Sebelum zaman Maharaja Meiji, bangsa Jepun boleh dikatakan berpecah belah tanpa sebuah institusi politik yang tunggal. Sesama sendiri, mereka nampak maju kerana saling menandingi antara satu sama lain. Mereka mula sedar diri selepas kedatangan Amerika Syarikat pada tahun 1853.
Begitu besar kapal-kapal perang Laksamana Hilir Matthew Perry dengan teknologi yang ibaratkan senapang dengan lembing kalau dibandingkan dengan Jepun. Datangnya Perry adalah untuk menjalinkan sebuah perjanjian perdagangan dengan Jepun (Hunt, et al., 2009).
Sudah pasti Amerika Syarikat datang dengan “show of force”. Tetapi bagi Jepun, mereka tidak suka jadi ayam dalam gelanggang sendiri. Mentaliti kebangsaan terus berubah dengan keinginan ilmu teknologi sampai China mula rasa kurang senang dan terancam (Kissinger, 2011).
Lapan bulan sebelum Perry mendarat, Jepun menimang seorang putera bernama Mutsuhito yang membesar pada ketika negara mula bersatu padu demi cinta pada teknologi.
Ranapnya Sistem Kebangsawanan
Putera Mahkota Mutsuhito mewarisi takhta ayahandanya pada 3 Februari 1867 ketika berusia 15 tahun. Pada awal pemerintahannya, Mutsuhito menghadapi perpecahan fizikal dan ideologikal yang memisahkan pucuk kepimpinan.
Pemisahan ini berlaku kerana terlalu banyak kem kebangsawanan, seperti daimyo, shishi dan shogun.
Masing-masing mahu mengubah Jepun ikut fikrah sendiri… tanpa penglibatan maharaja secara aktif (Keene, 2002). Jadi bagi mereka, Jepun kena ikut haluan monarki berperlembagaan.
Apa yang berlaku kemudian memang menarik. Maharaja Mutsuhito seolah-olah membiarkan saja kem-kem bangsawan berantakan. Ibaratkan bangsawan bergaduh sesama sendiri; maharaja tepuk tangan.
Perpecahan kalangan bangsawan berkemuncak sampai kerajaan Jepun digulingkan. Tanpa sebuah kerajaan yang sah, wakil-wakil asing masuk dan dibawa terus untuk menghadap Sang Maharaja.
Mudah kata, tangan-tangan feudalis itu sendiri yang menghancurkan pentas feudalisme.
Pertelingkahan mereka ibaratkan menghadiahkan kuasa mutlak pada Maharaja Mutsuhito… yang kemudian menubuhkan kerajaan rasmi.
Bermulanya Zaman Meiji
Dalam bahasa Jepun, perkataan “meiji” bermaksud “kepimpinan yang cerah (dari segi masa depan)”. Peralihan ke sistem monarki mutlak menggilap imej Mutsuhito sebagai penjamin masa depan negara.
Tanpa perpecahan angkara bangsawan, Jepun boleh meneruskan segala usaha pemodenan setelah tertunduk malu melihat kemajuan kapal perang Amerika Syarikat.
Pertama sekali, Jepun sangat risau ditakluk kuasa asing satu hari nanti. Jadi mereka tidak mahu bersengketa (ketika masih lemah). Untuk pengetahuan semua, Jepun mengamalkan “sistem pertapa” (hermit system).
Selama 250 tahun, warga asing diharamkan masuk dalam negara (sebab itulah Perry datang untuk membuat perjanjian perdagangan).
Warga tempatan diharamkan keluar. Sesiapa yang melanggar syarat pertapa akan dibunuh. Sistem ini dihapuskan Mutsuhito yang ingin menjahit benang pemodenan bersama sulaman tradisional.
Apabila negara dibuka, macam-macam ilmu baru masuk melimpah tetapi masih dipagar etika bangsa. Sistem feudalisme dihapuskan… tetapi Mutsuhito memerintah dengan menggunakan sistem oligarki (mirip shogun juga). Unit-unit shogun, daimyo dan shishi diserap masuk dalam oligarki ini.
Baru tetapi tradisional senang cakap, yang mana maharaja mengatur langkah disahut pembesar dan menteri.
Teknologi masuk melimpah dalam perindustrian negara, memodenkan semua unit utama Jepun. Untuk menguatkan angkatan ketenteraan, Mutsuhito menggunakan teknik samurai.
Dulu hanya kalangan samurai saja perlu dikerah berlatih selama empat hingga tujuh tahun. Tetapi sekarang semua anak muda – daimyo, samurai, shogun, marhaen – kena berlatih dengan modul sama.
Semua orang menjadi samurai, ibaratkan. Ada puak samurai mengamuk menentang cara baru ini. Tetapi “Tentera Diraja Jepun” yang baru diasaskan dengan cepat memusnahkan kaum pemberontak ini.
Melihat apa yang berlaku, kalangan samurai pula tertunduk dan sedar zaman mereka sudah habis. Kerana Jepun sekarang masuk fasa baru iaitu “Kayakan negara, Kuatkan Tentera”.
Slogan ini menjadi punca di sebalik kebangkitan Jepun sampai selamba menewaskan China dalam Perang 1894-1895 dan Rusia dalam Perang 1904-1905.
Maharaja Mutsuhito mangkat pada tahun 1912 dan selamanya (posthumously) digelar “Mikado Meiji”. Kerana baginda, negara mematikan Jepun yang lama dan melahirkan Jepun yang baru.
Sampai bergegar Washington, D.C., kerana musnahnya Pearl Harbor.
Kalau anda berminat dengan artikel seperti ini, kami nak cadangkan buku terbaru kami, KITAB TAMADUN JEPUN yang bercerita tentang sejarah Jepun dari zaman purba sehingga ke zaman moden! Boleh buat pembelian di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun
RUJUKAN:
Hunt, L., et al. (2009). The Making of the West, Peoples and Cultures. Bedford/St Martin’s. Halaman 712-713.
Keene, D. (2002). Emperor of Japan: Meiji and His World, 1852-1912. Columbia University Press. Halaman 102-104.
Kissinger, H. (2011). On China. Penguin UK.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih