Setiap kali menonton filem-filem Melayu klasik, perbualan para wataknya sentiasa menarik perhatian. Semua orang menyangka tuan hamba merupakan kata ganti nama diri kedua merujuk untuk ‘kau’, ‘engkau’, ‘kamu’, ‘awak’, atau ‘anda’. Sangkaan sebegini bersifat dangkal kerana ada cerita lebih mendalam berkenaan tuan dan hamba.

Jika diteliti, ganti nama ‘tuan hamba’ mula digunakan di dalam hikayat-hikayat dan manuskrip lama Melayu. ‘Tuan hamba’ disebut sebagai ganti nama diri kedua dalam perbualan antara dua watak atau persona yang berdialog secara lisan.

‘Tuan hamba’ seringkali digunakan sesama penuturnya yang sama taraf sosial dan hierarki. Namun begitu, ada ketikanya ia digunakan oleh penutur yang lebih tinggi tarafnya daripada penutur satu lagi.

Contohnya, perbualan antara rakyat sesama rakyat, pembesar sesama pembesar atau pembesar menggunakan gelaran ‘tuan hamba’ ke atas seseorang bertaraf rakyat. Lihat ayat ini, “Apakah gerangan maksud dan tujuan tuan hamba berkelana ke negeri kami ini?”

Dari segi linguistik, ‘tuan hamba’ bukanlah merujuk kepada ‘tuan ini adalah hamba’. Sebaliknya,  ia membawa maksud ‘tuan ini adalah tuan kepada hamba-hamba’. Menggunakan ganti nama diri ‘tuan hamba’ yang bermaksud ‘tuan adalah tuan kepada hamba-hamba’ bertujuan memuliakan penutur yang dilawannya bercakap. Ini kerana memiliki hamba merupakan lumrah bagi orang kaya atau pembesar yang dipandang tinggi masyarakat kebanyakan.

Tidak seperti hari ini di mana ukuran kekayaan dinilai ialah jumlah wang tunai atau barang berharga yang dimiliki, pada zaman kerajaan Melayu silam, tiga perkara menjadi pengukur kekayaan seseorang. Tiga perkara tersebut ialah bilangan kerbau, hamba dan emas yang dimiliki.

Antara pengukur kekayaan orang Melayu silam ialah bilangan kerbau yang dimiliki. Sumber: Ghazali Kori/NSTP

Jadi, berbalik semula kepada kata ganti diri ‘tuan hamba’ tadi. Perlu ditegaskan salah satu ciri Bahasa Melayu yang ramai orang tidak perasan ialah peranannya memuliakan penutur dan penutur yang dilawannya bercakap. Jadi bila seorang penutur Bahasa Melayu mengangkat martabat taraf penutur yang dilawannya bercakap, ia akan dibalas pula dengan menggunakan kata ganti diri pertama, merujuk dirinya sebagai ‘hamba’ yang bermaksud ‘aku’ atau ‘saya’ dalam konteks Bahasa Melayu moden.

Lihat kembali contoh pertanyaan, “Apakah gerangan maksud tuan hamba berkelana ke negeri kami ini?” Si polan misalnya akan memberi jawapan berikut, “Sesungguhnya hamba berkelana ini kerana kepingin benar hendak menemukan seorang guru yang masyhur di negeri ini.”

Penggunaan ganti nama pertama ‘hamba’ oleh yang ditanya dalam jawapannya itu sekaligus meneutralkan kembali lambungan pujian dan gelaran memartabatkan ketinggian taraf dirinya yang dirujuk oleh penutur pertama yang bertanya tadi.

Dengan kerendahan hati dan keluhuran budi, diri penutur ini sendiri yang kembali meletakkam dirinya sebagai hamba. Ia sekaligus melempar jauh perasaan negatif seperti hidung tinggi dan bangga diri apabila mendengar gelaran yang bermaksud ‘tuan kepada hamba-hamba’ itu tadi.

Inilah salah satu intipati Bahasa Melayu. Penuturnya boleh mengangkat taraf seorang penutur lain menjadi lebih tinggi apabila keduanya berbual. Fikrah dan hormat kepada nilai penghormatan sesama manusia adalah antara roh di dalam Bahasa Melayu itu sendiri.

Malah dengan membahasakan diri sendiri sebagai ‘hamba’, sedar atau tidak secara lisannya ia berfungsi untuk menghalang diri daripada merasa gah dengan gelaran yang telah diungkapkan padanya dalam pertuturan mereka dengan menggelarkan diri sebagai hamba kembali.

Hatta, jika dua watak yang berlawan lisannya secara kasar dengan niat bermusuh (hostile), ‘kehormatan’ yang dijelaskan di atas tadi masih jelas dilihat seperti ayat berikut; “Sebelum bertikam keris dan membuka langkah, ayuh tuan hamba, kita bersirih dahulu.”

Walaupun bermusuhan, aspek kehormatan tetap dijaga terutama dalam penggunaan ganti nama diri kedua hamba.

Malah, ia boleh digunakan secara berpantun, “Selang gambir dengan pinang, cubit pula secalit kapur, senang niat hamba datang, sakit raja tuan hamba yang berkubur;” Sesungguhnya, Bahasa Melayu kaya dengan perkara tersirat dan tersurat yang terus malar hijau dengan perkembangan zaman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Leave A Reply