalahannya.

Pada
perlawanan kedua, Fischer meminta agar tiada kamera merakam perlawanan mereka,
kerana katanya, “bunyi kamera itu bising”. Disebabkan pihak penganjur tidak
mahu melayan karenah Fischer, Fischer menarik diri dari pusingan kedua, dan
member kemenangan mudah kepada Spassky, 2-0.

Pada
perlawanan ketiga, Spassky bersetuju dengan syarat Fischer untuk bermain tanpa
kehadiran kamera di satu bilik tertutup di bahagian belakang dewan. Hanya
dengan 3 orang di dalam bilik tersebut (Fischer, Spassky dan pengadil
pertandingan), Fischer berjaya memperoleh kemenangan pertama menentang Spassky
sepanjang kariernya, apabila Spassky tersilap langkah dalam merangka stratergi.

Pertarungan
pusingan ke empat berlangsung di dewan utama, atas permintaan Spassky, namun
tiada kamera dibenarkan, atas permintaan Fischer. Perlawanan ini berkesudahan
seri apabila kedua-dua pihak buntu menyerang satu sama lain. Pusingan kelima
pula dimenangi oleh Fischer, apabila Spassky membuat kesilapan (blunder) yang
mengakibatkan salah kira (miscalculation).
Selepas pusingan kelima, keputusan pertandingan adalah 2 ½ – 2 ½ .

Figure 4: Pertarungan Spassky – Fischer pada tahun 1972.

Pusingan
ke enam, pertarungan antara Fischer dan Spassky, merupakan pertarungan Match of the Century. Ada beberapa sebab
kenapa pusingan ini dipanggil sedemikian rupa. Sebab pertama adalah – Bobby
Fischer terkenal sebagai seorang pemain yang selalu bermula dengan opening 1. e4. Sewaktu pertandingan
berlangsung, pihak lawan boleh mempersiapkan beberapa balasan terhadap opening yang biasa dilakukan oleh pihak
lawan, dalam erti kata lain, Spassky boleh mempersiapkan diri bagi menghadapi
1. e4 yang selalu digunakan oleh Fischer.

Namun dalam pusingan ke enam, satu keajaiban berlaku. Fischer, yang mendapat buah putih, memulakan perlawanan dengan opening 1. c4, satu opening yang jarang sekali Fischer guna dalam pertandingan besar. Sepanjang kariernya, hanya 2 kali Fischer pernah menggunakan opening 1.c4, dan hal ini amat memeranjatkan Spassky.

Dalam pusingan ini juga, teserlah kehebatan Fischer yang sebenar. Dia perlahan-lahan merangka stratergi, meletakan buahnya di posisi yang stratergik, dan membuatkan Spassky sendiri takjub dengancorak permainan elegan yang ditunjukkan oleh Fischer. Di akhir perlawanan, Spassky sendiri bangun dari tempat duduk, dan menepuk tangan bersama hadirin yang hadir, menunjukkan rasa hormat kepada Bobby Fischer.

Selepas pusingan keenam, Fischer meneruskan kejohanan dengan
beberapa lagi kemenangan dan seri, sebelum kalah satu pusingan kepada Spassky
di pusingan ke-11. Meskipun pada asalnya perlawanan ini sepatutnya berlangsung
sebanyak 24 pusingan, Spassky mengaku kalah melalui telefon pada pusingan ke
21, sekaligus menjadikan Fischer pemenang dan Juara Dunia baharu 1972. Fischer
kemudian diangkat ikon Amerika kerana berjaya mengalahkan wakil Rusia, dan
terus mengekalkan kejuaraan dunia selama tiga tahun, sebelum melepaskannya.

Figure 5: Keputusan perlawanan antara Bobby Fischer (US) dan Boris Spassky (RUS).

RUJUKAN:

theVintageNews. https://www.thevintagenews.com/2017/11/30/fischer-vs-spassky/

TheQuietMove. http://www.thequietmove.com/classic-game-fischer-spassky-1972-6/

chesshistory.com. http://www.chesshistory.com/winter/extra/spasskyfischer.html

newsweek.com. https://www.newsweek.com/bobby-fischer-i-knew-67937

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet