Hari ini ialah ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China (People’s Republic of China – PRC) atau Zhonghua Renmin Gongheguo (中华人民共和国). Dah 70 tahun China menjadi sebuah negara “komunis” (aku letak ” ” sebab China tak panggil diri sebagai negara komunis, sebaliknya negara “sosialis”. Menurut ideologi Marxisme-Leninisme, negara akan terhapus apabila masyarakat memasuki fasa komunis, iaitu masyarakat tanpa kelas).
Andai kata PRC tak ditubuhkan, maka China akan terus dikenali sebagai Republik China (Republic of China – ROC) atau Zhonghua Minguo (中華民國) sehingga hari ini. Ibu negara China kemungkinan besar masih terletak di Nanking (Nanjing). Dan China akan kekal guna bendera “Blue Sky, White Sun, Red Earth” (青天白日滿地紅) yang kelihatan macam bendera Myanmar lama.
ROC ditubuhkan pada 1912 selepas orang Han bangkit menggulingkan monarki Manchu (Dinasti Qing) yang memerintah China sejak tahun 1644, sekali gus menamatkan sistem maharaja yang berlangsung selama 2,132 tahun dalam sejarah China. Parti pemerintah ROC ialah Parti Nasionalis atau Kuomintang yang diasaskan oleh Sun Yat-Sen. Selepas Sun meninggal dunia pada 1925, perang saudara meletus antara Kuomintang di bawah pimpinan Chiang Kai-shek dan Parti Komunis yang dipimpin oleh Mao Tse-tung (Mao Zedong).
Semasa pencerobohan Jepun ke atas China (1937-1945), Kuomintang dan Komunis bergencat senjata seketika untuk melawan Jepun. Baru Chiang dan Mao boleh senyum-senyum mengambil gambar bersama. Selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, mereka pun sambung balik berperang. Kali ini, Komunis berjaya menawan seluruh tanah besar (mainland) China dan mengisytiharkan penubuhan PRC di Peking (Beijing) pada 1 Oktober 1949. Chiang membawa saki-baki Kuomintang lari ke Taiwan, dan meneruskan pemerintahan ROC di Taipei.
Disebabkan Komunis belum memiliki tentera laut yang mantap waktu tu, jadi mereka tak dapat nak menyeberangi laut untuk menangkap Chiang dan menawan Taiwan. Chiang pulak bercita-cita untuk menjadikan Taiwan sebagai base bagi dia “menawan semula” tanah besar. Maka wujudlah dua kerajaan yang masing-masing klaim diri sebagai kerajaan China yang sah. Mao menganggap Taiwan sebagai kubu ROC terakhir yang mesti “dibebaskan”, manakala Chiang menganggap PRC sebagai rejim haram yang harus ditewaskan.
Itulah asal usul “One-China Principle”. Orang luar yang tak faham sejarah China susah nak faham apa rasionalnya. Orang Melayu OK je berpecah kepada Malaysia, Singapura dan Brunei. Orang Arab lagilah, 18 negara (kalau tak ambil kira Sudan, Mauritania, Somalia, Djibouti, Comoros yang juga merupakan ahli Liga Arab). Tapi bagi Chiang dan Mao, hanya boleh ada satu China. Kalau nak mengiktiraf ROC, tak boleh mengiktiraf PRC. Kalau nak iktiraf PRC, tak boleh iktiraf ROC.
Dan itu juga menjadi sebab Taiwan klaim Laut China Selatan. Orang yang tak faham sejarah ini akan ingat apesal Taiwan pun nak menyibuk. Sebenarnya, Taiwan klaim atas kapasiti ROC. Kedua-dua ROC dan PRC menganggap Laut China Selatan tu wilayah mereka.
Pada mula-mula, ROC diiktiraf oleh lebih banyak negara berbanding PRC. ROC merupakan kerajaan China semasa penubuhan PBB pada tahun 1945, jadi ia masih memegang kerusi negara ahli tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto. Disebabkan PRC ialah komunis dan sekutu Soviet Union, jadi ROC turut disokong oleh US yang mengamalkan dasar anti-komunis.
Pada tahun 1971, majoriti negara-negara PBB membuat keputusan untuk menggantikan ROC dengan PRC. Atas prinsip One-China, PBB terpaksa menendang keluar ROC. Maka satu per satu negara mula memutuskan hubungan diplomatik dengan ROC dan menjalin hubungan diplomatik dengan PRC, termasuk Malaysia yang berbuat demikian pada tahun 1974 (Malaysia tak iktiraf kedua-dua PRC atau ROC sebelum 1974). Malah US pun meninggalkan ROC pada tahun 1979 dengan menjalin hubungan diplomatik dengan PRC.
Hari ini, hanya ada 15 negara sahaja (14 negara PBB + Vatican) yang mempunyai hubungan diplomatik dengan ROC, berbanding 180 negara (177 negara PBB + Cook Islands + Niue) yang PRC ada. Jauh lebih kesian daripada Palestin. Sekurang-kurangnya Palestin diiktiraf oleh 138 daripada 193 negara ahli PBB.
Dan disebabkan prinsip One-China juga, ROC dilarang untuk mengguna nama “China” dalam mana-mana pertubuhan antarabangsa. Kalau ROC nak menyertai mana-mana pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau Sukan Olimpik, kena pakai nama “Chinese Taipei”.
Chiang meninggal dunia pada 1975, Mao meninggal dunia pada 1976. Walaupun mereka dah pergi, tapi prinsip One-China ni masih bertahan, cuma ROC-Kuomintang tidak lagi menaruh harapan terhadap “menawan semula” tanah besar China. Menjelang 1990-an, Kuomintang menamatkan konfrontasi terhadap PRC dan mula menimbang untuk menyatukan PRC-ROC secara aman.
Tapi pada masa ini juga, muncul gerakan Kemerdekaan Taiwan yang dipelopori oleh Democratic Progressive Party (DPP). DPP diasaskan sebagai parti yang menentang pemerintahan Kuomintang di Taiwan yang agak autokratik, jadi mereka menolak One-China yang dibawa oleh Kuomintang, tapi pada masa yang sama pun tak mahu “Two-Chinas”. Sebaliknya, mereka menekankan identiti Taiwan yang berbeza daripada identiti China.
Dalam naratif sejarah DPP, Taiwan dan China mempunyai pengalaman sejarah yang berbeza. Walaupun penduduk Cina Taiwan adalah keturunan orang China, tapi hanya sehingga tahun 1683, baru Taiwan diletakkan di bawah kawalan politik rejim tanah besar China (Dinasti Qing). Dan dari 1895 hingga 1945, Taiwan dijajah oleh Jepun. Hanya selepas 1945, baru ROC-Kuomintang mengambil alih Taiwan.
Jadi golongan pro-merdeka ni argue tak ada apa “historical connection” pun antara Taiwan dan ROC, maka orang Taiwan tak perlu jadi mangsa politik antara ROC and PRC. Biar orang Taiwan menentukan nasibnya sendiri. Yang menariknya, DPP juga ada kecenderungan “pandang ke Selatan”, melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada dunia Austronesia, bukan China.
Pada tahun 2000, DPP berjaya menamatkan pemerintahan Kuomintang di Taiwan sejak 1949. Hubungan PRC-ROC pun mula jadi tegang. Selepas menjadi pembangkang dari tahun 2008-2015, DPP sekali lagi kembali memerintah pada tahun 2016 dengan Tsai Ing-Wen sebagai Presiden. Kecenderungan kemerdekaan itu jadi semakin jelas. Kerajaan Tsai mencadangkan usul penamaan semula pasukan Olimpik “Chinese Taipei” sebagai “Taiwan” bagi tujuan Olimpik 2020. Namun usul itu ditolak oleh 55% pengundi dalam referendum November 2018.
Jadi, bukan saja PRC pantang nama ROC, malah nama “Taiwan” pun PRC tak suka kerana itu akan menyemarakkan identiti Taiwan yang akhirnya akan memisahkan Taiwan daripada China. Kalau nak letak Taiwan, kena letak “Taiwan, Province of China”. Tapi itu dah terlalu bodek PRC, nanti kawan kat Taiwan terasa pulak. Jadi “Chinese Taipei” adalah paling selamat dan neutral.
Jadi sekarang korang dah boleh faham sensitiviti nama “Taiwan” dan kenapa kita tak boleh panggil ia sebagai “negara”. Lagi-lagi tahun depan Malaysia akan menganjurkan persidangan APEC di mana “Chinese Taipei” juga merupakan salah satu ahli. Media tempatan kena peka pasal benda ni agar tidak timbul isu nanti.
OK, aku sebenarnya belum pun menerangkan apa rasionalnya “One-China” ni. Tengoklah kalau besok aku ada mood aku sambung cerita.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih