Kita semua tahu, bila sebut je gergasi bola sepak London, nama kelab yang selalu terlintas adalah Arsenal, Chelsea atau Tottenham. Tapi di satu sudut barat London, ada sebuah kelab dengan sejarah lebih tua daripada semua nama gah itu. Kelab itu adalah Fulham FC, yang lahir pada tahun 1879.
Ironinya, kelab ini tidak bermula di stadium moden, tapi di padang gereja. Sekumpulan ahli gereja St Andrew’s di Fulham menubuhkan kelab bola sepak sebagai aktiviti rekreasi, asalnya dikenali sebagai Fulham St Andrew’s Church Sunday School FC. Tak ada siapa sangka, daripada main bola untuk aktiviti komuniti, mereka akhirnya jadi salah satu kelab profesional tertua di England.
Fulham mula bermain secara rasmi di Craven Cottage sejak tahun 1896. CC adalah sebuah stadium tepi Sungai Thames yang sampai hari ini kekal jadi rumah keramat mereka. Stadium ini unik; ada gabungan klasik dan moden, dengan struktur lama yang masih berdiri megah dan menjadi simbol bahawa Fulham bukan sebarang kelab, tapi juga sebahagian daripada identiti bandar London.
Walaupun jarang dianggap sebagai “giant” bola sepak England, Fulham pernah mencatat detik gemilang. Pencapaian tertinggi mereka dalam bola sepak Eropah ialah mara ke final Liga Europa 2010, selepas menyingkirkan kelab-kelab besar seperti Juventus dan Hamburg. Walaupun tewas kepada Atlético Madrid, perjalanan epik itu menjadikan Fulham bahan bualan seluruh dunia.
Bila sebut tentang pemain legenda, nama Johnny Haynes tak mungkin dilupakan. Beliau dikenali sebagai “The Maestro” dan dianggap sebagai pemain terbaik dalam sejarah Fulham.
Malah, stand utama di Craven Cottage dinamakan sempena beliau. Selain itu, ada juga George Cohen, anggota skuad England yang menang Piala Dunia 1966, yang seluruh kerjayanya setia bersama Fulham.
Fulham juga melahirkan nama-nama moden yang hebat, seperti Clint Dempsey, pemain Amerika yang jadi penjaring terbanyak kelab di Premier League dan Louis Saha, penyerang berbakat yang kemudiannya menyinar bersama Manchester United.
Hari ini, walaupun Fulham sering dilabel sebagai “yo-yo club” kerana kerap turun naik antara Liga Perdana dan kejohanan Championship, mereka tetap ada tempat istimewa di hati peminat bola sepak dan penulis sendiri.
Demikianlah kisah Fulham FC. Dari padang gereja ke pentas EPL, Fulham berjaya membuktikan bahawa sejarah, identiti dan kesetiaan adalah jiwa sebenar sebuah kelab bola sepak.




No comments yet