Bentuk muka bumi Kepulauan Melayu pada Maksimum Glasier Terakhir (23,000 – 19,000 tahun yang lepas) bukanlah seperti yang kita sangka sekarang. Pulau Sumatera, semenanjung Tanah Melayu, pulau Borneo, pulau Jawa serta pulau Padawan di Filipina pernah bercantum dan membentuk sebuah daratan luas yang dikenali sebagai benua Sunda (Sundaland). Di kawasan inilah beras mula ditanam dan gangsa mula ditempa.
Peta benua Sunda yang menunjukkan distribusi daratan moden (kelabu gelap) dan daratan tambahan (kelabu cerah) yang terdedah pada Maksimum Glasier Terakhir.
Benua ini dianggarkan seluas 1,800,000 kilometer persegi dan mempunyai sempadan yang bersamaan 120 meter isobath. Di bahagian timur, benua Sunda dipisahkan dengan kawasan Wallacea melalui Garis Wallace, garis yang menandakan perbezaan fauna mamalia dan burung di pulau-pulau di kedua-dua sisi garisan tersebut. Sempadan di bahagian barat dan selatan pula lebih mudah untuk dikenalpasti iaitu – Parit Sunda dan Lautan Hindi. Manakala pemisahan benua di bahagian utara pula berlaku pada garisan latitud ~ 9 N.
Benua Sunda mempunyai 4 sistem sungai utama (dikenali sebagai Sistem Sungai Molengraaf) iaitu Sungai Melaka, Sungai Siam, Sungai Sunda Timur dan Sungai Sunda Utara. Kebanyakan muara sungai-sungai Molengraaf ini telah tenggelam disebabkan oleh peningkatan paras air laut yang terjadi pada penghujung Pleistosen.
Koridor savanna (hijau) di benua Sunda.
Terdapat dua pendapat mengenai iklim atau biom benua Sunda pada Maksimum Glasier Terakhir. Pendapat yang pertama ialah kewujudan iklim savanna yang merangkumi Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan di antara pulau Jawa dan pulau Borneo. Kewujudan iklim ini dibuktikan dengan penemuan meluas ‘boulder beds’ yang tebal, sungai yang mempunyai pola ‘braided’, dan mendapan kipas alluvium di sekitar kawasan Malaysia dan Indonesia pada Pliosen Akhir dan Pleistosen Awal.
Selain itu, ketibaan manusia prasejarah (Anatomically Modern Human) di benua Sahul (Australia dan New Guinea) sekitar 50,000 – 60,000 tahun yang lalu juga mengukuhkan pendapat ini, dimana persekitaran savanna berfungsi sebagai koridor untuk spesis prasejarah di rantau ini bermigrasi.
Lokasi benua Sunda yang berhampiran dengan garisan khatulistiwa memungkinkan keberadaan iklim hutan hujan tropika seperti yang kita lihat sekarang. Pendapat ini dikukuhkan dengan filogeografi spesis Lithocarpus (pokok mempening) di pulau Borneo, dimana spesis ini mempunyai toleransi yang rendah terhadap perubahan musim dan mengalami sedikit penghijrahan habitat sejak Neogen. Kewujudan Orang Utan di dua pulau yang berbeza, iaitu pulau Borneo dan Sumatera juga membuktikan bahawa hutan hujan tropika pernah meluas dan menghubungkan dua daratan tersebut pada Maksimum Glasier Terakhir.
Orang Utan, atau nama saintifiknya, Pongo, merupakan primat yang sangat bergantung dengan ekosistem hutan hujan tropika. Pendedahan benua Sunda pada Glasier Maksimum Terakhir menjelaskan keberadaan spesis ini di dua lokasi yang berbeza iaitu pulau Borneo dan pulau Sumatera.
Penenggelaman benua Sunda bukanlah terjadi kerana letusan gunung berapi Toba yang berlaku sekitar 75,000 tahun yang lepas. Namun, ianya berlaku disebabkan oleh dua peristiwa bencana global.
Fasa pertama penenggelaman berlaku sekitar 15,000 – 13,500 tahun yang lalu. Peristiwa ini dikenali sebagai Meltwater Pulse 1A, dimana lapisan ais Laurentide telah mencair dan mengalir ke lautan Atlantik melalui lembah Mississippi, dan seterusnya mengakibatkan paras air laut global menaik dengan mendadak. Fasa penenggelaman yang kedua pula disebabkan peristiwa Meltwater Pulse 1B yang berlaku pada 11,500 tahun yang lepas, dan mencapai kemuncak sekitar 10,000 tahun yang lepas dimana keadaan hidrografi moden terbentuk.
Penemuan landskap purba ini bukan sahaja memainkan peranan yang penting dari sudut geografi dan sejarah, bahkan berpotensi dalam mencorak masa hadapan geopolitik di rantau ini. Sehingga kini, kajian terhadap benua Sunda masih giat dilakukan oleh para saintis dan sejarawan dengan harapan – membongkar seribu satu misteri yang masih tersembunyi di Alam Melayu ini.
RUJUKAN:
Oppenheimer, S. (2012). Out-of-Africa, the peopling of continents and islands: tracing uniparental gene trees across the map. Philosophical Transactions of the Royal Society B: Biological Sciences, 367(1590), 770–784. https://doi.org/10.1098/rstb.2011.0306
Pelejero, C., Kienast, M., Wang, L., & Grimalt, J. O. (1999). The flooding of Sundaland during the last deglaciation: imprints in hemipelagic sediments from the southern South China Sea. Earth and Planetary Science Letters, 171(4), 661–671. https://doi.org/10.1016/s0012-821x(99)00178-8
Bird, M. I., Taylor, D., & Hunt, C. (2005). Palaeoenvironments of insular Southeast Asia during the Last Glacial Period: a savanna corridor in Sundaland? Quaternary Science Reviews, 24(20-21), 2228–2242. https://doi.org/10.1016/j.quascirev.2005.04.004
Artikel dikirimkan oleh Amier Hakeem untuk The Patriots.




No comments yet