Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mali menjadi simbol ketidakstabilan di rantau Sahel iaitu kawasan yang lama bergelut dengan keganasan, rampasan kuasa dan krisis kemanusiaan. Di tengah-tengah kekacauan ini, Russia muncul sebagai pemain baharu yang semakin dominan. Namun, persoalan utama bukan sekadar apa yang Russia lakukan, tetapi apa yang sebenarnya diperolehnya dan pada harga apa kepada rakyat tempatan.
Selepas hubungan Mali dengan France merosot, ruang kosong dalam aspek keselamatan segera diisi oleh Russia. Melalui kehadiran kumpulan seperti Wagner Group, Moscow memperkukuhkan pengaruhnya dengan menawarkan latihan ketenteraan, sokongan taktikal dan perlindungan kepada kerajaan tentera Mali. Pada zahirnya, ini dilihat sebagai bantuan untuk menentang ancaman jihad. Namun, realitinya jauh lebih kompleks.
Terdapat bukti dan laporan daripada organisasi hak asasi serta media antarabangsa yang menunjukkan bahawa kehadiran elemen berkaitan Russia bukan sekadar dalam bidang keselamatan, tetapi turut mempengaruhi struktur kuasa dalaman. Sokongan terhadap junta tentera termasuk dari segi keselamatan elit pemerintah secara tidak langsung membantu mengekalkan mereka berkuasa, walaupun tanpa mandat demokratik yang jelas. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa Russia bukan sahaja “membantu”, tetapi turut campur tangan dalam urusan tadbir negara.
Lebih membimbangkan, pendekatan Russia sering dikaitkan dengan strategi yang mengabaikan prinsip hak asasi manusia. Operasi bersama antara tentera Mali dan elemen berkaitan Russia dilaporkan terlibat dalam pembunuhan orang awam dan tindakan keras terhadap komuniti tempatan. Insiden seperti di Moura menjadi simbol kepada sisi gelap kehadiran ini dan di mana operasi anti-keganasan bertukar menjadi tragedi kemanusiaan. Jika benar tujuan utama adalah kestabilan, mengapa rakyat biasa yang menjadi korban?
Dari sudut geopolitik, keuntungan Russia jelas. Ia berjaya menyingkirkan pengaruh Barat dan mengukuhkan kedudukannya di Afrika. Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa hubungan ini membuka laluan kepada akses sumber semula jadi seperti emas dan boleh dikatakan satu bentuk “ganjaran” yang sering dikaitkan dengan kehadiran kumpulan keselamatan Russia di beberapa negara Afrika lain. Dalam konteks ini, konflik di Mali bukan sekadar isu keselamatan, tetapi juga peluang ekonomi.
Namun, tindakan Russia ini wajar dipersoalkan secara kritikal. Campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara berdaulat, apatah lagi dengan menyokong rejim tentera yang bukan sahaja melemahkan proses demokrasi, tetapi juga berisiko memanjangkan konflik. Bantuan ketenteraan tanpa akauntabiliti hanya memberi kuasa kepada pemerintah, bukan menyelesaikan akar masalah seperti kemiskinan, ketidaksamaan dan kelemahan institusi.
Ironinya, walaupun Russia memperluaskan pengaruhnya, keadaan keselamatan di rantau Sahel masih tidak menunjukkan peningkatan yang ketara. Keganasan terus merebak ke negara jiran seperti Burkina Faso dan Niger, menandakan bahawa pendekatan ketenteraan semata-mata tidak mencukupi.
Kesimpulannya, Russia sememangnya memperoleh banyak daripada pergolakan di Mali dari segi pengaruh geopolitik, peluang ekonomi dan kedudukan strategik global. Namun, keuntungan ini datang bersama persoalan besar tentang etika, kedaulatan dan kemanusiaan. Jika campur tangan luar terus menjadi norma, maka masa depan Mali dan Sahel mungkin akan terus ditentukan oleh kuasa asing dan bukan oleh rakyatnya sendiri.




No comments yet