Tahukah anda, sekitar tahun 1976, program vaksin bagi penyakit cacar (smallpox) diberhentikan kerana penyakit cacar telah berhenti dan dapat dibasmi sepenuhnya hingga penyakit ini diisytiharkan tidak wujud lagi di atas muka bumi?
Tahukah anda, berlaku penurunan mendadak bagi penyakit campak (measles) dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi pada tahun 1982 hingga insiden 2.0/sejuta populasi menjelang 2009?
Namun sayang, segala bukti yang didatangkan dengan statistik penurunan jumlah kes, kematian serta pembasmian serta-merta penyakit-penyakit berjangkit ini, belum cukup untuk membuka mata warga dunia hari ini tentang kepentingan dan keberjayaan vaksin dalam ikhtiar meningkatkan kualiti kesihatan serta memperpanjang jangka hayat manusia.
Buktinya, wujud pihak yang menolak pengambilan vaksin, hingga mencetuskan gerakan antivaksin di bawah lembayung faham serta tanggapan yang sama terhadap vaksin, hingga akhirnya mengundang kembali padah yang suatu ketika pernah diisytihar tidak wujud lagi di atas muka bumi.
Kita sering melihat bahawa keputusan atau pendirian seseorang, lebih-lebih lagi para ibu bapa terhadap amalan vaksin terhadap anak mereka sebagai suatu keputusan yang bersifat ‘peribadi’. Maka, kita membuka seluas-luasnya ruang ke atas pilihan atau pendirian ini kerana bagi kita, apalah sangat 2-3 orang ibu bapa yang menolak anak mereka untuk divaksin, berbanding yang menerima.
Malah, isu gerakan antivaksin ini pun masih baru kedengaran kerana sebelum ini, kita tidak hidup di era langit terbuka, di mana akses maklumat hanya semudah di hujung jari. Ibu bapa sekadar menerima usul daripada pihak kerajaan ataupun pihak hospital untuk memvaksin anak mereka tanpa sebarang argumentasi, berbeza dengan keadaan kini di mana ibu bapa sudah rajin untuk mengambil tahu beberapa bacaan tentang vaksin, yang mana sesetengahnya diambil dari sumber yang tepat, manakala sebahagian yang lain tidak terlepas daripada seleweng fakta, pseudoscience dan hujah-hujah para penunggang agama.
Kesannya, gerakan anti vaksin inilah yang meruntuhkan sistem imuniti sejagat yang terbina dari kalangan masyarakat sihat yang bebas penyakit, atau istilah lainnya, herd immunity. Jangkitan penyakit akibat sesuatu anasir luar (pathogen) adalah bergantung kepada tahap imuniti komuniti tersebut.
Sekiranya kesemua individu dalam komuniti tersebut mengambil vaksin, maka risiko jangkitan dalam komuniti tersebut adalah lemah/rendah, hingga boleh jadi tiada lagi jangkitan. Namun sebaliknya, sekiranya ramai dalam kalangan masyarakat di sesebuah komuniti tidak mengambil vaksin, maka kadar jangkitan adalah amat tinggi, lebih-lebih lagi kepada penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dalam kadar segera seperti Difteria, Batuk Kokol (Whooping Cough) dan Kancing Gigi (Tetanus).
Kesan seterusnya adalah pengundangan semula penyakit-penyakit berjangkit yang sudah berjaya dibasmi sepenuhnya. Hanya kerana kedegilan serta sikap kurang peduli sebahagian daripada masyarakat yang gigih menolak vaksin dengan hujah tidak halal, agenda Yahudi, menyebabkan autisme dan sebagainya, kita seolah-olah memberi peluang kepada penyakit-penyakit ini untuk ‘mati, hidup kembali’. Malaysia mungkin belum pernah mengalami ‘kepulangan semula’ penyakit berbahaya.
Namun, lihat sejarah vaksin di Jepun. Sekitar tahun 1974 di Jepun, 80% rakyatnya telah mendapatkan vaksin terhadap batuk kokol, sehingga dicatatkan waktu itu, hanya sekitar 393 kes dan tiada kematian dilaporkan. Ketika inilah, warga Jepun mula melonggarkan pertahanan mereka dengan kadar penurunan pengambilan vaksin hanya 10% rakyat sahaja menjelang 1979. Natijahnya, peningkatan mendadak kes batuk kokol sehingga 13,000 kes dan 41 jumlah kematian dilaporkan pada tahun tersebut, menjadikan Jepun cakna semula dengan wabak ini dan memperketatkan pegambilan vaksin sekali lagi.
Lebih malang lagi, ada sesetengah golongan yang akan mendapat mudarat secara langsung daripada sikap tidak peduli golongan anti vaksin ini. Mereka ialah orang-orang yang rendah imunisasinya, seperti pesakit kencing manis, pesakit kanser, bayi yang baru lahir, ibu mengandung, serta warga emas, yang mana kadar imuniti mereka yang rendah, langsung tidak mampu menjadi benteng pertahanan daripada wabak yang melanda, menjadikan mereka sangat mudah dijangkiti penyakit. Maka, sekiranya sikap tidak peduli dan terlalu menyanjung pendapat ‘peribadi’ ini tidak dihentikan dengan didikan dan hujah yang tepat, tidak mustahil golongan imuniti rendah akan terus-menerus menjadi mangsa.
Perlu difahami, bahawa realiti zaman sekarang sudah jauh berbeza meninggalkan zaman datuk nenek kita dahulu kala. Lihat sahaja bagaimana persekitaran kita, alam sekitar yang tercemar teruk, bilangan populasi dunia yang kian meningkat, dan berapa banyak bahan toksik yang diolah menjadi makanan harian kita menjadikan padang ukuran kita dengan zaman dahulu kala sudah tidak lagi sama. Maka, hujah ‘zaman datuk nenek kita dulu tidak ada pun penyakit kalau tidak mengambil vaksin’ tertolak sama sekali.
Sudah-sudahlah dengan sikap jahiliah dan tidak ambil peduli kita hingga mengakibatkan musibah kepada orang lain yang tidak bersalah. Sekiranya kita masih tegar menolak vaksin dengan hujah kononnya ia adalah agenda Yahudi, mengandungi unsur tidak halal, menyebabkan kesan sampingan dan sebagainya, rujuk semula pakar-pakar perubatan atau mereka yang ahli dalam bidangnya untuk mengulas lebih lanjut soal ini.
Hentikan mengambil hujah-hujah pincang yang tidak berasaskan bukti lalu menolak pengambilan vaksin hingga mengakibatkan kemusnahan kepada diri sendiri, anak-anak serta masyarakat sekeliling. Fikirlah dahulu sebelum bertindak, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Artikel disumbangkan oleh Khalis Shahirah Bt Mohamed Hafiz untuk The Patriots.
RUJUKAN:
Dr Muhammad Ilman bin Abdul Razak; Historia 2017. What If: We Stopped Vaccinations, Feb 2019.
Laman Asal:
https://www.facebook.com/149033741924400/posts/1282440558583707/?d=n
Health Academy,
Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih