Herod Agrippa II dilahirkan pada Tahun 27M, merupakan anak kepada Raja Herod Agrippa I dan Cyprus. Nama sebenarnya ialah Julius Marcus Agrippa, sama nama dengan bapanya. Pada usianya 14 tahun, Agrippa II dihantar ke Itali untuk melanjutkan pengajiannya. Pada usianya 17 tahun (Tahun 44 M), bapanya yang menjadi Raja Yahudi terakhir yang menguasai seluruh Palestin mangkat secara mengejut dalam keraian di Caesarea Maritima untuk meraikan kehadiran Maharaja Rom, Claudius. Herod Agrippa II yang masih muda itu tidak yakin boleh memimpin wilayah yang besar itu.
Kaisar Claudius menyerap seluruh wilayah Herod Agrippa I ke dalam negara Rom sebagai Wilayah Iudaea (Gabungan Daerah Judaea, Idumea dan Samaria. Pada ketika ini, semua kawasan pentadbiran Herod Agrippa I termasuklah Perea, Galilee, Gaulanitis dan Lysianis dimasukkan ke dalam Wilayah Iudaea) dan ditadbir oleh seorang procurator yang bernama Cuspius Fadus.
Wliayah Iudaea di Bawah Pemerintahan Procurator Rom
Cuspius Fadus memerintah selama 2 tahun iaitu dari Tahun 44 hingga 46M sebagai procurator pertama Wilayah Iudaea. Semasa pemerintahannya, keamanan dapat dicapai di Judah. Cuspius Fadus membenarkan bangsa selain Yahudi (gentile) yang menjadi tentera tambahan di Sebaste dan Caesarea untuk mendiami Judah serta Fadus juga berjaya menyelesaikan masalah antara Penduduk Perea (Timur Palestin) dan Philadelphia (Dekapolis) berkenaan dengan sempadan mereka di Kampung Mia.
Fadus juga berjaya membanteras penyamun di Wilayah Iudaea. Namun begitu, seorang yang mengaku sebagai Nabi yang bernama Theudas telah bangkit memberontak pada tahun 45M. Theudas membahagikan Sungai Jordan dan memudahkan pengikutnya menyeberangi sungai tersebut tanpa kebenaran Procurator Rom (Fadus).
Fadus yang berang dengan tindakan Theudas dan pengikutnya telah menghantarkan tentera dan membunuh semua pemberontak tersebut pada Tahun 46 M. Fadus juga menuntut jubah Pendita Agung disimpan olehnya seperti yang dilakukan oleh Pegawai Rom sejak Tahun 6 hingga 36M sebelum ini.
Tindakan ini menyebabkan Pihak Sanhedrin menghantarkan bantahan kepada Legate Rom Syria yang baharu, Cassius Longinus. Cassius Longinus menghantar tentera yang sangat ramai untuk menyokong tindakan Fadus terhadap yahudi. Pemimpin Yahudi risau dengan keadaan ini, lantas mereka menghantar utusan ke istana Rom dan memohon Claudius membantu mereka dalam hak penjagaan jubah Pendita Agung ini. Akhirnya, Claudius bersetuju dengan permintaan pemimpin yahudi setelah Agrippa II mempengaruhinya.
Pada Tahun 46 M, Tiberius Julius Alexander (Alexander) pula dilantik sebagai procurator Rom di Judae. Alexander merupakan anak kepada Alexander Si Alabarch dari Alexandria, yang pernah membantu kewangan Herod Agrippa I semasa baginda dibelenggu hutang yang banyak. Alexander berketurunan Yahudi sebelah bapanya dan Claudius melantiknya supaya dapat meredakan pemberontakan Yahudi.
Abangnya, Marcus telahpun berkahwin dengan Berenice II, kakak kepada Herod Agrippa II. Semasa pemerintahannya, berlakulah kebuluran yang teruk di kawasan Judah. Hasilnya, berlakukan pemberontakan. Untuk meredakan pemberontakan, Alexander menghukum Simon dan James, anak kepada Judas dari Galilee dengan menyalib mereka. Pemerintahan Alexander berlangsung selama 2 tahun.
Pada Tahun 48M, Ventidius Cumanus pula dilantik menjadi procurator di Iudaea. Dalam masa yang sama, Herod Agrippa II diberikan hak untuk mentadbir Wilayah Chalcis daripada pakciknya, Herod Chalcis yang baru sahaja mangkat. Herod Agrippa II juga diberikan hak untuk memilih Pendita Agung di Haikal Herod.
Semasa pemerintahan Cumanus, berlaku beberapa peristiwa yang menjadi pencetus kepada kebangkitan Yahudi. Semasa perayaan ‘passover’ di Haikal Kedua, seorang tentera yang berkawal dari atas kubu Antonia telah mengejek orang Yahudi dan menyebabkan orang Yahudi membaling batu kepada tentera Rom yang berada di atas kubu. Cumanus yang tidak dapat meredakan situasi telah mengarahkan tenteranya untuk menghukum orang Yahudi yang berada dalam Haikal tersebut menyebabkan puluhan ribu orang Yahudi mati. Pesta tersebut bertukar menjadi hari berkabung seluruh Judah.
Tidak lama kemudian, seorang hamba raja yang bernama Stephanus telah dirompak di Beth-Horon. Cumanus dan tenteranya telah mengeledah satu perkampungan di sana dalam mencari siapa perompak tersebut. Seorang tentera telah menjumpai Kitab Taurat dan memusnahkannya di khalayak ramai, menyebabkan orang-orang Yahudi melaungkan kata Blasphemies (Kuffar). Marah dengan tindakan tidak menghormati agama Yahudi, Yahudi membuat protes besar-besaran di Caesarea Maritima. Cumanus bertindak memancung kepala tentera tersebut di khalayak ramai dan keadaan ini dapat meredakan seketika pemberontakan orang-orang Yahudi.
Konflik yang memuncak di zaman Cumanus ialah apabila beberapa Yahudi dibunuh di Samarita semasa mereka mahu mengunjungi Baitul Maqdis semasa festival “Passover” dalam tahun 52M. Autoriti Yahudi membawakan hal ini kepada Cumanus, tetapi beliau ambil ringan hal ini. Hal ini menyebabkan berlakunya rusuhan di antara Yahudi dari Galilee dan penduduk Samarita serta menyebabkan banyak kematian yang berlaku.
Pihak Yahudi mengadukan hal ini kepada Legate Syria yang baharu, Ummidius Quadratus. Setelah mendengar daripada kedua-dua pihak dan saksi, Ummidius Quadratus menghantar semua yang terlibat termasuklah Cumanus dan Pendita Agung Ananias. Kaisar Claudius menjatuhkan hukuman bunuh kepada ketua-ketua Samarita dan melucutkan jawatan Cumanus dan mengenakan hukuman buang daerah kepadanya. Tindakan Claudius ini dipengaruhi oleh Herod Agrippa II dan keputusan ini menyebelahi pihak Yahudi.
Setelah Cumanus dihukum, procurator seterusnya ialah Marcus Antonius Felix yang dilantik pada tahun 52M. Felix pada mula asalnya adalah hamba kepada Antonia, ibu kepada Claudius. Walaupun beliau dilahirkan sebagai hamba, beliau berkahwin dengan tiga puteri dalam jalur diraja di Mesir dan Judah. Beliau berkahwin dengan Drussila, adik perempuan Raja Herod Agrippa II dan dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Marcus Antonius Agrippa. Perkahwinannya dengan Drussila ini melanggar piagam Yahudi kerana Felix tidak masuk agama Yahudi sebelum berkahwin.
Felix merupakan pemerintah yang zalim dan mengutamakan rasuah dalam pemerintahannya. Beliau menggunakan kekerasan dan kuku besi dalam mentadbir kaum-kaum Yahudi serta berat kepada bangsa Rom di Caesarea Maritima. Beliau telah mengangkat senjata dalam menentang Nabi Yahudi (Nabi Palsu) dari Mesir yang ingin memerdekakan Baitul Maqdis daripada penjajahan Rom dan menangkap St. Paul, yang disangkakan nabi yahudi tersebut. Paul ditahan dan tidak dibicarakan selama dua tahun bagi menggembirakan orang-orang Yahudi yang memusuhi orang beragama kristian.
Tacitus, Ahli Sejarah Rom menyatakan bahawa Felix sebagai “practised every kind of cruelty and lust, wielding the power of king with all the instincts of a slave”, seorang pemerintah yang melakukan semua yang melibatkan kekejaman dan nafsunya, memegang kuasa raja dengan naluri seorang hamba. Tacitus menggambarkan Felix sebagai pemerintah yang sangat kejam.
Josephus pula menyatakan bahawa Felix berat sebelah kepada penduduk berbahasa Yunani, walaupun mereka membunuh orang yahudi di Caesarea Maritima. Namun begitu, penulis Buku Akta (Book of Acts) memuji pemerintahan Felix sebagai pemerintah yang mempunyai tempoh keamanan yang lama. St Paul yang dipenjarakan bersyarah kepadanya berkenaan dengan kebenaran, kawalan diri dan penghakiman.
Sekembalinya Felix ke ibukota Rom, dia disabitkan kesalahan menggunakan pertikaian penduduk Syria (Bangsa Rom) dan Yahudi untuk menghalalkan pembunuhan. Dia terlepas daripada hukuman kerana Kaisar Nero ketika itu dipengaruhi oleh abangnya, Pallas. Namun begitu, jawatannya digantikan dengan Procurator baharu iaitu Porcius Festus pada Tahun 59M.
Forcius Festus juga dilaporkan menggunakan ketenteraan untuk menghentikan pemberontakan seorang yang menggelarkan dirinya penyelamat bangsa Yahudi. Beliau mendengar kes Paul dengan cepat dan dengan nasihat daripada Agrippa II, St. Paul dihantar ke Rom untuk dibicarakan. Festus dinilai sebagai seorang procurator yang lebih berkarisma berbanding Felix, namun hubungan Yahudi dan Rom sudah terlalu renggang dan sangat rapuh.
Pada Tahun 62M, Festus meninggal dunia di pejabatnya di Caesarea Maritima. Kematiannya menyebabkan tiada pemerintah di Judah selama beberapa bulan. Keadaan ini menyebabkan orang-orang Yahudo mengambil kesempatan dengan membunuh ramai pengikut kristian, termasuklah James, adik kepada Nabi Isa a.s. Dengan hukuman rejam dengan anak-anak batu sehingga mati.
Procurator seterusnya, Lucceius Albinus yang dilantik pada Tahun 62M telah menyalahgunakan kuasanya dengan mencuri harta peribadi dan mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada penduduk Yahudi. Beliau juga membenarkan rasuah diberikan untuk pemberontak yang dipenjarakan untuk keluar daripada penjara. Albinus menyebabkan 10 sicarii, serpihan pelampau Yahudi keluar daripada penjara. Apabila Albinus dapat tahu kariernya di Judah akan berakhir, dia menghukum bunuh pesalah yang melakukan hukuman berat dan membebaskan pesalah ringan dengan rasuah.
Setelah Albinus dilucutkan jawatannya pada Tahun 64M, Gessius Florus dilantik menjadi procurator baharu. Florus lebih teruk lagi berbanding Albinus. Beliau menyebelahi orang-orang Yunani menentang Yahudi, mencuri khazanah dari Haikal Herod, membenarkan tenteranya membunuh dan merampas harta dan melanggar undang-undang Rom dengan menyalib Yahudi Kelas Atasan yang mempunyai Kerakyatan Rom. Tindakan Florus ini adalah tindakan yang dilakukan setelah mereka mencuri khazanah dari Haikal Kedua dan menahan ketua-ketua Yahudi di seluruh kota Jerusalem. Tindakan Florus yang keterlaluan mencetuskan kepada Pemberontakan Yahudi secara besar-besaran. Setelah Yahudi memberontak, Florus dilucutkan jawatannya dan digantikan dengan Marcus Antonius Julianus.
Pemerintahan Herod Agrippa II
Herod Agrippa II menaiki takhta di Chalcis setelah pakciknya, Herod dari Chalcis meninggal dunia. Agrippa juga diberikan hak untuk melantik Pendita Agung dan mengekalkan istananya di Jerusalem. Baginda juga diberikan kuasa untuk memanggil Sanhedrin untuk bermesyuarat. Agrippa II turut meninggikan lagi menara istananya supaya baginda boleh melihat ke dalam Haikal secara langsung. Tindakannya menentang peraturan yang ditetapkan oleh Yahudi telah dilanggar dan Agrippa II juga boleh menyaksikan upacara korban dilakukan dari menaranya.
Pada Tahun 53M, Claudius mengambil semula Chalcis dan menganugerahkan wilayah Herod Philip iaitu Gaulanitis, Batanea, beberapa kota dan menyerap dua kota daripada Dekapolis ke dalam wilayahnya. Keadaan ini menjadikan dua kota tersebut bebas daripada pemerintahan Rom setelah dijajah selama 40 tahun. Herod Agrippa memerintah sehingga Tahun 93M.
Pada suatu ketika, orang Yahudi membuat tunjuk perasaan kerana Paul ditubuh membawa masuk orang-orang bukan bangsa Yahudi (Gentile) ke dalam Haikal. Tunjuk perasaan ini adalah kesan daripada kependudukan Gentile dalam kota Judah dan rasa kesucian Haikal Kedua telah dicemari oleh orang Gentile yang tidak berkhatan.
Kesalahan terhadap agama Yahudi, Paul perlu dihadapkan ke mahkamah Yahudi. Oleh itu, Paul dihadapkan di hadapan orang awam Yahudi untuk mendengar hujahnya sebelum dihakimi oleh Sanhedrin. Oleh kerana Paul merupakan Yahudi Kelas Atasan yang mempunyai kerakyatan Rom, Paul dihantar ke Caesarea Maritima untuk diadili. Paul diiringi oleh 470 orang tentera Rom kerana bimbang dengan keadaan huru-hara di Jerusalem yang disebabkan oleh ketidakpuashatian Yahudi terhadap bangsa Rom dan kelahiran Agama Kristian iaitu pembaharuan kepada keagamaan di sana pada ketika itu.
Paul merupakan seorang pendebat yang sangat bijak berhujah. Melalui syarahannya di Caesarea, Tertullus iaitu wakil pendita Yahudi di sana menuduh ucapan Paul adalah untuk menimbulkan perselisihan faham dan mengancam kesucian rumah ibadat mereka. Paul menafikan tuduhan tersebut dan meneruskan syarahannya semasa dipenjarakan selama dua tahun. Semasa pemerintahan Festus, Agrippa II dan kakaknya Berenice berjumpa dengan Paul dan melalui debat antaranya dan Paul, Agrippa II mendapati Paul tidak bersalah dan menasihatkan Festus untuk menghantarnya ke Rom untuk dihakimi.
Kakak Herod Agrippa II, Berenice merupakan isteri kepada Marcus Julius Alexander, adik kepada procurator Alexander. Selepas Marcus meninggal dunia pada tahun 44M, Berenice dikahwinkan dengan pakciknya iaitu Herod dari Chalcis. Herod dari Chalcis meninggal dunia pada Tahun 48M dan Berenice kekal tidak berkahwin selepas itu. Berenice dikatakan mengadakan hubungan sulit dengan adiknya sendiri, Herod Agrippa II. Perbuatan sumbang mahram antara Herod Agrippa II dan kakaknya sendiri dituduh oleh Josephus Flavius dalam karyanya, The Antiquity of Jews.
Pada Tahun 66M, pemberontakan besar-besaran Yahudi tercetus disebabkan ketegangan kaum antara bangsa Rom dan bangsa Yahudi. Selain itu, gerakan anti penjajahan Rom dan anti-cukai yang dikenakan kepada Kaum Yahudi juga membangkitkan pemberontakan ini. Walaupun Herod Agrippa II adalah Raja Yahudi, tetapi baginda memihak kepada Rom dalam perang pemberontakan Yahudi terhadap Rom.
Rujukan:
Josephus, F. (Kemaskini 2017), Antiquities of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg (kemaskini terakhir pada 9 Ogos 2017), Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation
Tacitus (Edisi Kemaskini 1978), The Histories, Collection of the Loeb Classical Library edition of Tacitus, 1931, Harvard University Press, US.
Jeffer, J.S. (2009), The Greco-Roman World of the New Testament Era: Exploring the Background of Early Christianity, InterVarsity Press, m/s 132-139
Johnson L.T (2009), AMONG THE GENTILES, Greco-Roman Religion and Christianity, USA, Yale University Press, m/s 118-120
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih