Apa perasaan korang bila tengok ahli-ahli politik ini sibuk tunggang agama sebab nak raih nama dan populariti?
Rasanya kita semua dah muak, sebab mereka tidak ikhlas langsung nak berkhidmat kepada agama, melainkan hanya sibuk guna retorik untuk kepentingan mereka sendiri.
Dan, inilah yang berlaku kepada Pete Hegseth, Setiausaha Perang di Amerika Syarikat.
Isu ini baru-baru je meletup selepas beliau berucap dalam satu sesi doa di Pentagon dan memetik ayat yang ramai kenal, tapi rupanya berasal dari filem.
Dalam ucapan itu, Hegseth menggunakan versi ayat yang sangat mirip dengan monolog terkenal Samuel L. Jackson dalam filem Pulp Fiction.
Ayat tersebut sering dikaitkan dengan Bible, khususnya Ezekiel 25:17, tetapi versi filem itu sebenarnya telah diubah suai dan bukan teks sebenar kitab.
Itu dah satu masalah, tapi timbul masalah lain yang lagi besar.
Petikan itu dipetik dan dibacakan dalam suasana doa rasmi yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan Amerika, termasuk misi berkaitan konflik dengan Iran.
Jadi, kita dah boleh agaklah apa orang akan kata. Reaksi awam sangat keras terhadap isu ini.
Ramai mengkritik tindakan seorang pegawai tinggi kerajaan yang dianggap tidak hormat kerana campur aduk budaya pop dengan teks agama, lebih-lebih lagi dalam suasana perang.
Dalam masa yang sama, Hegseth juga menggunakan naratif agama untuk menyerang media.
Beliau tanpa segan silu membandingkan wartawan dengan golongan Pharisees yang dalam tradisi Kristian digambarkan sebagai penentang Nabi Isa.
Bila dua perkara ini digabungkan, kita akan nampak satu pattern bila agama digunakan.
Agama pada zaman kini sudah menjadi bahasa politik yang digunakan untuk membentuk persepsi. Senang kata, kalau nak menang pilihan raya, mesti tunggang agama.
Ini bukan fenomena baru dalam sejarah Amerika Syarikat. Dari zaman Perang Dingin hingga ke Perang Iraq 2003, retorik moral sering dibingkai dalam bahasa agama untuk memberi justifikasi kepada tindakan ketenteraan.
Dalam konflik terbaru dengan Iran, perkara sama mula muncul semula.
Ada laporan bahawa sebahagian anggota tentera diberitahu perang ini adalah sebahagian daripada “rancangan Tuhan” yang difahami bahawa perang ini lebih dari perang antara negara, tetapi perang suci (Holy War) merentasi agama.
Kita dapat lihat seperti ini memberi kesan besar kepada cara orang awam melihat perang.
Ia akhirnya mengubah konflik geopolitik yang kompleks menjadi seolah-olah perjuangan suci antara kebenaran dan kejahatan.
Masalahnya, apabila agama digunakan tanpa teliti, ia membuka ruang kepada manipulasi.
Bahkan, apa yang dibuat Hegseth ini jelas menunjukkan bagaimana satu ayat yang salah atau diubah boleh membawa mesej yang sangat berbeza daripada maksud asal.
Lebih membimbangkan, ia berlaku dalam suasana di mana keputusan politik melibatkan nyawa manusia.
Dalam tradisi ilmu agama, sama ada dalam Islam atau Kristian, ketepatan teks adalah asas utama.
Salah petik bukan hanya kesalahan teknikal, tetapi boleh menyelewengkan kefahaman masyarakat secara keseluruhan.
Lebih malang apabila seorang tokoh berpengaruh melakukan perkara ini di pentas rasmi, ia mencerminkan bagaimana agama boleh dijadikan alat simbolik tanpa disiplin ilmiah.
Tapi, apa nak heran sangat pasal AS ini.
Sebelum ini, Trump selamba sahaja buat poster yang menggambarkan dirinya seakan-akan Jesus Christ selaku “penyelamat umat manusia” dari cengkaman Iran yang dianggap sebagai “penjenayah”.
Jadi, bagi mereka, kecil sahaja hal salah petik dalam Bible ni.
Sebab bagi mereka, agama tiada makna bagi mereka melainkan permainan semata-mata.




No comments yet