Semua perkara menuruti hukum-hukum semulajadi. Jangan fikir Bumi saja ada hukum-hakamnya. Luar angkasa pun sama saja. Malah sesuatu kejadian di alam angkasa harus dijadikan sandaran untuk bantu memahami kesan dan impak jika berlaku di Bumi.
Jika asteroid menghentam Marikh, setiap proses mesti diamati dengan teliti sebagai rujukan. Kerana di alam angkasalah paling banyak berlaku bencana-bencana besar.
Baru-baru ini golongan pakar astronomi NASA menggunakan Balai Cerap Sinar-X Chandra untuk menyaksikan satu peristiwa yang menanti Bumi.
Peristiwa ini sedang berlaku di ruangan angkasa 45 tahun cahaya jauh dari Bumi. Di sini ada sebuah planet yang sudah lama hancur. Senang cakap, “bangkai planet”.
Mungkin dulu kala planet ini elok mengelilingi bintangnya. Tetapi sistem bintang (star system) ini sudah menghampiri tarikh luput, dengan bintang kerdil putih (white dwarf star) sebagai penghulu.
Bagi yang tidak faham, pengertian ini tidak susah sebenarnya. Sistem bintang adalah seperti Sistem Suria kita, yang mana Matahari menjadi penghulu para planet.
Matahari sekarang ini berada dalam proses bakal menjadi sebutir gergasi merah (red giant star). Tengok nama saja sudah tahu – saiz Matahari akan membelon begitu besar, sampai telan Utarid, Zuhrah dan Bumi.
Prosesnya sangat lama (dan lambat lagi). Jadi tidak perlu bimbang. Pengembangan sebutir bintang adalah perkara biasa. Jika cukup jisim, bintang akan berevolusi menjadi bintang neutron atau lohong hitam.
Tetapi bukan semua bintang berjisim tinggi. Bintang-bintang ini akan berakhir sebagai white dwarf (Crockett, 2020).
Untuk memudahkan pemahaman, white dwarf adalah bintang yang “kehabisan minyak”. Matahari akan habis minak dalam tempoh 10 bilion tahun.
Contoh Jelas Di Buruj Pisces
Bintang di ruangan angkasa 45 tahun cahaya dari Bumi sudah menunjukkan bayangan jelas. Pakar astronomi NASA melihat bangkai planet menghentam permukaan white dwarf.
Dan dapatan ini membolehkan mereka kaji tentang nasib Bumi suatu masa nanti, apabila Matahari menghampiri ajal. Proses penuaan bintang di sana menunjukkan “parut-parut” keganasan tidak terhingga. Fitrah sebutir bintang memang serba serbi panasnya.
Apabila bintang tersebut berkembang menjadi gergasi merah, semua planet berhampiran berkecai. Sudahlah berkecai, mereka saling langgar-melanggar antara satu sama lain… sambil dibakar amarah bintang.
Kalau ada yang keliru, faham begini: sekarang memanglah tinggal white dwarf semata-mata. Tetapi sebelum jadi white dwarf, bintang 45 tahun cahaya dari Bumi ini adalah gergasi merah.
Ia mendidih sampai takat kemuncak, yang mana bintang tersebut lepaskan habis segala gas tersimpan. Hamburan gas ini dijangka adalah seperti ribut taufan di alam angkasa. Ia mungkin terletak comel sebagai white dwarf, tetapi semua planet di kelilingnya hancur lebur.
Teleskop Chandra pula menggunakan teknik spektroskopi untuk mencerap apa yang ada di sekitar white dwarf tersebut. Nampak penuh dengan sisa logam (bangkai objek angkasa seperti planet).
Dari sini, mereka membuat kesimpulan: letupan dan letusan bintang menjejaskan habis sistem bintang ini (Specktor, 2022).
Ikut ramalan spektroskopi, ribut tersebut menghembus angin bersuhu sekurang-kurangnya 1,000,000°C. Perkara ini sebenarnya sudah lama diketahui saintis. Walaupun tiada bukti praktikal (macam penemuan ini), memang ada dalam teori.
Tetapi apa yang saintis tidak tahu selama ini adalah peranan white dwarf itu sendiri. Ia memainkan peranan “pembersih”. Jisimnya masih tinggi dan cukup untuk menghancurkan bangkai-bangkai planet.
Gravitinya dijangka 350,000 kali ganda lebih tinggi untuk dibandingkan dengan Bumi (Tillman & Dobrijevic, 2021). Ibaratkan kancil yang langgar kereta kebal.
Agak ngeri jika fikirkan. Planet-planet semua bertawaf keliling bintang. Dan kepada bintang itulah, planet-planet akan musnah.
RUJUKAN:
Crockett, C. (2020, September 18). What are white dwarf stars? Earth Sky.
Specktor, B. (2022, Februari 10). Astronomers watched a dead planet smash into a dead star for first time ever. Live Science.
Tillman, N., & Dobrijevic, D. (2021, November 9). White dwarfs: Facts about the dense corpses of stars. Space.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih