Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Avengers: Endgame – Permulaan Filem Adiwira Berdurasi Tiga Jam?
Eksplorasi Karya

Avengers: Endgame – Permulaan Filem Adiwira Berdurasi Tiga Jam?

Selalunya
bila dengar filem berdurasi tiga jam, durasi sebegini selalu dikaitkan dengan
filem Hindustan. Bagi filem Hollywood pada masa ini, ianya sesuatu yang
dianggap jarang di mana filem paling lama pun mengambil masa antara dua jam
hingga dua jam 30 minit. Tetapi sekuel filem Avengers: Infinity War iaitu
Avengers: Endgame dilihat akan kembali menggunakan durasi yang biasa ditemui
dalam sesetengah filem berskala epik Hollywood dan mendapat pujian penonton
serta pengkritik.

Jadi
anda tertanya mengapa studio-studio perfileman tidak suka durasi filem yang
terlalu lama? Jika durasi filem terlalu lama, sukar bagi mereka mendapatkan
lebih banyak tayangan bagi sesebuah filem selain berpotensi menjejaskan kutipan
tiket yang dianggap penentu sesebuah filem itu meraih kutipan pecah panggung
atau sebaliknya. Tetapi pengarah Endgame iaitu Russo bersaudara (Joe dan
Anthony Russo) menegaskan durasi filem mereka selama tiga jam menjelaskan
banyak perkara. Pertama, keyakinan Marvel Studios dan Disney pada kualiti
Endgame yang menampilkan teraju utama Robert Downey Jr, Chris Evans, Chris
Hemsworth, Scarlett Johansson, Mark Ruffalo dan Jeremy Renner.

Kedua,
ia merupakan satu pencapaian hebat buat filem adiwira dari segi durasi. Ini
kerana kebanyakan filem adiwira dari siri filem X-Men hinggalah Aquaman
berdurasi antara dua jam hingga dua jam 30 minit. Filem adiwira yang diketahui
mempunyai durasi paling lama ialah filem terakhir trilogi The Dark Knight iaitu
The Dark Knight Rises (2012) dengan durasi dua jam 45 minit. Filem sebegini
dilihat perlu mempunyai durasi sedemikian kerana ia berskala epik setaraf
dengan beberapa filem seperti Gettysburg (1993) dan Doctor Zhivago (1965) serta
menutup terus penceritaan watak sesebuah siri. Dalam kes Marvel Cinematic
Universe (MCU), Endgame dilihat penamat tepat untuk menutup bab penceritaan
awal MCU yang dimulakan oleh Iron Man (2008) yang kini dikenali sebagai The
Infinity Saga.

Tetapi
apakah ini permulaan kepada penghasilan filem-filem adiwira berdurasi panjang
seperti Endgame dan The Dark Knight Rises? Melainkan bagi sesetengah filem,
studio-studio dan pengusaha panggung masih fokus kepada memaksimumkan
keuntungan harian termasuk jualan tiket dan jualan konsesi di premis mereka.
Filem sebegini dilihat menggugat sebarang usaha menambah kutipan tiket dan
keuntungan konsesi yang diraih. Di Bollywood, filem-filem berdurasi sebegini
bukan satu perkara asing tetapi ia masih dianggap jarang walaupun pengusaha
panggung menyediakan waktu rehat bagi memberi peluang penonton pergi ke tandas
atau membeli makanan/minuman di premis konsesi mereka.

Namun,
ini bukan bermakna Endgame merupakan filem adiwira terakhir yang menggunakan
durasi ini. Perlu diingat selepas tamat fasa The Infinity Saga, sudah pasti
Marvel dan Disney takkan berdiam diri dan mempersiapkan fasa baru MCU yang
menonjolkan wira baru seperti Captain Marvel/Carol Danvers (Brie Larson) dan
Spiderman (Tom Holland) sebagai tunjang utama mereka. Sementara DC pula yang
sedang bangkit menerusi Aquaman dan Shazam! sudah pasti akan menjadikan versi
Batman Matt Reeves sebagai tunjang utama mereka. Filem yang diarah pengarah dua
filem siri Planet of the Apes itu dijangka menemui penonton pada tahun 2021 dan
seperti Marvel, tidak mustahil Batman dan filem berskala Avengers ini akan
berdurasi tiga jam.

Jika
anda menjangkakan filem-filem berdurasi ini dapat mengutip kutipan pecah
panggung seperti filem adiwira lain, anda salah. Melainkan jika filem itu
sebahagian daripada trilogi seperti trilogi Lord of the Rings dan The Hobbit,
peluang melihat filem sebegini berjaya dari segi kutipan tiket agak tipis.
Tidak percaya? Lihat statistik kutipan tiket Blade Runner 2049. Blade Runner
2049 merupakan sekuel kepada filem Blade Runner (1982) dan diarahkan pengarah
meningkat naik Denis Villeneuve. Filem yang menampilkan Ryan Gosling (First
Man) dan Harrison Ford (siri filem Star Wars dan Indiana Jones) ini amat
dinantikan para peminat.

Walaupun
berjaya meraih pujian penonton dan pengkritik, filem dengan belanjawan $150-185
juta hanya berjaya mendapat kutipan sederhana sebanyak $259.2 juta. Antara
punca mengapa filem ini gagal merealisasikan potensinya dari segi kutipan tiket
ialah durasi filem yang panjang di bawah tiga jam. Kritikan sebegini turut
timbul dalam The Dark Knight Rises oleh para pengkritik tetapi tidak digemari
oleh peminat DC terutama Batman. Ini kerana bagi mereka, siri terakhir trilogi
ini menutup terus kisah Batman versi Christian Bale dan secara tidak langsung,
menaikkan lagi aura pengarah Christopher Nolan sebagai pembikin filem
berkaliber Hollywood.

Mungkin
atas sebab itu juga, mengapa Russo bersaudara dan ketua Marvel Studios Kevin
Feige melihat durasi tiga jam Endgame berbaloi dengan penantian peminat. Ini
kerana selain sebagai penutup kepada Infinity Saga yang dicetuskan semasa
Infinity War, ia juga merupakan pentas terbaik bagi menceritakan hala tuju MCU
seterusnya. Dan memandangkan ramai pemegang MCU asal seperti Downey Jr (Iron
Man), Evans (Captain America) dan Ruffalo (The Hulk) sudah tamat kontrak atau
semakin berumur, filem sebegini dilihat cara terbaik bagi mereka mengucapkan
selamat tinggal kepada para peminat setia MCU. Justeru, filem tradisional yang
berdurasi dua jam hingga dua jam 30 minit bukan saja tidak sesuai sebagai
penutup babak awal MCU tetapi juga dianggap anti-klimaks terhadap perjuangan
adiwira-adiwira ini.

Siapa
sangka dari Iron Man (2008) hingga Black Panther (2018) dan Deadpool (2016),
filem-filem sebegini meruntuhkan pelbagai jenis halangan yang membentuk
persepsi negatif filem-filem adiwira. Selain berani menyentuh isu-isu yang
dianggap sensitif dan panas, filem-filem sebegini turut diberi penghormatan
sebagai pemenang pelbagai anugerah berprestij. Dan dengan memilih durasi tiga
jam ini, MCU menyediakan batu asas kepada filem-filem berskala besar Hollywood
untuk tidak lagi takut memilih durasi yang panjang.

50 Filem Hollywood Berkualiti dan
Berdurasi Panjang.

50.
Giant (1956) = tiga jam 17 minit.

49.
Avengers: Infinity War (2018) = dua jam 36 minit.

48.
Magnolia (1999) = tiga jam lapan minit.

47.
Judgment at Nuremberg (1961) = dua jam 58 minit.

46.
Boyhood (2014) = dua jam 45 minit.

45.
The Right Stuff (1983) = tiga jam 13 minit.

44.
The Great Escape (1963) = dua jam 53 minit.

43.
Gettysburg (1993) = empat jam 31 minit.

42.
The Pianist (2002) = dua jam 28 minit.

41.
Watchmen (2009) = dua jam 43 minit

40.
Doctor Zhivago (1965) = tiga jam 13 minit.

39.
The Bridge on the River Kwai (1957) = dua jam 41 minit.

38.
Boogie Nights (1997) = dua jam 35 minit

37.
Once Upon a Time in America (1984) = dua jam 24 minit

36.
There Will Be Blood (2007) = dua jam 38 minit

35.
Heat (1995) = dua jam 51 minit

34.
Lawrence of Arabia (1962) = tiga jam 36 minit

33.
The Deer Hunter (1978) = tiga jam tiga minit

32.
Terminator 2: Judgment Day (1991) = dua jam 33 minit

31.
JFK (1991) = tiga jam sembilan minit

30.
Ben Hur (2003) = tiga jam 42 minit.

29.
The Wolf of Wall Street (2013) = dua jam 59 minit.

28.
Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl (2003) = dua jam 23
minit

27.
The Avengers (2012) = dua jam 23 minit.

26.
The Ten Commandments (1956) = tiga jam 39 minit.

25.
Django Unchained (2012) = dua jam 45 minit.

24.
Avatar (2009) = dua jam 42 minit

23.
The Sound of Music (1965) = dua jam 54 minit

22.
Casino (1995) = tiga jam dua minit

21.
Scarface (1983) = dua jam 50 minit

20.
Inception (2010) = dua jam 28 minit

19.
The Lord of the Rings: The Two Towers (2002) = tiga jam

18.
Apocalypse Now (1979) = dua jam 33 minit

17.
The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring (2001) = tiga jam 48 minit

16.
Gone with the Wind (1939) = tiga jam 42 minit

15.
The Lord of the Rings: The Return of the King (2003) = tiga jam 21 minit

14.
Titanic (1997) = tiga jam 14 minit

13.
Braveheart (1995) = tiga jam dua minit

12.
The Dark Knight (2008) = dua jam 32 minit

11.
The Good, the Bad and the Ugly (1966) = tiga jam enam minit

10.
The Departed (2006) = dua jam 32 minit

9.
The Shawshank Redemption (1994) = dua jam 22 minit

8.
Pulp Fiction (1994) = dua jam 34 minit

7.
Schindler’s List (1993) = tiga jam 16 minit

6.
The Green Mile (1999) = tiga jam sembilan minit

5.
The Godfather Part II (1974) = tiga jam 20 minit

4.
Goodfellas (1990) = dua jam 26 minit

3.
The Godfather (1972) = dua jam 55 minit

2.
Forrest Gump (1994) = dua jam 22 minit

1.
Saving Private Ryan (1998) = dua jam 41 minit

SUMBER

1.
Casano, Ann. Ranker.com. The Best Movies That Are Super Long. https://www.ranker.com/list/long-movies/anncasano

2.
Stone, Sam. (2019). CBR.com. Will Avengers: Endgame Usher in the Era of the
3-Hour Superhero Movie? https://www.cbr.com/avengers-endgame-3-hour-superhero-movie/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet