Kita mengenali Alexander the Great sebagai tokoh penakluk yang paling berjaya menyatukan Barat dan Timur semasa menjadi pemerintah empayar Yunani Kuno. Pada abad ke-4 Masihi adalah waktu kegemilangan baginda menakluk jajahan dari Greece hingga ke India.

Kempen penjajahan Alexander mengubah sejarah dunia walaupun setelah baginda mangkat. Wujud kerajaan-kerajaan baru membawa legasi Alexander dengan membawa budaya Helenistik sehinggalah runtuhnya empayar ini di tangan Rom.

Untuk artikel ini, saya sampaikan sejarah tentang Bactria, iaitu wilayah Helenistik paling timur. Luas kerajaan kuno ini ialah gabungan negara Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan, dan Afghanistan. Semasa fasa kegemilangan kerajaan ini, ia menguasai sebahagian tanah Iran dan India.

Sebelum kedatangan Alexander, kerajaan Bactria telah lama menerima budaya Yunani berkat pengenalan budaya ini oleh dinasti Achaemenid, pemerintah empayar Parsi yang pertama menakluk Bactria. Setelah kemaraan Alexander, nama kerajaan bertukar kepada Graeco-Bactria.

Wilayah Bactria.

BACTRIA DALAM FASA EMPAYAR PARSI

Bactria sebenarnya ialah sebuah wilayah dalam empayar Parsi dinasti Achaemenid. Bactria pada ketika itu dikenali dengan nama Bactriana atau Zariaspa. Wilayah ini terletak di antara pergunungan Hindu Kush dan Sungai Oxus.

Bactria pertama kali ditakluk pada abad ke-6 SM semasa pemerintah Parsi pertama dari dinasti Achaemenid bernama Cyrus the Great. Wilayah ini kemudian menjadi jajahan Parsi selama dua abad lamanya. Dalam tempoh itu juga dinasti Achaemenid mempertahankan Bactria sehingga akhirnya tumpas dalam tangan Alexander.

Bagi Achaemenid, Bactria begitu penting buat empayar Parsi kerana ada dua sebab: ekonomi agrikultur dan perdagangan. Bahagian utara pergunungan sehingga ke Sungai Oxus mempunyai tanah subur untuk pertanian. Bactria juga menjadi lubuk simpanan mineral emas, perak, dan lapis lazuli yang terlindung dalam pergunungan. Laluan Jalan Sutera melalui Bactria juga menjadikan Bactria sebagai wilayah yang kaya membantu ekonomi Parsi.

Empayar Parsi mengenakan ufti kepada wilayah-wilayah taklukan sebagai tanda penghormatan kepada empayar. Bagi Parsi, ufti ini menjaminkan keterikatan dengan wilayah lain yang jauh. Biasanya wakil wilayah menghantarkan kulit, seramik, dan haiwan ternakan sebagai penghantaran ufti. Berbeza dengan Bactria, wakinya menghantar beberapa mangkuk berisi emas saja. Inilah taraf kekayaan Bactria berbanding wilayah lain.

Pada abad ke-5 dan ke-4 SM, Parsi melalui siri berperang dengan Yunani Kuno. Rakyat wilayah Yunani yang telah ditakluk Parsi akan menjadi banduan dan dibuang ke Bactria. Kemudian para banduan ini bergaul dengan warga Bactria, seterusnya membawa budaya Yunani dan meng-helenistik-kan Bactria. Maka, Bactria telah lama menerima budaya Helenistik sebelum ketibaan angkatan tentera Alexander.

Ini secara tidak lansung Yunani Kuno berjaya menanam budaya mereka dalam wilayah milik empayar lawan. Beberapa abad kemudian, Parsi mengerahkan komumiti Yunani Bactria sebagai tentera barisan hadapan kerana mempunyai kepahlawan yang tinggi.

Ukiran wakil Bactria membawa mangkuk emas bersama unta.

KETIBAAN ALEXANDER

Pada tahun 334 SM, Alexander dan bala tenteranya tiba di tanah Asia, memulakan kempen bertempur dengan Empayar Parsi Achaemenid. Pada musim sejuk 329 atau 328 SM, pasukan tentera Alexander tiba di Bactria selepas melintasi pergunungan Hindu Kush.

Pasukan tentera ini sengaja memasuki dari tenggara Bactria bagi mengejutkan tentera Parsi yang menyangka bahawa tentera Yunani bakal memasuki empayar dari barat. Kemudian Bactria mudah ditakluk oleh tentera Alexander ini. Puak Bactria dan Sogdia yang merupakan warga wilayah Bactria terkejut dengan kemaraan tentera Alexander, seterusnya bersama-sama melawan Parsi dengan menangkap pemerintah Bactria iaitu Artaxerxes V Bessus. Artaxerxes kemudian dihakimi oleh salah satu jeneral Alexander bernama Ptolemy.

Selesai membebaskan Bactria dari Parsi, kedua-dua puak wilayah ini sekali lagi memberontak tetapi kali ini melawan Alexander kerana tidak mahu undang-undang Yunani dilaksanakan dalam Bactria. Akhirnya pemberontakan ini telah dihentikan oleh tentera Alexander.

Untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku di masa akan datang, Alexander mendapatkan kepercayaan dari warga Bactria dengan mengahwini puteri diraja bernama Roxane. Setelah berkahwin, Alexander tidak menetap lama di Bactria kerana baginda harus meneruskan kempen penaklukan di India. Sebelum berangkat, baginda mengerahkan tenteranya seramai 30,000 anggota menetap di Bactria agar wilayah itu kekal setia dengan Alexander.

Empayar Seleucid yang menaungi Bactria.

BACTRIA DALAM FASA EMPAYAR SELEUCID

Pada awal tahun 325 SM, tentera Yunani yang berkawal di Bactria tiba-tiba memberontak dan mengambil keputusan untuk pulang ke Greece setelah mengetahui Alexander hampir cedera semasa bertempur di benteng-benteng orang Mallian yang terletak di utara India.

Pemberontakan tentera Yunani ini disokong oleh warga Bactria sendiri kerana mereka melihat ini peluang besar untuk menghalau golongan ini dan kembalikan Bactria yang bebas dari genggaman Alexander. Walau bagaimanapun, Alexander telah sembuh dan segera menghentikan pemberontakan tersebut.

Tentera dan warga Yunani di Bactria sekali lagi memberontak pada tahun 323 SM setelah Alexander mangkat. Pasukan tentera Yunani dihantar oleh Peithon (salah satu orang kuat Alexander ) untuk menghentikan pemberontakan itu. Akibat dari pemberontakan tersebut, ramai warga Yunani dibunvh.

Empayar luar Greece yang telah Alexander kuasai semakin runtuh saat baginda telah mangkat. Jeneral-jeneral yang diarahkan memerintah wilayah-wilayah luar merebut kuasa bagi menjadi Alexander kedua, seterusnya menguasai wilayah lain. Perebutan kuasa ini meninggalkan Bactria yang ‘kosong’ tanpa pemerintah.

Pada tahun 309 SM, jeneral Alexander bernama Seleucus I Nicator menang dalam Pertempuran Babylonian melawan jeneral-jeneral lain. Seleucus kemudian menguasai wilayah-wilayah timur Alexander. Salah satunya ialah Bactria di mana Seleucus menghantar bala tentera pada tahun 308 SM untuk mengisytiharkan Bactria sebagai sebahagian empayar baru bernama Seleucid.

Sejak Bactria berada dalam kekuasaan Seleucid selama beberapa dekad, Seleucid menjadi kaya atas kelebihan yang terdapat pada Bactria ini. Kemudian wilayah ini dipanggil dengan nama ‘Tanah Seribu Kota’. Tambahan pula, golongan Yunani dan Bactria hidup harmoni tidak seperti keadaan ketika Alexander berkuasa. Walau bagaimanapun, keamanan Seleucid terganggu pada pertengahan abad ke-3 SM.

Kerajaan Graeco-Bactria yang diasaskan oleh Diodotus.

KEMERDEKAAN BACTRIA

Pada tahun 245 SM, Andragoras iaitu pegawai perintah wilayah Parthia pergi ke barat Bactria dan memberontak melawan para tuan tanah Seleucid. Akhirnya Andragoras berjaya menubuhkan kerajaan di barat Bactria namun sementara saja kerana mudah ditakluk oleh anasir lain akibat ketiadaan perlindungan ketenteraan Seleucid.

Wilayah Parthia kemudian ditakluk oleh golongan Parni dari Iran dan menubuhkan Empayar Parthia.
Bactria pada ketika itu diperintah oleh pegawai perintah bernama Diodotus yang taat dengan Seleucid yang diperintah oleh Antiochus I. Setelah mengetahui pemberontakan Andragoras ini, beliau menggugat Seleucid dengaan mengisytiharkan Bactria sebagai wilayah merdeka dan menubuhkan kerajaan Graeco-Bactria serta melantik dirinya sebagai raja.

Tidak seperti Andragoras, Diodotus berjaya mempertahankan kerajaan barunya dengan mematahkan invasi tentera Parthia dan tidak mendapat ancaman dari Seleucid yang sibuk pertahankan empayar di bahagian barat. Walaupun Bactria telah menjadi wilayah bebas, namun hubungannya dengan dunia Hellenistik terputus akibat kewujudan Empayar Parthia yang menjadi ‘dinding’. Bactria tidak lagi berkongsi kekayaan dari Jalan Sutera kepada dunia tersebut.

KEGEMILANGAN GRAECO-BACTRIA

Penubuhan awal kerajaan ini memperoleh zaman keamanan sejak di bawah pemerintahan Diodotus. Sesetengah sejarahwan memperolehi sumber tentang hubungan empayar Seleucid dengan Graeco-Bactria.

Pada tahun 246 SM, Seleucid berada dalam fasa kekacauan. Jadi pemerintah ketika itu bernama Seleucus II cuba mengadakan hubungan baik dengan Diodotus dengan mengahwinkannya dengan adik perempuan Seluecus. Sumber ini menunjukkan kerajaan Graeco-Bactria diterima oleh Seleucid, walaupun Diodotus bertindak keluarkan wilayah ini dari genggaman Seleucid.

Sekitar tahun 225 SM, Diodotus telah digulingkan takhtanya oleh perampas bernama Euthydemus, kemudian melantik dirinya sebagai raja kedua Graeco-Bactria. Pada akhir abad ke-3 SM, maharaja Seleucid bernama Antiochus II the Great melancarkan kempen penaklukan di timur empayar bagi merampas kembali bekas jajahan milik Alexander.

Pada 206 SM, Graeco-Bactria telah diserang dan ditakluk oleh tentera Seleucid yang muncul dari barat laut Afghanistan. Euthydemus sempat melarikan diri ke ibu kota Bactra. Antiochus mengejar Euthydemus sehingga ibu kota tempat baginda berlindung dibedil. Bala tentera Graeco-Bactria pertahankan tanah air selama 2 tahun dan kemudian kedua-dua kuasa menandatangani perjanjian damai.

Dalam perjanjian tersebut, Euthydemus dan Antiochus mesti mengisytiharkan empayar masing-masing dan mengikat perjanjian dengan mengahwini puteri Antiochus dengan putera Euthydemus bernama Demetrius.

Selesai berkonflik dengan Seleucid, Graeco-Bactria memulakan kempen perluasan empayar bermula dari India. India mengalami fasa kekacauan selepas kemangkatan maharaja Maurya bernama Asoka pada 232 SM. Masuk abad ke-2 SM, tentera Graeco-Bactria arahan raja baru iaitu Demetrius mula menyerang India melalui Hindu Kush.

Semasa Demetrius sibuk menjarah India, takhta Graeco-Bactria mula diganggu oleh perampas bernama Eucratides. Demetrius kembali ke tanah air untuk merampas kembali takhta tersebut namun pertempuran berlaku dengan tentera arahan Eucratides, kemudian mangkat ketika bertempur.

FASA AKHIR GRAECO-BACTRIA

Ramai sejarahwan beranggapan bahawa Eucratides kembalikan dinasti Diodotus kerana baginda ialah cucu keturunan Diodotus. Perkara pertama Eucratides perlu buat sebagai pemerintah baru ialah meneruskan kempen menjarah India. Hasilnya, Graeco-Bactria berjaya menawan utara India, seterusnya menubuhkan kerajaan Indo-Greek.

Pada tahun 145 SM, Eucratides dibunuh oleh puteranya sendiri dan bermulanya p3rang sivil yang akan melemahkan kerajaan Graeco-Bactria. Tambahan pula, puak nomad dari utara bernama Yuezhi mengambil kesempatan menjarah Graeco-Bactria, selepas melarikan diri dari puak Xiongnu.

Pada 125 SM, puak nomad Yuezhi menjarah Graeco-Bactria dan raja Bactria terakhir bernama Heliocles II melarikan diri dan memindahkan ibu kota ke lembah Kabul, seterusnya memerintah utara India. Maka, kerajaan Graeco-Bactria telah tumbang, tinggal kerajaan Indo-Greek yang bertahan sehinggalah abad pertama Masihi.

Inilah sejarah wilayah Bactria yang begitu panjang, bermula dari empayar Parsi Achaemenid hingga ke kerajaan Graeco-Bactria.

RUJUKAN:

Mingren, Wu. 9 October 2021. The Graeco-Bactrian Kingdom: Alexander The Great’s Easternmost Legacy. Ancient Origins.

Vukovic, A. 2 October 2021. Bactria – The Bountiful, Sought-after Region of Ancient History. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.