Dalam enam bulan kebelakangan, boleh kata dua kali juga netizen kita ribut tentang menara. Sebelum ini, isunya adalah berkait pembinaan Menara PNB 118. Kali ini pula, ia berkenaan menara firaun setinggi 10 batu (15-16 km).
Sebetulnya, isu ini sudah timbul lama. Kalau lihat sumber videonya pun, ia bertarikh 5–8 bulan lepas. Cuma entah atas angin dan ribut apa, pokok masalahnya bergoyang kencang. Sampai daun-daunnya gugur merata, hingga masuk ke ruang komen artikel kami yang menyentuh perihal Mesir Purba. Misalnya, artikel tentang Firaun Khufu (2589-2566 SM) ini.
Kalau Betul Wujud, Kenapa Piramid Giza Yang Jadi Mercu?
Ikutkan, tidak lari topik sangat pun bila disua komen begitu. Sebab baginda Khufu memang seorang ‘pembina.’ Bahkan, bagindalah yang menyempurnakan reka bentuk piramid dari satu-dua generasi sebelumnya. Iaitu menerusi pembinaan Piramid Agung Giza (2580-2560 SM).
Sebelum itu, piramid di Mesir Purba sekadar berbentuk mastaba sahaja. Yakni makam segi empat tepat berpermukaan rata. Bentuk sebegitu bertahan kira-kira lima abad – merangkumi era dinasti pertama dan kedua (2925-2670 SM).
Sebaik memasuki era dinasti ketiga (2670-2613 SM), reka bentuk piramid mula berevolusi. Hal ini berlaku sewaktu pemerintahan Firaun Djoser (c. 2650), di mana baginda memerintahkan seorang jurutera bernama Imhotep untuk memperbaharui konsep mastaba. Hasilnya, terbangunlah Piramid Bertingkat (Step Pyramid).
Namun disebabkan rekaannya masih belum berbentuk piramid tepat, maka ia terus diperbaharui sekurun kemudian; baik oleh Sneferu (2613-2589 SM) mahupun oleh puteranya Khufu. Menerusi air tangan Khufu inilah, rekaan piramid menjadi sempurna (Piramid Giza) – lantas ia dinamakan oleh Philo (225) sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia purba.
Di sini, masalah ‘menara firaun’ bertitik mula. Kerana, Philo hidupnya lebih hampir dengan zaman kefiraunan. Justeru seharusnya beliau memiliki lebih banyak sumber untuk menilai binaan mana yang layak bergelar ‘keajaiban dunia’. Sumber ini termasuklah catatan (dari Herodotus antaranya), kesan runtuhan, atau bahkan wujud bangunan itu sendiri yang barangkali belum runtuh.
Maka, andai kata benar ‘menara firaun setinggi 15km’ ini pernah wujud, wajarnya ia lebih layak digelar keajaiban dunia berbanding Piramid Giza yang berukuran 100 kali lebih rendah (tingginya cuma 146.6 meter).
Tambahan, asas keraguan bukan berhenti setakat situ. Kalau diperhalusi menerusi tiga elemen – agama, saintifik, dan sejarah – sekalipun, dakwaan tentang ‘menara setinggi 15km’ tetap bermasalah.
Datang Dari Mana Riwayat Ini Sebenarnya?
Ramai berdalilkan al-Mu’min: 36 sebagai sandaran. Tanpa syak, kalam Tuhan memang mutlak. Namun yang mutlak ini hanya firman, bukan penafsiran.
Dalam ayat tersebut, apa yang difirmankan adalah tentang “perintah Firaun kepada Haman untuk membina sebuah menara tinggi (صَرْحًا). Tujuannya adalah supaya dia dapat mencapai pintu-pintu langit (ٱلْأَسْبَٰبَ)”… dan firman berhenti sekadar itu. Ini justeru mengundang persoalan; daripada mana timbul kenyataan ‘menara tinggi 10 batu’ sedangkan wahyu tidak menyebut pun fasal itu?
Menurut Tafsir Mafatih al-Ghaib (Tafsir al-Kabir), Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan ada dua dakwaan berkait menara tersebut. Pertama, ia dibina. Dan kedua, ia tidak dibina. Kalau dibaca semula ayat tersebut pun, memang perihal ‘dibina’ dan ‘tidak dibina’ ini langsung tidak difirmankan. Ia terhenti setakat satu perintah. Haman laksanakan atau tidak, tiada sumber yang mengesahkan.
Keadaan ini sama seperti nama tujuh Ashabul Kahfi, identiti Dzulqarnain, dan siapa penghuni bumi sebelum Nabi Adam (as)… semuanya tidak terangkum dalam firman dan hanya terkandung dalam penafsiran. Jadi sekali lagi dengan persoalan yang sama; daripada mana timbul kenyataan yang menara 10 batu itu dibina?
Ia timbul daripada satu riwayat di mana firaun memanjat menara tersebut lalu memanah ke arah langit sampai bercucuran darah – konon menandakan dia telah berjaya membunuh tuhan Nabi Musa (as).
Riwayat tersebut sememangnya tercantum dalam Kitab Tarikh al-Umam wal Muluk karangan Ibn Jarir al-Tabari (310 H). Namun, perawinya (al-Suddiy) dikenali sebagai seorang yang sering menukil dari sumber Israiliyat dan palsu. Justeru sebetulnya, riwayat tersebut tidak harus dipegangi apalagi diyakini.
Tambahan, dalam kitab tersebut pun ada penafian daripada Imam al-Tabari sendiri; betapa “jika ada riwayat dalam kitab ini dibantah/ditolak kerana tidak sahih, ketahui yang ia bukan daripada beliau tetapi daripada perawi yang merawikan kepada beliau.”
Ini kerana sebahagian kitab pada masa itu lebih berfungsi sebagai arkib – yakni menghimpunkan pelbagai riwayat dari pelbagai sanad (rantaian pencerita) untuk dinilai (di-tahqiq) kesahihannya oleh ulama’ terkemudian.
Misalnya dalam Sirah Nabawiyah (kisah hidup baginda saw), kita sebagai awam (marhaen) pada hari ini tidak perlu lagi membuka kitab tebal seperti karangan Ibn Ishaq (85-150 H). Memadai dengan kitab-kitab yang telah dipermudahkan (simplified) seperti Raheeq al-Makhtum oleh Syeikh Safiur Rahman Mubarakpuri (1942-2006).
Di mana, dalam kitab tersebut tiada lagi riwayat aneh dan palsu seperti kisah kononnya baginda Nabi saw pernah menyeksa seorang Yahudi bernama Kinana al-Rabi selepas Perang Khaybar. Sebab riwayat yang sebetulnya, Kinana dibunuh sebagai qisas kerana telah membunuh saudara Muhammad ibn Maslamah (ra), iaitu Mahmud ibn Maslamah (ra).
Ikutkan, proses penilaian terhadap riwayat silam sebegini memang diamalkan dalam kalangan ulama’. Contohnya dalam Mukaddimah, Ibn Khaldun (1332-1406) ada mempertikai riwayat yang menyebut betapa firaun membawa seramai 1.6 juta orang untuk mengejar 600,000 orang pengikut Nabi Musa (as). Kata beliau, angka tersebut agak berlampauan kerana Empayar Rom dan Parsi yang jauh lebih besar pun pada masa kemuncaknya hanya mampu mengerah 200,000 orang tentera sahaja. Jadi, tidak munasabah untuk firaun yang kerajaannya lebih kecil mampu mengerah jumlah sebesar itu.
Justeru dalam isu ‘menara firaun’ ini, sikap sama sepatutnya diamalkan. Betapa, ilmu dan fakta perlu diteliti baik pada sumbernya (dalil naqli) mahupun pada kemunasabahannya (dalil aqli).
Tebal Mana Jaket Dan Tangki Oksigen Yang Firaun Kena Pakai?
Kemunasabahan ini termasuklah pada sudut saintifik. Di mana, kita bukan setakat menilai kekuatan perawi. Tetapi juga menilai realistik atau tidak dakwaan tadi. Dan tentunya, nilai realistik ini berlegar pada soal ‘ketinggian 15km’.
Dalam ketinggian begitu, ikutkan tiada siapa mampu bernafas. Bukan hanya kerana udaranya nipis. Tetapi suhunya juga sangat rendah. Bayangan mudah boleh dilihat pada pendaki Gunung Everest. Tinggi gunung tersebut baru 8.85 km. Namun suhunya sahaja boleh mencecah -36° C pada waktu biasa dan -60° C pada saat ekstrim.
Belum lagi bercakap soal oksigen dan tekanan udara. Ia umpama, naik kapal terbang lalu buka tingkap. Memang sesak nafas habis lah jawabnya. Sebab kebiasaan pesawat komersial akan terbang setinggi 31-38,000 kaki dari paras laut. Sedangkan, ketinggian minimum untuk bekalan oksigen yang optimum bagi manusia adalah 10,000 kaki (3km). Lebih daripada itu, kita memang perlukan alat bantuan pernafasan.
Maka sekarang bayangkan, dengan suhu sesejuk itu dan udara senipis itu, setebal mana jaket dan tangki oksigen yang firaun perlu pakai untuk panjat menara setinggi 15km?
Sedangkan dalam legenda Melayu pun, Raja Suran ketika mahu berkahwin dengan Puteri Mahbatul Bahri (puteri laut) sanggup berusaha membina ‘kapal selam dari kaca’ sebab tahu mustahil untuk manusia menyelam terlalu dalam ke lautan tanpa peralatan. Alih-alih datang firaun,terus sahaja kebal cuaca dan oksigen.
Tambahan, agak mustahil untuk membina menara setinggi 15km dalam tempoh sekejap dengan masa dan kudrat yang terhad. Sebab cuba bandingkan, untuk membina Piramid Djoser yang hanya setinggi 62 meter pun firaun perlu mengambil masa selama 20 tahun dan menggunakan 330,400 kubik meter batu-tanah liat. Pembinaan Piramid Agung Giza pula memerlukan 2 juta bongkah batu dan 20,000 tenaga kerja untuk ia disiapkan dalam masa 20 tahun.
Jadi untuk membina menara setinggi 15 km, seberapa besar pula masa dan sumber yang perlu diambil? Takkan kita mahu kilas dan kata ia dibina menggunakan sihir sahaja? Kerana kalau begitu, wajarnya tidak berlaku insiden pekerja binaan mogok kerana tidak dibayar secukupnya – seperti yang berlaku pada 1152 SM di era Ramses III.
Justeru pada sudut realistik pun, menara 15km ini cukup mustahil untuk dikatakan pernah dibina. Lagipula, kesan runtuhannya sehingga kini tidak pernah dijumpa. Ini lantas memerlukan kita untuk menilainya dari satu lagi sudut, iaitu sejarah-arkeologi.
Rujuk Silang Sejarah Yang Tidak Selari
Dalam bidang sejarah dan arkeologi, interaksi antara tamadun amat memainkan peranan. Contohnya perihal jong Melayu. Wujud artifak jong ini memang pada hari ini sudah tiada. Tetapi catatan tentangnya terakam dalam arkib Portugis dan China. Baik tentang saiz, berat, tinggi, mahupun rekaan. Oleh kerana itu, jong Melayu ini bukan setakat disahihkan wujud. Malah boleh digambarkan semula baik dalam bentuk lukisan 3D mahupun model 3D.
Berbeza halnya dengan menara firaun 15km ini. Bukan hanya kesan runtuhannya sahaja yang tiada. Rekod mengenainya pun langsung tiada – wa ima dari arkib Mesir Purba sendiri mahupun tamadun-tamadun kontemporari seperti Hykos, Nubia, Mesopotamia, dan Yunani.
Hal ini cukup memusykilkan. Sebab rekod tentang firaun pertama (Menes) yang sangat purba pun dapat dijumpa. Alih-alih rekod tentang menara megah milik firaun era Nabi Musa (as) langsung tiada kesan. Sedangkan, ilmuan dulu hingga kini sudah mengenal pasti beberapa firaun yang diandaikan sebagai firaun era Nabi Musa (as). Antaranya ialah Thutmose II (1493-1479 SM), Amenhotep II (1427-1397 SM), Ramses II (1279-1213), dan Merneptah (1213-1203 SM).
Iya, kalau perasan… kesemua calon hidup sekitar 1500-1200 SM. Sementara jalur kefiraunan pula bermula dari 2925-30 SM). Makna kata, era firaun dilaknat ini hanya mewakili 1/10 sahaja dari seluruh sejarah Mesir Purba. Selebihnya kita sendiri tidak pasti patut tidak dikaitkan dengan kelaknatan tersebut.
Lebih-lebih lagi, dalam kalangan firaun pun ada yang mempromosi monoteism (menyembah satu tuhan) seperti Akhenaten (1353-1336 SM). Ini seakan Abrahah dan Najasyi dalam sirah Nabi Muhammad (saw). Kedua-duanya dari Kerajaan Aksum. Namun, masing-masing menampilkan sisi berbeza. Abrahah punya ingkar sampai berani melanggar Kaabah. Sementara Negus Ashamah (614-631 M) pula punya taat sampai sanggup melindungi sahabat-sahabat yang berhijrah ke kerajaannya.
Apapun kembali kepada firaun yang diandaikan firaun era Nabi Musa (as); dalam kalangan mereka, antara calon paling diyakini adalah Ramses II. Keyakinan ini berlandas dari kajian yang dibuat oleh Dr. Maurice Bucaille – betapa beliau mengesahkan yang firaun seorang ini memang mati lemas.
Namun bukan perihal kajian ini yang mahu dibahaskan di sini. Tetapi tentang tinggalan-tinggalan Ramses II. Betapa, bukan mumianya sahaja yang ada hingga hari ini. Tetapi binaan-binaannya juga. Antaranya adalah Kuil Abu Simbel, Kuil Rammeseum, Patung Besar Ramses, dan bandar Pi-Ramesses. Kesemua tinggalan ini boleh disaksikan dan catatannya juga masih tersimpan kemas.
Justeru, andai kata benar yang Ramses II ini adalah firaun era Nabi Musa (as), maka wajarnya kita bertanya, “Kalaulah menara untuk melihat dan membunuh tuhan Musa (as) pun tingginya sudah 15km, takkan patung untuk mengisytihar diri sebagai tuhan takat 11 meter sahaja?”
Dan persoalan sama masih munasabah walau siapa pun firaun era Nabi Musa (as) yang sebenar. Kerana sepanjang 3,000 sejarahnya, langsung tiada catatan satu pun perihal menara 15km di Mesir Purba. Apatahlagi di Babylon (namrud), Persepolis (kisra), mahupun Istanbul dan Rome (kaisar).
Tanpa Kisah Menara 15KM Pun, Firaun Dah Dilaknat
Apapun sebagai kesimpulan, kisah ‘menara firaun 15km’ ini bukanlah bahagian yang wajib untuk diyakini sebagai Muslim. Cukup sekadar beriman pada ayat ‘Firaun menerintahkan Haman membina menara’. Tidak perlu menjaja kisah ‘menara setinggi 15 km’. Kerana tanpa kisah itu pun, semua tahu keangkuhan firaun era Musa (as) dan laknat ke atasnya. Justeru kisah ini ibarat ‘diambil tidak menambah, ditinggal pula tidak mengurang’.
Tambahan, dengan segala keraguan yang membelenggunya, kisah ini sebetulnya lebih mengundang mudarat berbanding manfaat andai dijaja. Ini lebih-lebih lagi jika kita menghayati kalam kritik daripada Ibn Khaldun dalam Muqaddimah seperti yang dinukil di bawah:
“Para sejarawan Muslim terkemuka telah mencatat sejarah-sejarah masa lalu secara menyeluruh. Namun kerja keras mereka itu oleh orang-orang yang kerdil dicampuradukkan dengan kebatilan-kebatilan dan riwayat-riwayat yang lemah hingga diikuti oleh orang-orang yang datang kemudian.
Kita lantas mendengar sejarah tersebut dalam versinya yang tak lagi original. Mereka pun tidak memerhatikan sebab-sebab terjadinya suatu peristiwa dan tidak membuang kisah-kisah yang remeh atau lemah.
Upaya penelitian sedikit dilakukan. Kesempurnaan pun cacat. Berita yang sampai sering keliru. Taklid sudah berurat-berakar pada kebanyakan manusia. Kemunduran pencapaian dalam banyak cabang ilmu terjadi. Kebodohan telah menjadi wabah sekaligus bencana kemanusiaan.
Padahal kekuasaan kebenaran tak dapat dilawan, syetan kebatilan dihanguskan oleh meteor-meteor pemikiran. Orang yang menukil hanya bersifat meminta dan menyampaikan. Namun akal pikiran akan menembus kebenaran ketika terhalang. Ilmu akan membersihkan lembaran-lembaran hati guna menampung kebenaran tersebut.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih