Terkadang ketika terdengar sebuah lagu, kita merasakan ianya seseolah bukan berbicara mengenai cinta kepada kekasih semata-mata. Lagu tersebut seperti memiliki maksud yang kedua sehingga ada yang cuba mengaitkan dengan sufisme ataupun ketuhanan. Betul ke? Saya akan ulas dalam artikel ini.

Lagu adalah komposisi material pada penyesuaian perkataan lain untuk nyanyian atau bertujuan untuk dinyanyikan. Murphey (1992) menamakan lagu sebagai “ibu remaja”. Beliau mengatakan “ibu” dalam kenyataannya bermaksud bahasa yang sangat efektif dan bermusim yang digunakan orang dewasa untuk berkomunikasi dengan bayi.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Zurinah Hassan (1982) berpendapat lirik dapat menerangkan kisah atau pemikiran dalam sesebuah lagu serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Pada pendapat peribadi saya, lagu adalah gabungan alat muzik, lirik yang berkualiti dan lontaran padu suara seorang vokalis.

Sebelum itu mari kita kenal secara ringkas apa itu sufisme.

Menurut Hamka (2016), sufi pada hakikatnya adalah satu tindakan yang bertujuan untuk memperbaiki budi dan membersihkan hati. Beliau juga berpendapat jalan sufi dan tasawuf pada mulanya memakai perasaan tetapi akhirnya menggunakan iradat (kemahuan).

Maksudnya di sini, sufi adalah salah satu cara untuk umat Islam membaiki segala amal ibadah yang selama ini tertinggal untuk dilaksanakan. Sufi juga merupakan sebuah jalan untuk mencapai satu peringkat dalam ibadah sehingga terlalu asyik terhadap cinta tuhan. Pada permulaannya, langkah untuk menuju ke jalan sufi itu pasti akan dimulakan dengan perasaan yang ingin berubah untuk lebih mendekati tuhan. Bagi mereka yang berjaya melepasinya akan mula tenggelam dalam cinta tuhan atas kemahuan individu itu sendiri.

Seterusnya, menurut Hamzah Fansuri (dalam A. Hasmy, 2019), sufi adalah rindu-dendam; rindu kepada Mahbubnya, Kekasihnya, Khaliqnya, Allah Yang Maha Esa. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa syair yang dikarang sendiri oleh beliau iaitu Syair Perahu dan Syair Nama-Nama Tuhan. Syair-syair tersebut dipenuhi dengan kalimah memuji Yang Maha Esa tanda cinta paling agung. Kesufian Hamzah Fansuri dapat dilihat dengan sangat jelas melalui sajaknya ciptaannya iaitu:

Hamzah miskin hina dan karam,
Bermain mata dengan Rabbul Alam
Selamnya sangat terlalu dalam
Seperti mayat sudah tertanam.

Orang-orang sufi secara asasnya sudah terbiasa menggelarkan diri mereka sebagai hina, lemah dan miskin di hadapan kekuasaan Allah. Perkataan hina dan lemah itu adalah representasi kepada sifat manusia itu sendiri yang tidak sempurna melainkan Tuhan Yang Satu. Bukan itu sahaja, Hamzah Fansuri juga menerangkan tentang keadaan seorang hamba yang tenggelam dalam mendapatkan cinta Tuhan (A. Hasjmy, 2019).

Tambahan pula, situasi tersebut boleh dikaitkan dengan beberapa lagu yang dikatakan memiliki beberapa unsur rindu-dendam kepada tuhan. Sebagai contoh, Asyik nyanyian Damasutra merupakan salah satu lagu yang memiliki unsur rindu dan cinta kepada tuhan.

Bukan itu sahaja, syair dan lagu yang mengandungi kalimah memuji Tuhan sering dipandang sebagai sebuah kesalahan besar apabila tidak diletakkan dalam genre nasyid. Oleh itu, Hamzah Fansuri mengunakan syair sebagai sebuah cara menyampaikan unsur sufi kepada masyarakat pada ketika itu.

Jadi apa kaitan pula antara lagu dan sufisme?

Sufisme dalam lagu bermaksud unsur keislaman atau ketuhanan dalam lagu yang bukan hanya bergenre nasyid sahaja. Mungkin ada yang berasa pelik bagaimana unsur ketuhanan mampu digaulkan dalam sebuah lagu bukan bergenre nasyid.

Berdasarkan sejarah, menurut Masroer Ch. Jb. (2015) suatu ketika dahulu wali songo memasukkan unsur Islam ke dalam kebudayaan Nusantara seperti tarian Barongan dan wayang kulit. Konsep ini jugalah yang digunakan oleh penulis lirik untuk memasukkan unsur ketuhanan dalam lagu dengan keindahan bahasa yang puitis.

Masalahnya sekarang lagu-lagu yang dikatakan ada unsur sufisme ini banyak dimasukkan dengan elemen rock sehingga ramai tidak menyedari maksud sebenar. Sebagai contoh, lagu Seruan daripada Lefthanded yang sebenarnya menyeru kita untuk pergi sembahyang disampaikan dalam genre rock keras ataupun heavy metal.

Hal ini juga dapat dibuktikan melalui kenyataan Habsah Hassan (2011) iaitu lirik yang dihasilkan hanya untuk memenuhi tuntutan nota lagu yang disulami dengan penggunaan tatabahasa yang salah tanpa lirik dapat dihayati sepenuhnya. Hujahan tersebut mungkin berdasarkan lambakan lagu-lagu era kini yang hanya enak di halwa tetapi kurang daripada segi maksudnya.

Tambahan pula, lagu-lagu yang masyhur dalam arena arus perdana kebanyakannya adalah mengenai cinta. Bermula daripada era Kassim Selamat and The Swallow sehingga ke era Aiman Tino, lagu cinta senantiasa merajai hati pendengar. Menurut Fernandez (2011), kebanyakan lirik lagu lebih memberi tumpuan terhadap cinta sedangkan ianya juga boleh dikaitkan dengan soal alam dan isu sosial yang berlaku di sekeliling kita.

Kenyataan ini menunjukkan lagu sering kali dianggap sebagai melalaikan apabila terlalu fokus kepada cinta. Situasi ini mungkin berpunca daripada sifat masyarakat Malaysia yang terlalu inginkan karya-karya berunsurkan cinta. Melodi lagu yang mendayu-dayu serta barisan lirik merayu sang kekasih sudah berakar umbi di dalam budaya Malaysia itu sendiri.

Apa-apapun, unsur sufisme dalam lagu bukanlah sesuatu perkara yang baru malahan sangat sinonim dengan industri muzik Malaysia. Namun begitu, ianya banyak disampaikan secara tersirat. Era 80-an dan 90-an menunjukkan kebangkitan lagu-lagu berunsurkan sufisme sehingga menjadi malar segar sehingga ke hari ini.

Memasuki era 2000, lagu berunsur sufisme semakin kurang dan jika ada pun hanyalah lagu-lagu daripada kumpulan Spider. Menjelang era 2010 hingga 2020, lagu berunsurkan sufisme kelihatan begitu kurang. Walaubagaimanapun, ianya masih ada melalui lagu Mista Pollution dan Servants of Alamin nyanyian Budak Nakal Hujung Simpang serta Purbawara.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Konklusinya, lagu yang bukan bergenre nasyid juga mampu menyampaikan gagasan sufisme walaupun secara tersirat. Bukan itu sahaja, lagu juga tidak boleh dianggap sebagai melalaikan hanya kerana berunsurkan cinta tanpa memahami mesej yang cuba disampaikan. Oleh itu, lagu yang bagus apabila mampu meninggalkan kesan kepada pendengarnya serta mampu memberikan kefahaman yang berlainan daripada kebiasaan.

RUJUKAN:

Hasjmy. (2019). Ruba’i Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fernandez, F. (2011, Mei 21). Getaran Jiwa: Irama, Lagu dan Sastera, Khas Buat Penulis Lirik. Dipetik dari https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2011/05/21/getaran-jiwa-irama-lagu-dan-sastera-khas-buat-penulis-lirik.

Habsah Hassan. (2011, Mei 24). Hilangnya Nilai Sastera dalam Lirik Lagu. Dipetik dari http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=2045.

Hamka. (2016). Perkembangan dan Pemurnian Tasawuf. Jakarta: Repbulika Publisher

Masroer Ch. Jb. (2015). Spiritualitas Islam Dalam Budaya Wayang Kulit Masyarakat Jawa dan Sunda. Jurnal Sosiologi Agama, 9(1), 38-56.

Murphey, T. (1992). Music and Song. Oxford: Oxford University Press.

Zurinah Hassan. (1982). Lirik Lagu-lagu Pop Melayu: Nilai Keindahannya Terabai. Kuala Lumpur: Dewan Budaya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.