Komunisme dan Sosialisme — kedua-duanya adalah kumpulan idea atau falsafah yang boleh diterapkan sama ada di dalam politik ataupun ekonomi atau kedua-duanya sekali.
Walaupun dua ideologi ini sering digunapakai secara silih berganti dan lahir dari akar yang sama, tapi idea yang dibawa oleh sosialisme dan komunisme berbeza berdasarkan prinsip utama.
Tapi ramai yang adakalanya keliru, dan menganggap kedua-dua sistem ini adalah benda yang sama. Tapi tanggapan dua ideologi ini sebagai benda yang sama pada dasarnya boleh dianggap betul dan salah sekaligus.
Asas sosialisme dan komunisme adalah falsafah ekonomi yang menganjurkan pemilikan harta awam berbanding pemilikan harta persendirian, terutamanya dalam konteks pengeluaran, pengagihan dan pertukaran barang (menjana kekayaan) dalam masyarakat.
Kedua-duanya bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang mereka anggap dicipta oleh sistem pasaran bebas kapitalis, ia termasuklah eksploitasi golongan kelas pekerja dan jurang besar antara orang kaya dan miskin.
Tetapi, walaupun sosialisme dan komunisme saling berkongsi beberapa persamaan asas, masih wujud banyak perbezaan yang penting dan ketara di antara sosialisme dan komunisme.
Sosialisme lahir sebagai bentuk tindak balas terhadap perubahan ekonomi dan sosial yang melampau yang disebabkan oleh Revolusi Perindustrian, terutamanya melibatkan golongan kelas pekerja yang bergelut untuk hidup.
Pada masa itu, semakin ramai orang mula bekerja di kilang berbanding bertani. Ramai golongan kelas pekerja yang terus bertambah miskin walaupun para pemilik kilang, ladang dan beberapa industri lain meraih untung hingga menjadikan tauke-tauke ini semakin kaya.
Sosialisme tampil dan mencadangkan perubahan sepenuhnya dilakukan dalam sektor pengeluaran, di mana kekayaan dibahagikan di antara semua orang. Tapi, bagaimana caranya? Pernah terima BR1M?
Ya, percukaian adalah kuncinya. Di bawah sosialisme, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan orang kaya dikenakan cukai yang tinggi. Cukai ini kemudian membantu memberi manfaat kepada orang miskin. Pada dasarnya sosialis diibaratkan seperti Robin Hood. BR1M salah satu contoh.
Namun, hari ini, kita menuju ke arah yang bertentangan dari segi ekonomi. Dengan globalisasi dan syarikat multinasional muncul di mana-mana saja, pemimpin dunia seperti tiada kekuatan untuk mengatur.
Oleh kerana kerangka ekonomi yang begitu meluas saat ini, dari semua teori sosialisme yang berbeza, sosialisme demokratik telah berkembang sebagai pilihan yang paling relevan.
Pada separuh masa pertama abad ke-19, pemikir sosialis awal seperti Henri de Saint-Simon, Robert Owen dan Charles Fourier menawarkan model tersendiri bagi menstruktur kembali masyarakat dalam garisan kerjasama dan komuniti.
Idea mereka adalah dengan menolak budaya persaingan dalam masyarakat yang sudah lama wujud dalam sistem kapitalisme, di mana, pasaran bebas akan mengawal bekalan dan permintaan barang.
Kemudian Karl Marx muncul, seorang ahli falsafah politik dan ahli ekonomi Jerman yang akan menjadi salah seorang pemikir sosialis paling berpengaruh dalam sejarah dunia.
Berkolaborasi dengan Friedrich Engels, Karl Marx menerbitkan The Communist Manifesto pada tahun 1848, ia merangkumi penulisan yang mengkritik model-model sosialis sebelum itu kerana menawarkan cita-cita utopia yang sama sekali tidak realistik langsung.
Marx berpendapat bahawa keseluruhan sejarahnya adalah tentang perjuangan kelas masyarakat, dan kelas pekerja (atau proletariat) akan menamatkan dominasi kelas kapital (borjuasi).
Kemudian, proletariat akan mendapat kuasa terhadap hak kawalan setiap asas pengeluaran, lalu menghapuskan perbezaan kelas masyarakat dan meletakkan status semua rakyat sebagai sama rata.
Komunisme, adakalanya disebut sebagai revolutionary socialism, juga merupakan sebuah ideologi atau falsafah politik ekonomi yang berasal sebagai tindak balas terhadap Revolusi Perindustrian.
Struktur dan bentuk komunisme ini kemudiannya akan digambarkan melalui definisi teori-teori Marxisme, iaitu idea komunisme adalah sosialisme baharu tetapi versi yang jauh lebih radikal.
Di negara komunis yang tulen, seperti yang diusulkan oleh Vladimir Lenin, kerajaan yang memerintah secara sepihak perlu mengambil alih seluruh faktor pengeluaran. Ia mengagihkan semua kekayaan yang dikumpulkan di kalangan rakyatnya secara sama rata.
Oleh itu, rakyat negara komunis hampir tidak perlu membeli apa-apa. Sebaliknya, mereka diberikan segalanya oleh kerajaan. Dengan begitu banyak perincian yang ketat, tak hairanlah bila komunisme tulen segera menemui kegagalan ketika Lenin menubuhkan negara Soviet. Tak relevan.
Bahkan hakikatnya, selama bertahun-tahun ekonomi Soviet lebih cenderung ke arah bentuk sosialisme yang berpusat, dan bukannya komunisme. Itu pun tetap runtuh kerana keperluan membentuk Federasi Rusia kapitalis yang kita kenali hari ini.
Sebenarnya, golongan Marxis sering menganggap sosialisme sebagai fasa pertama yang diperlukan bagi melengkapkan fasa peralihan sistem dan pemikiran dari kapitalisme ke komunisme.
Marx dan Engels sendiri tidak pernah secara konsisten atau menerangkan perbezaan komunisme dari sosialisme dengan lebih jelas, yang akhirnya menyumbang kepada kekeliruan secara kekal di antara kedua istilah politik tersebut.
Dalam komunisme, tidak ada hak pemilikan harta persendirian. Semua harta dan tanah adalah dimiliki secara bersama (komunal), dan setiap individu haruslah mendapat bahagian berdasarkan apa yang mereka perlukan.
Kerajaan pusat yang kuat atau biasanya dirujuk sebagai ‘negara’ akan mengendalikan segala aspek pengeluaran ekonomi, dan menyediakan keperluan asas kepada rakyat, termasuklah makanan, perumahan, rawatan perubatan dan pendidikan.
Sebaliknya dalam sosialisme, individu masih ada hak memiliki harta persendirian. Tetapi, industri pengeluaran, atau alat utama untuk menjana hasil kekayaan harus dimiliki dan diuruskan secara komunal oleh pihak kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Perbezaan lain adalah cara untuk mencapainya. Dalam komunisme, revolusi bersenjata yang penuh keganasan berdarah di mana golongan pekerja bangkit menentang kelas pertengahan dan kelas atasan dianggap sebagai babak yang tak dapat dielakkan demi membentuk sebuah negara komunis.
Revolusi pertama yang dilaksanakan oleh pendokong ideologi berorientasikan rakyat kelas bawahan ini adalah Revolusi Rusia yang dilancarkan oleh Vladmir Lenin pada tahun 1917.
Negara kita pernah menghadapi zaman darurat sebanyak dua kali iaitu Darurat Malaya pada tahun 1948–1960 dan Insurgensi Komunis pada tahun 1968–1989 kerana Parti Komunis Malaya melancarkan penentangan gerila bersenjata.
Namun Parti Komunis Malaya akhirnya gagal, ini menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang berjaya menundukkan kebangkitan idea komunisme secara ketenteraan dan politik.
Ideologi sosialisme jarang sekali melahirkan pendokong yang berpotensi untuk taksub, dan ia lebih bersifat fleksibel. Pendokongnya lebih cenderung kepada usaha perubahan dan pembaharuan sistem.
Tapi sosialisme yang sebenar akan melaksanakan perubahan ini melalui proses demokrasi di dalam struktur sosial dan politik yang sedia ada, mereka tidak perlu menjatuhkan struktur itu sekiranya tiada keperluan.
Bahkan, ada beberapa prinsip sosialisme yang diterima untuk diaplikasikan oleh banyak negara walaupun negara itu berorientasikan sistem kapitalisme. Dan komunisme yang wujud hari ini adalah inovasi dari idea Lenin, bukan Karl Marx.
Ciri-ciri sosialisme ini boleh dilihat di negara kita melalui program-program kebajikan yang berasaskan hasil pulangan cukai secara terus kepada rakyat.
Contohnya semasa zaman pemerintahan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, zaman di mana beliau amat terkenal dengan program-program ‘cash handout’ terus kepada rakyat yang dari golongan B40.
Mungkin inilah sebahagian dari ‘fasa perjalanan menggantikan kapitalisme dengan komunisme’ seperti yang disimpulkan oleh pemikir sosialis terdahulu, tapi negara kita hanya melaksanakannya untuk menampung keperluan golongan tidak berkemampuan.
Dan mungkin kita belum bersedia untuk menerima atau mencapai tahap ‘sifar kemiskinan’, bahkan sistem ini yang diterapkan di negara-negara komunis sendiri masih gagal mencapai tahap sifar kemiskinan.
Dalam penulisannya pada tahun 1875, Critique of the Gotha Program, Karl Marx meringkaskan idea komunis melalui falsafah ini:
“Dari semua orang mengikut kemampuan masing-masing, kepada semua orang mengikut keperluan masing-masing.”
Sebaliknya, sosialisme pula lebih didasarkan kepada idea yang menganjurkan individu yang diberikan pampasan berdasarkan sistem meritokrasi, iaitu mengikut nilai sumbangan mereka secara individu terhadap ekonomi.
Demokrasi sosial, salah satu struktur sosialisme moden, lebih menumpukan usaha mencapai reformasi sosial dan mengagihkan kekayaan kepada rakyat melalui proses demokrasi. Kerana itu sosialis demokratik boleh meraikan keberadaan bersama dengan ekonomi pasaran bebas yang kapitalis.
Di bawah pimpinan Vladimir Lenin, gerakan Bolshevik mempraktikkan teori Marxisme dengan melancarkan Revolusi Rusia 1917 yang menggulingkan pemerintahan monarki Empayar Rusia.
Revolusi ini menjadi batu asas kepada pembentukan sebuah negara dengan sistem pemerintahan sosialis-komunis yang pertama di dunia. Komunisme kekal di negara Republik Sosialis Kesatuan Soviet sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1991.
Hari ini, ‘komunisme’ masih wujud di Republik Rakyat China, Cuba, Korea Utara, Laos dan Vietnam — walaupun pada hakikatnya, sebuah negara komunis yang benar-benar mempraktikkan sistem komunisme yang sebenar adalah tidak pernah wujud.
Bahkan idea-idea komunisme turut gagal kerana berhadapan dengan pelbagai budaya setempat yang adakalanya tidak sesuai untuk dilaksanakan sistem komunis. Contohnya, Indonesia dan Malaysia.
Kerana cabaran menghadapi budaya setempat inilah yang melahirkan lebih banyak kelompok komunis-sosialis berkiblatkan individu pemimpin, muncul lah istilah-istilah seperti Marxisme, Leninisme, Stalinisme, Maoisme, dan banyak lagi.
Negara-negara yang disebut itu diklasifikasikan sebagai negara komunis kerana kerajaan pusat akan mengawal seluruh aspek sistem ekonomi dan politik secara autokratik. (Korea Utara telah menukar istilah ideologi / sistem politik pemerintah negara mereka kepada nama ‘Juche’)
Tetapi semua negara ini tidak pernah berjaya mencapai matlamat yang mahu menghapuskan kapitalisme, sistem pemilikan harta secara persendirian atau menghapuskan jurang kelas masyarakat.
Apatah lagi di abad ke-21 ini sudah tiada pemerintah imperialis yang perlu ditumbangkan untuk mencapai ideologi komunis yang sebenar, mereka gagal menghapuskan jurang antara orang kaya dan orang miskin kerana negara komunis itu sendiri menjadi imperialis hari ini.
Sama seperti komunis, tidak ada mana-mana negara yang mencapai matlamat sosialisme yang tulen. Negara-negara yang dianggap sebagai negara sosialis seperti Norway mempunyai sektor kapitalis yang berjaya dan mengikut dasar yang sebahagian besarnya selaras dengan demokrasi sosial.
Kebanyakan negara-negara Eropah dan Amerika Latin meraikan dan menganjurkan program sosialis seperti pendidikan percuma, rawatan dan penjagaan kesihatan bersubsidi dan mereka melahirkan para pemimpin sosialis yang dipilih melalui kertas undi dengan tahap kejayaan yang berbeza.
Di Amerika Syarikat, sosialisme dari segi sejarahnya tidak menikmati kejayaan yang ketara sebagai sebuah gerakan politik. Titik kemuncak politik sosialis Amerika adalah pada tahun 1912.
Ia merupakan tahun di mana pemimpin Parti Sosialis, Eugene Victor Debs meraih sebanyak 6% undi sebagai calon pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Beliau telah menjadi calon presiden sebanyak lima kali. Dan itulah pencapaian sosialis yang paling cemerlang dalam politik Amerika.
Tetapi pada masa yang sama, program-program di Amerika Syarikat yang pernah dianggap sebagai program sosialis, seperti Medicare (sejenis program insurans kesihatan) dan Akta Jaminan Sosial, telah diserap sebagai sebahagian daripada cara hidup di Amerika hingga ke hari ini.
Democratic Socialist, sebuah gerakan politik Amerika Syarikat yang sedang berkembang berada di antara titik tertentu yang memisahkan demokrasi sosial dengan komunisme.
Seperti pendokong komunis, pendokong sosialis demokratik percaya bahawa golongan pekerja harus mengawal sebahagian besar alat pengeluaran, dan tidak tunduk pada kehendak pasaran bebas dan kelas kapitalis.
Tetapi mereka tetap berpegang kepada falsafah bahawa halatuju idea sosialisme mereka mestilah dicapai melalui proses demokrasi, bukannya revolusi.
Sebenarnya, komunisme tidak pernah berfungsi dengan baik selama ia wujud. Boleh dikatakan satu-satunya negara komunis yang berjaya secara praktikal adalah negara Cuba, tetapi negara pulau kecil itu pun perlahan-lahan memeluk kapitalisme hari ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih