Kumpulan Amish mengamalkan gaya hidup diwarisi daripada leluhur yang hidup bersama Jakob Ammann.
Beliau mengimarahkan pemikiran anabaptisme sebagai suatu mazhab baharu, berlainan dengan Protestanisme (McGrath, 2016).
Jika Ammann hidup pada zaman ini, nescaya tiada siapa dalam kalangan umat Kristian menghiraukan gaya hidupnya.
Tetapi Ammann dilahirkan pada 12 Februari 1644. Ketika itu, politik global tepu dengan zaman keemasan Belanda dan Sepanyol. Dan Ammann pula tiada pendidikan, datang daripada keluarga tukang jahit.
Buta huruf tidak menjadi penghalang buat Ammann, yang sangat aktif bersama Swiss Brethren dalam usaha menyebarkan anabaptisme.
Disebabkan ini juga beliau dituduh bertanggungjawab atas perpecahan dalam kalangan umat Kristian.
Seringkali orang menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin agama yang garang dan mende-sak tanpa mengambil kira pendapat lain.
Pengaruh Ammann yang luas mengapi-apikan kebencian orang ramai sampai ada yang menggelar pengikut Ammann sebagai “Amish” bermula tahun 1710.
Gelaran ini sebenarnya negatif. Semakin lama Dunia Eropah sudah tidak menerima Amish.
Jadi mereka mencari rezeki di bumi lain, terpaksa menyeberangi Lautan Atlantik serba luas untuk memulakan hidup di Hindia Barat British.
500 pengikut Ammann menetap di Pennsylvania, dipengaruhi dek persengketaan antara British dan Perancis.
Apabila kebangkitan dalaman mengusir British keluar, mereka secara automatik menjadi warga negara baru iaitu Amerika Syarikat. Pada abad ke-18, ribuan orang Amish tiba di negara ini dan menetap di Illinois, Iowa dan Ohio.
Hingga hari ini, golongan Amish masih minoriti yang sangat kecil, membawa diri secara tradisional tetapi berpaut rapat pada tali agama seperti difikirkan Ammann.
Dalam masa 100 tahun, populasi mereka berkembang daripada 5,000 orang hingga menjadi jemaah 300,000.
Populasi mereka melonjak kerana kepercayaan bahawa anak itu ialah rezeki. Malah anak yang ramai boleh membantu keluarga bercucuk tanam.
Dan membesar di ladang memberikan anak-anak Amish seakan-akan imuniti terhadap asma (Easton, 2016).
Amish tidak menumpukan perhatian secara khusus pada pertanian semata-mata. Mereka juga menceburi bidang pertukangan.
Rumah bina sendiri dan makanan ladang keluarga melengkapkan segala keperluan untuk beranak-pinak.
Malah Amish mendalami ilmu perniagaan dan membina rumah untuk orang.
Meskipun hidup menyendiri, Amish tidak lari daripada tanggungjawab cukai. Malah mereka rela membayar cukai sekolah dua kali supaya persekolahan Amish dikekalkan.
Budaya Amish pula sangat teliti dalam etika pakaian. Sesetengah kumpulan hanya menetapkan hitam dan putih sahaja.
Butang pula dilarang sesetengah kumpulan, kerana “menekankan” pakaian pada badan. Manakala penggunaan zip dianggap sebagai bid’ah agama. Jadi mereka menggunakan jarum dan pengepit.
Dan Perlembagaan Amerika Syarikat mengecualikan Amish daripada jabatan pertahanan… tetapi ada saja yang berkhidmat dalam jabatan polis.
Tanggungjawab dan Teknologi
Kehidupan Amish berpandukan hukum-hakam Ordnung yang berlainan mengikut komuniti.
Ada yang melarang penggunaan elektrik, kereta, televisyen dan komputer. Malah ada yang melarang persekolahan awam. Gambar juga diharamkan, kerana memungkinkan sifat riak.
Pemikiran sebegini tersangat tradisional, sampai teknologi menjadi sesuatu yang sangat taboo dalam kalangan masyarakat Amish.
Tetapi Amish tidak pandang teknologi sebagai alat kejahatan. Cuma mereka tidak mahu membawa nilai luar yang tidak serasi dengan kebudayaan sedia ada.
Asimilasi ialah mµsµh utama Amish, yang wajib bergantung antara satu sama lain.
Kereta sebagai contoh hanya akan menjauhkan silaturahim Amish. Jadi mereka masih menggunakan kuda untuk bergerak.
Yang menghairankan, sesetengah Amish membenarkan penggunaan bateri 12-volt… tetapi eletrik 120-volt diharamkan.
Kehidupan terasing pula mengurangkan kebarangkalian anak-anak Amish terkena jangk-itan. Dalam kalangan mereka, ramai yang menolak vaksinasi – dan majoriti besar didapati positif penya-kit dicegah vaksin (Jenco, 2017).
Ibu bapa Amish yang menyayangi anak berpusu-pusu mendapatkan vaksin.
Dan tindakan bertanggungjawab ini terbukti mencegah penularan demam campak yang menimpa Ohio pada tahun 2014 (Healio, 2016).
Gaya hidup bermasyarakat menjadi bala besar untuk kerajaan Amerika Syarikat, kerana Amish menjadi baja pada penularan COVID-19.
Enam perhimpunan agama Kristian telah menyebabkan kluster besar… semuanya terdiri daripada kumpulan Amish (Ali, et al., 2020).
RUJUKAN:
Ali, H., et al. (2020, November 13). COVID-19 (ditapiskan) in an Amish Community – Ohio, May 2020. 69 (45): 1671-1674.
Easton, J. (2016, Ogos 4). Growing up on Amish farms protects children against asthma. Chicago News.
Jenco, M. (2017, Ogos 2). Study: Low vaccination rate in Amish children linked to hospitalization. American Academy of Pediatrics.
Healio. (2016, Oktober 5). Vaccination of Amish limited 2014 Ohio measles (ditapiskan).
McGrath, W. (2016, Disember 17). The Anabaptists: Neither Catholic nor Protestant. The Fellowship Messenger.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih