Ramai yang menyangka bahawa Singapura akan rugi besar jika Terusan Kra dibina di Thailand. Namun sebenarnya kita yang jauh lebih terancam berbanding Singapura sekiranya rancangan itu menjadi kenyataan. Berbeza dengan Singapura yang sudah pun memiliki infrastruktur sedia ada yang mantap dan beberapa ‘pelanggan tetap’ kerana kecanggihan dan kemampuan mereka, Malaysia sebaliknya mempunyai banyak projek gergasi yang masih dalam proses ‘permulaan’ dan ‘belum mantap’. Perhatikan projek-projek yang menelan hutang besar dan masih dalam proses permulaan berikut beserta infrastruktur sedia ada lain yang mungkin akan turut terjejas:
1. Di Pantai Barat, Port Klang Authority sedang dalam perancangan membina pelabuhan baharu bersaiz 25 kali ganda lebih besar daripada Pulau Sentosa di Singapura bernilai RM200 juta di Pulau Carey yang berhampiran dengan Pelabuhan Klang sedia ada.
2. Di Pantai Timur, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM 55 Bilion baru dimulakan. Prospek projek ECRL yang diunjurkan bakal menjadi pilihan bagi mengangkut muatan dari pelabuhan Pantai Timur ke Pantai Barat ini akan menjadi suram dalam jangka masa panjang jika Terusan Kra dibina.
3. Demikian juga pembinaan tambahan New Deep Water Terminal (NDWT) di Pelabuhan Kuantan yang menyaksikan Guangxi Beibu Gulf China menguasai 40% pegangan dengan nilai sekitar RM8 bilion boleh terancam dalam jangka masa panjang.
4. Di Melaka, Pelabuhan Melaka Gateway bernilai RM43 bilion yang fokus kepada pelabuhan laut dalam dan terminal kruse yang sedang dalam pembinaan dengan pelaburan PowerChina Investment sebesar RM15 bilion.
5. Di Melaka juga terdapatnya pembinaan sebuah lagi pelabuhan iaitu Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi bernilai RM12.5 bilion yang fokus kepada industri minyak dan gas.
6. Projek seperti ECRL dan projek-projek yang kini dalam proses pembinaan ini bakal berhadapan cabaran bagi mendatangkan pulangan pinjaman kredit (hutang) kepada China.
7. Kita juga perlu memulakan pembayaran kredit kepada China tujuh tahun selepas beberapa projek antara projek-projek ini dimulakan.
8. Pembinaan Terusan Kra jelas bukan sahaja bakal memberi impak ke atas projek infrastruktur yang sedang dibina di Malaysia, bahkan juga ke atas kepentingan strategik semasa negara seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Johor, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
9. Pelabuhan Kuantan sedia ada terancam dengan pembinaan Terusan Kra di mana pada waktu ini hanya 0.1 juta TEUs (twenty-foot equivalent Units) pengoperasian berbanding kapasiti sebenarnya 0.6 juta TEUs.
10. Pelabuhan Klang yang kini merupakan pelabuhan utama negara juga menghampiri tahap maksimum dengan kadar pengoperasian sekitar 11.9 juta TEUs berbanding kapasitinya sebesar 16.6 juta TEUs. Jika Terusan Kra berjaya dibina dalam masa yang singkat, kemungkinan besar angka ini akan berkurangan hingga ke kadar yang minimum.
11. Pelabuhan Pulau Pinang di Utara tidak terkecuali akan menerima kesannya. Hubungan strategik dengan China dan Thailand menjadi pertaruhan. Pada April 2017 Pelabuhan Pulau Pinang sudah menandatangani memorandum bandar berkembar dengan Sanya City di Provinsi Hainan, China. Kerjasama pintar Pelabuhan Pulau Pinang dengan Pelabuhan Songkhla Thailand sudah pun menerima isyarat positif Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha. Dermaga Air Dalam ini bahkan diharapkan bakal menjadi pelabuhan pendaratan ikan tuna terbesar negara dengan potensi besar di Lautan Hindi yang boleh terus dieksport ke luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
12. Penganjuran Ekspo Maritim dan Aeoroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) setiap dua tahun sekali juga berisiko untuk terjejas jika Terusan Kra beroperasi dalam skala yang besar kelak.
13. Di Johor, projek pembangunan Iskandar turut berisiko. Iskandar Malaysia yang dianggap sebagai “projek pembangunan paling bercita-cita tinggi di dunia” oleh TIME menyasarkan tiga juta penduduk, 1.46 juta peluang pekerjaan, serta keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebesar US$93.3 bilion menjelang tahun 2025. Penyambungan sistem MRT Singapura dengan RTS Johor Bahru pada 2019 sepatutnya melonjakkan potensi untuk mencapai sasaran asal. Namun pembinaan Terusan Kra yang bakal mengimpak hampir sebesar 30 peratus perdagangan berasaskan perkapalannya akan mengubah situasi.
14. Tidak dapat dinafikan, sekiranya Singapura terjejas akibat pembinaan Terusan Kra di Thailand, Johor selaku negeri jiran yang terdekat akan turut merasai impak negatif ekonomi Singapura ini dalam tempoh jangka panjang. Pihak Singapura mungkin akan mengurangkan pelaburan di Iskandar, di samping kemungkinan pengurangan minat warga Singapura terhadap hartanah Johor mahupun peluang pekerjaan buat warga Johor di sana.
15. Aliran perdagangan dan pelaburan Jepun dan Korea Selatan dari Asia Timur dengan aliran hidrokarbon dan perkapalan dari negara-negara Arab Timur Tengah serta India tidak lagi perlu bergantung pada Selat Melaka semata-mata.
16. Dari sudut ketenteraan pula, Terusan Kra yang dibantu modal China akan memberi Beijing kuasa untuk mengenakan sekatan aliran kapal dari Timur Tengah, India, Eropah, mahupun Afrika dari menuju ke Selat Melaka dan Asia Tenggara yang lain sekiranya konflik tercetus. Penguasaan China di Laut Andaman ini akan memberi tekanan kepada negara-negara Asia Tenggara yang mempunyai pertikaian di Laut China Selatan dan Kepulauan Spratly serta Paracels dengan China.
17. Malah dalam senario konflik yang lebih tegang, China boleh menggunakan Terusan Kra bagi mengaturgerak Tentera Laut Rakyat China dari Djibouti di Afrika dan dari Gwardar di Pakistan untuk terus ke Laut China Selatan dan Kepulauan Spratly tanpa perlu melalui Selat Melaka yang mungkin disekat Singapura sekutu Amerika Syarikat.
18. Demikian juga dari sudut kesan alam sekitar seperti banjir yang mungkin tercetus dalam tempoh pembinaan Terusan Kra ini yang bakal turut memberi kesan kepada wilayah Pantai Timur Malaysia.
19. Peluang kita untuk ‘mencegah’ projek pembinaan Terusan Kra ini ialah China. China bukan sahaja sudah pun terlibat dalam membangunkan projek pelabuhan seperti Pelabuhan Kuantan yang 40 peratus pegangannya dimiliki syarikat milik kerajaan China Beibu, serta Pelabuhan Melaka Gateway, tetapi juga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
20. Dalam keadaan ini, China sudah pun mempunyai peluang bagi mengurangkan kebergantungannya dengan Singapura daripada laluan kapal perdagangan mereka melalui Pelabuhan Kuantan-ECRL-Pelabuhan Klang/Pelabuhan Melaka.
21. Malah, China turut bersungguh-sungguh untuk membida projek Kereta api Laju Kunming-Singapura yang mana antara laluan utamanya ialah Kuala Lumpur-Singapura. Maka, dalam keadaan ini China pastinya tidak ingin melihat laluan darat utama Asia ini ditangguhkan demi pembinaan terusan di Segenting Kra yang dilitupi pelbagai unsur ketidakpastian.
22. Demikian juga dari segi hartanah di mana syarikat Forrest City China melabur hampir RM105 bilion di Johor.
23. Kita juga sudah ‘mengikat’ China menerusi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Kuantan yang mengukuhkan keperluan China kepada ECRL serta penghubung Pelabuhan Kuantan-Pelabuhan Klang/Melaka.
24. Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) perlu dirangka agar tidak ketinggalan dalam menghadapi potensi pembinaan Terusan Kra kelak. Jeti Nelayan Pasir Puteh Kelantan dan Pelabuhan Kemaman Terengganu, di samping Pelabuhan Kuantan sedia ada perlu meningkatkan kerjasama pintar dengan Thailand.
25. Demikian juga Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan potensi Pulau Langkawi dan Pulau Pinang di perairan manakala Perlis, Kedah, dan Perak di sempadan darat.
26. Satu lagi langkah strategik yang boleh kita lakukan adalah dengan turut serta melabur dalam projek pembinaan Terusan Kra ini sekali gus tidak ketinggalan dalam mendapatkan pulangan jangka panjang. Khazanah dan KWSP boleh mempertimbangkan idea ini dan tidak membiarkan dominasi China semata-mata di Terusan Kra.
27. Apa yang pasti, Terusan Kra sekiranya dibangunkan besar-besaran kelak bakal memberi impak negatif ke atas kepentingan nasional Malaysia. Maka wajib kita bersedia dengan perancangan yang strategik bagi menghadapi segala kemungkinannya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih