Adat berkahwin, dugaan silih berganti datang menguji pasangan. Jika tidak mampu lagi saling bekerjasama dan memahami, alamatnya bercerailah mereka berdua. Penulisan ini bukan nak sibuk bercerita mengenai rumah tangga orang yang merupakan minat sesetengah masyarakat kita sehingga isu ini hampir setiap hari dipaparkan di media sosial. Sebaliknya, saya ingin menceritakan salah satu kes penceraian yang berlaku dalam dunia haiwan iaitu penceraian yang satu spesies burung bernama Angsa Canada atau nama saintifiknya, Branta canadensis.
Angsa ini boleh dikenal pasti dengan leher hitamnya yang menyerlah dan jalur putih pada dagunya. Populasi burung yang masih beribu ini setiap tahun akan bermigrasi atau berhijrah ke selatan dan utara membentuk formasi ‘V’. Angsa-angsa yang beradaptasi untuk habitat padang rumput ini hidup di pekan dan bandar sehingga adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak. Burung ini akan berhijrah ke utara pada musim panas dan ke selatan pada musim sejuk.
Seperti 90% spesies burung lain sebagai contoh swan, enggang dan penguin, Angsa Kanada mengamalkan monogami iaitu dalam terma biologi bermaksud seekor haiwan jantan hanya akan mengawan dengan seekor haiwan betina dalam spesies yang sama membentuk suatu “ikatan berpasangan.”
Bagi mana-mana ibu bapa termasuklah Angsa Kanada, menjaga anak merupakan tugas yang memakan masa dan kudrat yang banyak. Setiap kali telur-telur angsa ini menetas kedua-dua ibu bapa angsa akan bekerjasama menjaga anak-anak selama sembilan bulan untuk meningkatkan kelangsungan hidup anak-anak mereka mengharungi musim sejuk yang mencabar. Jika Angsa Kanada berpasangan seumur hidup, ini akan menguntungkan mereka dalam hal penjagaan anak.
Namun begitu, tenaga yang banyak dihabiskan untuk menjaga anak membuatkan ada ketikanya burung ini akan keletihan sehingga ia memilih untuk ‘berpantang’ daripada membiak hingga satu tahun bagi menjana semula tenaga yang hilang. Oleh yang demikian, pasangannya berada dalam tempoh sukar jika si angsa enggan mengawan. Kajian terkini yang dibuat terhadap populasi Angsa Kanada yang hidup sepanjang tahun di New Haven County, Connecticut menjelaskan bahawa keengganan untuk mengawan akhirnya menjurus ke arah penceraian.
Profesor Michael Conover, ahli ekologi Universiti Negeri Utah dan Dr. Jonathan Dinkins dari Universiti Negeri Oregon membuat konklusi bahawa penceraian dalam kalangan Angsa Kanada berlaku apabila salah seekor daripada suatu pasangan angsa tersebut sukarela dan boleh membiak dalam sesuatu tahun tapi pasangannya pula sebaliknya.
Kajian yang mereka lakukan terhadap beberapa spesies lain juga menunjukkan bukan itu satu-satunya punca penceraian bagi spesies burung monogami. Punca lain misalnya, Angsa Teritip (Branta leucopsis) bercerai setelah kedua-dua individu berpisah ke haluan berbeza semasa berhijrah untuk musim sejuk tetapi bagi Angsa Kanada, mereka bersama sepanjang tahun.
Beberapa kajian terdahulu juga menjelaskan bahawa turut berlaku penceraian dalam spesies burung lain yang berpunca daripada ingin mengawan dengan pasangan yang mempunyai kawasan yang lebih baik. Namun, apabila kedua-dua penyelidik ini menguji dengan angsa-angsa yang bercerai di lapan kawasan masing-masing, hanya seekor yang berpisah kerana ingin kawasan yang lebih baik.
Profesor Colleen Cassady St. Clair, seorang ahli ekologi tingkah laku dari Universiti Alberta menyatakan, “Jika emosi diguna pakai terhadap terma ‘cerai’ seiring dengan konteks manusia, seseorang akan bersimpati dengan ‘janda’ atau ‘duda’ Angsa Kanada yang ditinggalkan hanya kerana mereka ingin bercuti setahun daripada mengawan. Walau bagaimanapun, percutian ini merupakan fenomena biasa bagi burung-burung berjangka hayat panjang.” Rentetan daripada itu, Angsa Kanada yang bercerai seterusnya akan mencari pasangan baru demi kesinambungan generasi bagi spesies mereka.
RUJUKAN
All About Birds (n.d.). Canada Goose. Retrieved from https://www.allaboutbirds.org/guide/Canada_Goose/overview
Ehrlich, P. R., Dobkin, D. S., & Wheye, D. (1988). Monogamy. Retrieved from https://web.stanford.edu/group/stanfordbirds/text/essays/Monogamy.html
Wilson, N. (2019). Divorce in Canada Geese. Retrieved from https://www.pbs.org/wnet/nature/blog/divorce-in-canada-geese/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih