Anai-anai bawah tanah Asia (coptotermes gestroi)  merupakan anai-anai perosak pertanian dan alam sekitar. Ia tinggal di dalam tanah, memakan kayu balak, kayu, akar tumbuh-tumbuhan dan bahan-bahan seperti kertas dan kadbod.

Spesis ini telah menjadi spesis yang biasa dijumpai di Asia Tenggara. Dari segi bentuknya, ia merupakan serangga halus dan hidup secara berkumpulan, mempunyai struktur sosial dan pembahagian tugas yang tersendiri dengan panjang dua hingga 22 milimeter.

Anai-anai bawah tanah Asia seperti anai-anai yang lain juga merangkumi tiga kasta atau jenis, iaitu pembiak, askar dan pekerja. Bayi anai-anai juga mempunyai tugasnya yang tersendiri. Anai-anai dari satu kasta boleh berkembang menjadi kasta lain. Askar yang disifatkan sebagai kasta tengah boleh menjadi kasta pembiak atau pekerja, sekiranya terdapat kekurangan bilangan dalam mana-mana kasta.

Proses ini dikawal oleh bahan kimia yang dilepaskan ke persekitaran oleh anai-anai induk yang menentukan tingkah laku anak-anaknya. Manakala bagi permaisuri (dalam kasta pembiak), terdapat bahan kimia permaisuri khas yang menghalang anai-anai lain untuk menjadi permaisuri. Hanya jika permaisuri disingkirkan atau mati, kekurangan bahan kimia permaisuri akan menyebabkan terjadinya permaisuri baru.

Pembiak mempunyai mata yang berfungsi sepenuhnya. Ia berwarna perang tua atau muda bergantung kepada warna lapisan kulit luarnya yang keras. Pembiak mempunyai tunas sayap , sayap, dan tunggul sayap . Pembiak boleh dibahagi kepada beberapa jenis iaitu: kelkatu, kelkatu terputus sayap, raja dan permaisuri.

Kelkatu, merupakan anai-anai pembiak bersayap sama ada betina atau jantan. Saiz sayap kelkatu bagi anai-anai bawah tanah Asia adalah antara 13-14 milimeter dan lebar kepalanya adalah 1.4 milimeter. Dari masa ke semasa, lebih kurang 100 hingga 1000 kelkatu akan meninggalkan sarangnya untuk beradu bersama pasangannya dan membina koloni  atau keluarganya yang baru.

Selepas beradu, pasangan kelkatu akan tinggal di tapak yang sesuai seperti di kayu pokok yang reput, untuk membina koloni baru. Kelkatu terputus sayap pula asalnya kelkatu yang meninggalkan sayapnya untuk menjadi raja dan permaisuri. Pada awalnya, kelkatu betina hanya bertelur beberapa telur sahaja. Setelah bilangan anai-anai menjadi banyak, lebih banyak pekerja tersedia untuk membantu permasuri menjaga telur-telurnya.

Selepas tiga hingga lima tahun, bilangan anai-anai menjadi begitu banyak sehingga spesis anai-anai ini menjadi sangat berbahaya. Raja dan permaisuri merupakan pembiak utama dalam koloni. Apabila pekerja semakin banyak, tugas permaisuri adalah bertelur dengan bilangan yang banyak. Permaisuri yang besar boleh bertelur hingga 1000 telur sehari. Jangka hayat permaisuri boleh mencapai 50 tahun.

Askar adalah mandul, terdiri dari jantan dan betina yang buta matanya. Kulit luarnya tidak keras dan tidak berwarna. Askar mempertahankan koloninya menggunakan gigi rahangnya yang berbisa dan menusukkan cecair putih untuk menghalau musuh. Askar tidak boleh makan dengan sendiri dan perlu disuakan makanan oleh pekerja-pekerja. Selalunya bilangan askar kurang daripada bilangan pekerja. Jangka hayat askar ialah satu hingga dua tahun.

Pekerja-pekerja juga mandul, tidak bersayap dan buta. Kulitnya juga tidak keras dan tidak berwarna. Tugas pekerja adalah membina sarang dan terowong-terowong bawah tanah. Selain itu, mereka menjaga telur anai-anai serta memberi makan kepada pembiak dan askar-askar. Jangka hayatnya adalah antara satu ke dua tahun.

Anai-anai bawah tanah Asia mempunyai bentuk badan sama seperti anai-anai lain. Badannya terbahagi kepada tiga bahagian, kepala, bahagian tengah dan abdomen yang berisi organ-organ penting. Sepasang antena yang menyerupai tali bermanik-manik kecil terletak di atas kepalanya.

Antena digunakan oleh anai-anai bersama organ-organ deria lain untuk mengesan bau. Ia juga mempunyai mulut pengunyah seperti didapati pada belalang dan semut. Rahang atas mulut pengunyah ini seperti penyepit merupakan bahagian mulut paling besar yang diguna untuk memotong, mengoyak dan mengunyah makanan. Terdapat sepasang organ perasa di kedua-dua bahagian mulut yang dapat menerima rangsangan bau, rasa dan sentuhan.

Bahagian tengah terbahagi kepada tiga bahagian, setiap bahagian mempunyai sepasang kaki. Kongkiak dewasa jenis kelkatu mempunyai dua pasang sayap di dua segmen terakhir bahagian tengah. Abdomen terletak di bahagian paling belakang anai-anai.

Di Malaysia, kelkatu sering muncul dalam jumlah yang banyak di sesebuah bangunan atau tanah pada musim hujan. Hanya peratusan yang sedikit daripada kelkatu-kelkatu tersebut dapat bertahan hidup bagi membentuk koloni baru. Kelkatu mungkin menjadi mangsa dan makanan serangga lain atau menghabiskan hidupnya di persekitaran yang tidak sesuai untuk  bertahan hidup.

Kelkatu-kelkatu yang hidup di dalam sesuatu bangunan, selalunya tidak bertahan lama untuk membiak, namun ia menunjukkan berlakunya serangan anai-anai. Kelkatu tersebut akhirnya menjadi raja dan permaisuri baru. Kedua-duanya akan terbang secara berpasangan ke tempat baru untuk membina koloni.

Sayap akan terputus setelah mendarat, dan setelah mengenal pasti kawasan yang sesuai, mereka akan mula mengorek terowong kecil di tanah lembap. Apabila terowong sudah cukup besar, mereka akan menimbuskan diri di dalam tanah dan mula beradu. Saki baki hidup raja dan permaisuri ini dihabiskan di bawah tanah.

RUJUKAN:

Hopkins, J. D. (2016). Subterranean Termite Identification and Biology. Arkansas: University of Arkansas.

Schneider, M. F. (1999). Key to the Forest Insect Pests of New Guinea. Papua New Guinea.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadith) dari Universiti Sultan Azlan Shah. Sangat berminat dalam penulisan isu-isu semasa.

Comments are closed.