Permainan ‘Ular dan Tangga’ atau lebih lazim disebut Snakes and Ladders pada hari ini dianggap sebagai sebuah permainan klasik dan antara permainan yang lazim dimainkan oleh kanak-kanak di seluruh dunia. Walaupun bentuk permainan ini dikenali ramai, asal-usulnya boleh dikatakan agak kurang diketahui. Sebagai kepilan fakta, permainan ‘Ular dan Tangga’ adalah ciptaan India purba dan ia tidak hanya dimainkan sebagai sebuah hiburan, akan tetapi ia memiliki nilai falsafahnya yang tersendiri.
PERMAINAN PENGETAHUAN
Pada asalnya, permainan ‘Ular dan Tangga’ dikenali dengan pelbagai nama seperti Gyan Chaupar (bermaksud ‘Permainan Pengetahuan’), Mokshapat, dan Moksha Patamu dan ia adalah sebuah permainan bagi agama Hindu. Tiada siapa yang mengetahui secara pasti siapakah yang mencipta permainan ini, atau bilakah ianya dicipta.
Sejarahwan berpendapat bahawa permainan ini sudah pun dimainkan di India seawal kurun ke-2M. Sebilangan sejarahwan menkreditkan penciptaan permainan ini kepada Dnyaneshwar (juga dikenali sebagai Dnyandev), seorang pendeta Marathi yang hidup pada kurun ke-13M. Apapun, permainan ini sememangnya masyhur dalam kalangan kanak-kanak di India semenjak zaman dahulukala.
Walaupun cara permainan Gyan Chaupar boleh dikatakan sama seperti ‘Ular dan Tangga’ pada hari ini, susunan papan dan objektif permainannya agak berbeza. Sama seperti papan ‘Ular dan Tangga’, bilangan petak dalam Gyan Chaupar bervariasi. Sebagai contoh, satu versi mengandungi 72 petak sementara versi lain memiliki 100 petak. Perbezaan ketara di antara versi tradisional dan versi moden adalah pada Gyan Chaupar, nilai untung dan malang serta kesan-kesannya diletakkan pada setiap petak.
Sebagai contoh, pada papan Gyan Chaupar yang mengandungi 72 petak, petak bernombor 24, 44 dan 55 diletakkan nilai malang atau jahat yang masing-masing adalah rakan yang buruk perangai, ilmu yang palsu, dan keangkuhan.
Memandangkan permainan ini memberikan penekanan terhadap konsep karma, iaitu prinsip kesan-akibat dalam agama Hindu, maka setiap nilai jahat (diwakili kepala ular) mempunyai kesan susulan (langkah maju). Bagi nilai-nilai jahat yang disebutkan di atas, kesan-kesan susulannya adalah (langkah maju ke petak) megah diri, keghairahan menyeleweng dan panjang angan.
Sebaliknya, nilai-nilai balik seperti ketulusan, keimanan sejati dan keluhuran nurani diletakkan pada petak bernombor 10, 28 dan 48 dan masing-masing membawa kepada kesan-susulan (langkah maju) ke arah syurgawi, kebenaran dan kebahagiaan. Dalam versi ini, matlamat permainannya adalah untuk tiba pada petak bernombor 68 iaitu petak Shiva.
PERMAINAN YANG MENGAJARKAN NILAI KEAGAMAAN
Permainan ini begitu masyhur hinggakan ia dimainkan dan dibudayakan oleh agama-agama lain yang wujud di sub-benua India. Malahan, sejarahwan mendapati wujud pengadaptasian permainan ini dalam agama Jaina dan Buddha memandangkan konsep sebab dan akibat, ganjaran (pahala) dan hukuman (dosa) adalah konsep yang wujud dalam agama-agama ini.
Bagi penganut agama-agama ini, permainan seperti ini dilazimi sebagai satu bentuk meditasi, aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan agama tidak formal.
Malahan, kebanyakan papan permainan purba yang terselamat sehingga kini dianggap sebagai suatu warisan seni yang tersendiri lantaran ianya mengandungi ilustrasi-ilustrasi terperinci dan pelbagai, merangkumi figura manusia, seni bina, flora fauna dan lain-lain.
Papan-papan permainan ini umumnya diperbuat daripada kain yang dilukis dan kebanyakan yang wujud sehingga kini berusia dari pertengahan kurun ke-18M.
VERSI MODEN
Permainan Gyan Chaupar kemudiannya berubah menjadi ‘Ular dan Tangga’ menjelang akhir kurun ke-19 apabila ia mula diperkenalkan oleh para pemerintah koloni India kepada Great Britain. Walaupun cara permainannya yang asal masih dikekalkan, nilai-nilai falsafah yang terselit di dalamnya dibuang. Nilai baik dan buruk yang bersifat keagamaan digantikan dengan penggunaan ular ataupun tangga.
Tambahan lagi, bilangan ular dan tangga disamakan sedangkan dalam versi yang asal, kebiasaannya jumlah ular lebih banyak berbanding tangga. Hal ini merupakan satu simbol keagamaan yang cuba memberikan mesej bahawa seseorang itu lebih mudah menjadi jahat berbanding melakukan kebaikan.
Dari Great Britain, permainan ini kemudiannya tersebar ke Amerika Syarikat di mana ia diperkenalkan sebagai Chutes and Ladders oleh Milton Bradley pada tahun 1943.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (7 Mei 2018). The Origin of Snakes and Ladders: A Moral Guide of Vice and Virtue. https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/origin-snakes-and-ladders-moral-guide-vice-and-virtue-0010012
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih