Bila kita fikirkan tentang internet, kita membayangkan aktiviti harian seperti menonton video, membaca berita dan melayari laman media sosial. Tetapi di sebalik semua itu, tersembunyi satu sudut di mana pemberi maklumat, penjenayah dan pengganas bersembunyi dan menawarkan khidmat mereka. Sudut inilah yang dipanggil Dark Web yang turut menyimpan maklumat-maklumat bersifat ngeri dan lucah serta tempat bagi mereka yang mahu melindungi privasi mereka. Tetapi masih ada menyangka Deep Web dan Dark Web merupakan rangkaian laman sesawang yang sama padahal kedua-duanya amat berbeza.

Deep Web

Deep Web merujuk kepada mana-mana laman sesawang yang tidak boleh diakses melalui enjin carian konvensional seperti Google, Yahoo dan Bing. Sebab perkara ini berlaku kerana kandungan laman tersebut tidak termasuk dalam indeks enjin carian yang dimaksudkan. Bahasa mudahnya, Deep Web merupakan satu lagi lapisan internet dan merupakan peringkat paling dalam bagi internet.

Bagi sesebuah maklumat dimasukkan dalam senarai indeks, enjin carian bergantung kepada satu proses bernama ‘crawling’ di mana ia menyemak ratusan atau ribuan laman sesawang agar ia dapat diakses menerusi pautan yang boleh diklik. Dari situ, ia akan meletakkan pengimbas sepintas lalu sekaligus menterjemah kandungannya dalam satu format yang akan dihantar ke server-server enjin carian. Di situ, ia akan disusun mengikut konteks kandungan dan dimasukkan dalam satu siri algorithm yang membentuk enjin carian. Sekiranya sesebuah laman sesawang tidak dalam senarai indeks enjin carian, ia hanya boleh diakses dengan menaip alamat laman sesawang benar pada pelayar web atau pergi terus ke URL melalui pautan.

Terdapat beberapa kelompok yang mendapat faedah daripada keupayaan Deep Web yang membenarkan komunikasi secara rahsia dan tanpa nama/identiti. Berikut kelompok yang beruntung dengan Deep Web:

1. Wartawan dan pemberi maklumat. Bukanlah sesuatu yang asing bagi bekas pegawai kerajaan, tentera atau syarikat korporat mendedahkan salah laku atau rasuah yang berlaku dalam bidang mereka. Mereka bekerjasama dengan wartawan-wartawan penyiasatan untuk menyiarkan perkara sedemikian kepada orang ramai. Mereka tidak perlu bimbang bila melakukannya kerana apa saja bentuk komunikasi terutama membabitkan perkara sulit dan rahsia dilindungi lebih-lebih lagi jika menggunakan Deep Web.

2. Aktivis politik dan kumpulan penyokong anti-penapisan. Mereka menggunakan Deep Web untuk berkomunikasi secara rahsia dan selamat kerana identiti tanpa nama ini amat penting bagi mereka terutama yang menggunakan Dark Web.

3. Golongan tertindas akibat tekanan rejim. Deep Web memberi peluang kepada rakyat sesebuah negara yang tertindas mendapatkan maklumat sebenar yang bersifat benar, kritikal dan penting demi kemaslahatan komuniti mereka. Deep Web menawarkan cara selamat untuk mereka mengumpul maklumat untuk keperluan mereka dan mendedahkan perkara tersebut di luar negara.

Maklumat yang terkandung dalam Deep Web:

  • laman dalaman syarikat-syarikat, persatuan-persatuan dan pertubuhan perdagangan.
  • sistem intranet sekolah-sekolah, kolej-kolej dan universiti-universiti.
  • akses kepada pangkalan data dalam talian.
  • laman sesawang yang dilindungi oleh kata laluan dan hanya boleh diakses ahli.
  • laman-laman yang dilindungi oleh langganan berbayar.
  • laman di mana akses masanya terhad seperti laman kaji selidik.
  • memintas akses langganan berbayar bagi mendapatkan kandungan digital terhad.
  • akaun peribadi individu untuk laman media sosial, e-mel, perbankan dalam talian dan seumpamanya.

Jadi mengapa sesetengah pihak memilih Deep Web? Bagi pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat atau pertubuhan, sebarang maklumat yang disimpan bukan untuk tatapan orang awam. Ini menyebabkan pihak-pihak ini berusaha untuk memastikan kandungan sebegitu tidak keluar pada mana-mana carian enjin carian. Perlu diingat, tak semua aktiviti dalam Deep Web yang menyalahi undang-undang kerana banyak aktiviti yang dianggap sah di sisi undang-undang. Antara aktiviti yang sah dalam Deep Web:

  • media sosial, blog, perbualan secara teks dan suara.
  • permainan mengikut kejohanan antarabangsa seperti catur.
  • kelab peminat hobi atau selebriti.
  • pertandingan menyanyi dan karaoke.
  • kumpulan teori konspirasi.
  • kursus dan kelas kemahiran teknologi dan komputer.

Dark Web

Ia dikenali dengan pelbagai nama seperti Dark Net atau Dark Intranet tetapi dalam jurang internet, inilah tempat yang paling dalam dan tidak sepatutnya dimasuki oleh sesiapa. Ini kerana untuk mengakses laman sebegini memerlukan kepakaran internet yang hebat. Ini bagi memastikan privasi sang pengguna tidak terdedah tatkala memasuki laman yang penuh dengan misteri dan keanehan. Itu sebab bagi mengekalkan privasi, pengunjung Dark World memilih perisian tanpa nama istimewa dikenali sebagai Tor untuk melindungi identiti mereka. Ini kerana dengan Tor, ia dapat menjadikan sesebuah komputer tidak dikenali sementara melindungi identiti pengguna, lokasi, alamat IP dan sebagainya.

Pengguna Dark Web boleh dianggap minoriti dan berdasarkan peratusan dari bilangan pengguna internet yang mencecah jutaan orang, ia hanya mencecah 3%. Walaupun penggunaan laman sebegini kecil saja, rangkaian individu, syarikat dan pertubuhan lain yang menggunakannya menarik minat lebih ramai pengguna yang terdesak mendapatkan akses Dark Web dan menjadi sebahagian daripada pangkalan pengguna yang tidak dikenali.

Apa yang boleh diambil dari Dark Web:

  • Nombor kad kredit boleh didapati dalam satu pukal, boleh dibeli dengan harga murah dan sedia digunakan bagi tujuan-tujuan haram. Dan ia merupakan antara bisnes yang aktif dalam Dark Web.
  • Laman sesawang Fake Documents mempunyai kepakaran menghasilkan dan menjual replika pasport dari mana-mana negara dunia. Satu pasport Amerika Syarikat boleh dibeli dengan harga $1,000.
  • Ganja boleh didapati dari laman Dark Web dan boleh didapati dalam pelbagai jenis dan kemujarabannya. Dan jika dibandingkan harga yang dijual di luar, ia jauh lebih berpatutan di Dark Web.
  • Akaun yang digodam atau dicuri mudah didapati di Dark Web. Ia membabitkan banyak laman sesawang seperti Paypal, Netflix, Spotify dan Uber. Dan ia boleh dibeli dengan harga serendah satu dolar.
  • Kupon palsu boleh diambil dari Dark Web dan boleh digunakan untuk membeli barang di kedai-kedai dengan diskaun tidak masuk akal. Peruncit-peruncit mengalami kerugian bukan sedikit akibat aktiviti pemalsuan ini dengan satu dalang aktiviti ini ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan mencuri lebih sejuta dolar melalui kupon palsu.
  • Sijil ijazah atau diploma sentiasa mencetuskan kekecohan lebih-lebih lagi bila ia digunakan oleh tokoh-tokoh terkenal. Ia boleh diperoleh dalam Dark Web dengan harga murah.
  • Racun seperti ricin boleh didapati dengan mudah sepanjang Dark Web dan boleh dibeli dengan kuantiti besar.
  • Perkhidmatan percetakan tiga dimensi (3D) terutama membabitkan mencetak wang palsu, alat pengimbas kad dan senjata api yang dibuat dari lukisan 3D.
  • Tidak diketahui sama ada ini mitos, gurauan atau sememangnya wujud tetapi khidmat pembunuh upahan memang wujud dalam Dark Web. Namun, ada menganggap ia satu mitos kerana ia berkemungkinan perangkap bagi menahan individu atas kesalahan konspirasi membunuh.
  • Penjana denyut elektromagnet (EMP) bersaiz poket boleh digunakan untuk menjejaskan peralatan elektronik. Di China, sesetengah pelakunya menggunakan ia untuk menipu semasa berjudi terutama bila menggunakan mesin slot.
  • Bahan letupan plastik seperti C4.
  • Nombor sekuriti sosial yang boleh didapati dengan harga murah dan tiada caj dikenakan bagi penghantaran.
  • Aktiviti pengedaran dadah di mana ia meliputi semua jenis dadah termasuk ganja, kokain dan ekstasi. Ubat-ubatan farmasi turut dijual dengan menukar ubat-ubat tersebut dalam bentuk wang tunai.
  • Satu laman sesawang Dark Web bernama The Armory bersedia menyediakan pengguna pelbagai jenis senjata api seperti replika AK-47, pelancar roket grenad (RPG) dan peluru berpandu IED. Walaupun menjual produk-produk yang dianggap menakutkan, mereka bertegas tidak menjual senjata mereka kepada kumpulan pengganas. Selain senjata api, Armory turut menjual set pelindung badan termasuk pelindung badan pasukan SWAT.
  • Uranium yang boleh dijadikan sebagai bahan utama bagi pembuatan senjata nuklear.
  • Satu lagi bisnes besar dalam Dark Web ialah menjual data-data syarikat atau kerajaan yang digodam dan sensitif.
  • Penjualan barang berjenama palsu dan replika merupakan satu lagi bisnes besar laman itu dan boleh didapati dengan harga murah.

Masa depan

Walaupun mendakwa ia sudah melakukan kemajuan dari segi perkembangan dan pertumbuhan, sesetengah mendakwa Dark Web sebenarnya dipenuhi dengan sampah dan bakal menemui kepupusan. Dakwaan ini berdasarkan satu pencarian menyeluruh yang dibuat oleh Onionscan untuk melihat pangkalan data membabitkan lebih 30,000 laman sesawang Tor. Berdasarkan carian, mereka mendapati hanya 15% laman sesawang saja yang masih beroperasi dan aktif dalam talian. Menurut Brian Menegus, penulis artikel ‘The Dark Web Is Disappearing’, ini berlaku disebabkan ramai pengguna memilih meninggalkan Tor berikutan banyak masalah yang dihadapi semasa menggunakannya.

Dengan melihat kejatuhan dua gergasi laman Dark Web iaitu Freedom Hosting II dan SIGAINT, Tor boleh juga jatuh dan mengalami nasib sama seperti dua gergasi itu. Freedom Hosting II jatuh akibat dikatakan menjadi tempat menyiarkan laman-laman pornografi kanak-kanak. Selepas ia digodam oleh aktivis atau sekumpulan aktivis, laman tersebut jatuh dalam masa singkat dan mereka mengambil alih lebih 10,000 laman sesawang yang dihoskan oleh Freedom Hosting II. Sementara SIGAINT pula jatuh kerana prestasinya yang tidak memuaskan yang berlarutan selama berbulan-bulan yang berakhir dengan kehilangannya dari Dark Web. Sejak kejatuhan SIGAINT, peranannya diambil alih oleh syarikat-syarikat lain dan mendapat pujian ramai kerana menyediakan perkhidmatan yang bersifat konsisten dan boleh dipercayai berbanding SIGAINT.

Hari ini, masih ramai yang cuba mendapatkan akses ke Deep Web dan Dark Web. Ada sesetengah mencari sesuatu yang tidak boleh didapati pada laman sesawang biasa, ada sekadar merasa ingin tahu. Deep Web dan Dark Web terus menarik perhatian berikutan sifatnya yang berahsia. Walaupun dianggap baru tetapi tarikan yang dimiliki sama tua dengan masa itu sendiri. Ia sebenarnya menjadi sebahagian daripada naluri manusia yang tertarik dengan apa yang kita tidak faham atau yang tidak boleh diakses dnegan mudah.

RUJUKAN:

Sheils, Conor. (2018). Digital.com. Deep Web, Dark Web, Tor and More: The Hidden Internet Uncovered. https://digital.com/blog/deep-dark-web/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.