Bayangkan satu syarikat buat sidang “mohon maaf” secara rasmi hanya kerana naikkan harga aiskrim beberapa sen.
Kita dengar macam benda kelakar yang merepek, takkanlah sebab naik harga sikit pun nak minta maaf?
Tapi inilah yang betul-betul berlaku di Jepun.
Pada tahun 2016, sebuah syarikat aiskrim Jepun bernama Akagi Nyugyo membuat sesuatu yang mengejutkan dunia. Mereka muncul di televisyen nasional hanya untuk memohon maaf kepada pelanggan.
Sebabnya bukan mereka melakukan skandal besar.Bahkan, bukan juga kes produk rosak atau isu keselamatan makanan.
Sebabnya cuma satu.
Harga aiskrim mereka naik sekitar 9 sen.
Aiskrim yang dimaksudkan ialah Garigari-kun, sejenis aiskrim batang yang sangat popular di Jepun, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Produk ini sudah dijual sejak tahun 1981 dan menjadi antara snek paling ikonik di negara itu.
Selama puluhan tahun, aiskrim ini dikenali sebagai snek murah yang boleh dibeli dengan duit poket.
Ramai kanak-kanak Jepun membesar dengan memegang aiskrim ini pada hari panas.
Masalahnya, harga aiskrim itu hampir tidak berubah selama satu generasi.
Selama 25 tahun penuh, harganya kekal sama. Sebelum 2016, harga sebatang Garigari-kun ialah 60 yen sahaja.
Kemudian syarikat terpaksa menaikkan harga kepada 70 yen.
Dalam nilai dolar, kenaikan itu cuma sekitar 9 sen.
Tetapi bagi syarikat itu, perubahan sekecil itu dianggap sesuatu yang serius. Sebabnya yang mereka takut pelanggan rasa dikhianati.
Akhirnya, syarikat tersebut mengambil keputusan luar biasa.
Mereka menghasilkan iklan selama 60 saat untuk meminta maaf.
Iklan itu disiarkan di televisyen seluruh Jepun. Dan ia bukanlah iklan biasa.
Dalam video tersebut, presiden syarikat bersama pengurusan tertinggi berdiri di depan kamera dengan wajah serius.
Di belakang mereka pula berdiri puluhan pekerja syarikat.
Kemudian sesuatu yang sangat Jepun berlaku. Kesemua mereka tunduk serentak sebagai tanda memohon maaf.
Di skrin hanya muncul satu ayat pendek.
“Kami bertahan selama 25 tahun, tetapi…”
Selepas itu muncul tulisan ringkas.
“60 → 70”.
Ia merujuk kepada kenaikan harga daripada 60 yen kepada 70 yen.
Akhirnya, iklan itu pun menjadi viral.
Ratusan ribu orang menontonnya dalam masa singkat di internet. Ramai orang di luar Jepun terkejut melihat reaksi ini.
Di banyak negara lain, kenaikan harga mungkin berlaku setiap tahun tanpa penjelasan.
Tetapi di Jepun, budaya korporat berbeza. Syarikat sangat sensitif terhadap kepercayaan pelanggan.
Dalam budaya Jepun, permohonan maaf secara terbuka adalah sesuatu yang penting. Ia dianggap sebagai tanda tanggungjawab dan hormat kepada masyarakat.
Sebab itulah, walaupun kenaikan harga cuma beberapa sen, syarikat masih rasa perlu menjelaskan kepada pelanggan.
Mereka mahu menunjukkan bahawa keputusan itu bukan dibuat dengan mudah.
Menurut syarikat tersebut, kenaikan harga berlaku kerana kos bahan mentah dan pembungkusan meningkat.
Mereka sebenarnya cuba menahan kenaikan harga selama bertahun-tahun.
Kisah ini menunjukkan sesuatu yang menarik tentang Jepun.
Kadang-kadang perkara kecil pun dianggap serius. Ia juga menunjukkan betapa kuatnya hubungan antara syarikat dan pelanggan di sana.
Kepercayaan dianggap lebih penting daripada keuntungan jangka pendek.
Ironinya, permohonan maaf itu sebenarnya menjadi pemasaran yang sangat berkesan. Video itu tersebar ke seluruh dunia.
Bukan itu sahaja, orang ramai tidak marah langsung kepada syarikat itu. Sebaliknya, mereka memuji sikap jujur dan rendah diri yang ditunjukkan.
Harapnya, perangai inilah yang dapat diterapkan dalam negara kita.




No comments yet