Siapa sangka seorang jejaka muda yang berusia 24 tahun mampu mengsonglap wang milik syarikat perbankan majikannya untuk memuaskan nafsunya dalam mengumpul kereta mewah dan menjalani gaya hidup yang mewah. Itulah realitinya pada tahun 1990 apabila seorang Pegawai Eksekutif di sebuah bank tempatan telah menyalahgunakan kuasanya demi mengaut keuntungan yang mencecah jumlah puluhan juta ringgit. Kegiatannya akhirnya ‘kantoi’ akibat daripada sikapnya sendiri yang suka mempamerkan kemewahan yang dimiliki.
Jejaka yang dikatakan ini bernama Aman Shah dan dilahirkan pada 9 Oktober 1966. Dia merupakan seorang graduan daripada Institut Teknologi Mara atau ITM (kini Universiti Teknologi Mara). Beliau memulakan kerjaya perbankannya di sebuah bank yang bernama Hock Hua Bank di Jalan Raja Laut sebagai seorang pegawai bank biasa. Dia yang cekap dan berpotensi dalam kerjayanya sebagai seorang pegawai bank telah menarik perhatian majikannya. Hasil daripada itu, Aman telah dihantar untuk menjalani sebuah kursus komputer oleh majikannya. Sejak daripada itu, dia dinaikkan jawatannya kepada jawatan yang penting iaitu Ketua di Jabatan Pemprosesan Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana Dan Sekuriti atau SPEED di syarikat tersebut.
Mulai daripada kenaikan pangkatnya, Aman mula melaksanakan kerja kotornya dengan memindahkan wang daripada akaun pelanggan di Hock Hua Bank kepada akaunnya. Aman Shah dikatakan telah membuat arahan palsu melalui SPEED yang membolehkannya memindahkan wang daripada akaun-akaun pelanggan do Hock Hua Bank ke akaun miliknya di sebuah bank tempatan yang lain.
Duit Rompakannya & Kereta Mewah
Dikatakan hasil yang diperolehi oleh Aman Shah melalui aktiviti jijiknya itu mencecah RM4 juta. Jumlah tersebut merupakan jumlah yang amat tinggi lebih-lebih lagi pada tahun 1990. Dia juga telah menggunakan wang hasil daripada kegiatan jenayahnya untuk menjalani gaya hidup mewah. Aman dikatakan telah menjadi seorang pengumpul kereta mewah dan dianggarkan jumlah nilai koleksi keretanya mencecah nilai RM3 juta. Sebagai tambahan, kesemua koleksi keretanya dibeli secara tunai dan dia tidak mengambil sebarang pinjaman untuk pembelian tersebut. Perkara ini sememangnya sudah tentu tidak dapat diterima akal fikiran yang waras tambahan pula beliau hanya menerima gaji yang sederhana semasa bekerja bersama Hock Hua Bank.
Aman yang merupakan seorang peminat dan pengumpul tegar kereta mewah tidak dapat menyorokkan kegairahannya apabila dia didapati menyertai sebuah pameran kereta mewah di ibu kota pada sekitar bulan Jun 1990. Aman Shah juga dikatakan sering dilihat bersiar-siar bersama kereta mewahnya di sekitar ibu kota. Hal ini sedikit sebanyak telah menimbulkan tanda tanya di kalangan kenalannya kerana mereka berasa musykil akan keadaan Aman Shah yang secara tiba-tiba menjadi seorang yang kaya raya dan menjalani gaya hidup yang serba mewah.
Namun begitu, gaya hidupnya yang mewah itu tidak bertahan lama. Aman Shah telah ditemu ramah dalam sebuah rancangan televisyen pada awal bulan Jun tentang pemilikan kereta-kereta mewahnya. Aman yang pada ketika itu sudah tidak lagi bekerja bersama Hock Hua Bank telah berkongsi dengan megahnya tentang koleksi kereta mewahnya dalam rancangan televisyen tersebut. Malang sekali untuk Aman apabila bekas majikannya telah menonton rancangan tersebut. Majikannya berasa hairan dan musykil akan kemewahan dan kekayaan yang dimiliki Aman Shah lalu terus mengarahkan juruauditnya untuk melaksanakan audit terhadap sebarang transaksi yang melibatkan nama Aman Shah. Hasil daripada audit yang dijalankan tersebut, bekas majikan Aman Shah menemui banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh Aman Shah. Oleh itu, beliau telah membuat sebuah laporan polis di Balai Polis Campbell pada tarikh 8 Jun 1990.
Aman Shah Dihadapkan Ke Muka Pengadilan
Aman Shah kemudian ditahan oleh pihak polis di sebuah kondominium mewah miliknya 3 hari selepas laporan polis berkenaan dibuat oleh bekas majikannya. Berdasarkan siasatan polis, Aman Shah telah menyeleweng sebanyak RM4 juta daripada Hock Hua Bank dalam tempoh masa 2 minggu atau 14 hari sahaja. Hal ini amat mengejutkan banyak pihak kerana seorang individu yang membuat kerja jenayahnya berseorangan berjaya mengaut keuntungan yang sebegitu besar dalam tempoh masa yang pendek.
Aman Shah kemudian berdepan 4 pertuduhan ke atas penyelewengannya yang melibatkan nilai sekitar RM4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya pada ketika itu telah menyifatkan kegiatan jenayah yang dilaksanakan oleh Aman Shah tersebut dilakukan secara teliti dengan menggunakan cara yang ke hadapan dan unik. Semasa dalam perbicaraan, Hakim menetapkan ikat jamin terhadap Aman Shah dengan nilai sebanyak RM200,000 oleh dua penjamin. Aman Shah yang pada ketika itu tidak mampu membayar jumlah ikat jamin tersebut telah ditahan di Penjara Pudu sepanjang perbicaraan terhadapnya berjalan. Pihak berkuasa akhirnya berjaya membuktikan bahawa Aman Shah bersalah dalam dakwaan pecah amanah dan dia dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
RUJUKAN :
- The Reporter. ‘Gaji RM1,800 sebulan, tapi mampu miliki 6 buah kereta mewah!’ – Kes pencuri 1 sen 1990 viral lagi, namun… . https://www.thereporter.my/2018/12/gaji-rm1800-sebulan-tapi-mampu-miliki-6.html
- Iluminasi. Kisah Eksekutif Bank Yang Menggodam Sistem Untuk Mencuri 1 Sen – Aman Shah. https://iluminasi.com/bm/kisah-pencuri-1-sen-aman-shah.html
- Remyda. [INFORMASI] Kisah Eksekutif Bank Yang Menggodam Sistem Untuk Mencuri 1 Sen – Aman Shah. https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1134933
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih