Semalam, sejarah baru dalam dunia catur tercipta. Seorang anak muda yang lahir dari Iran telah berjaya mencapai rating 2800 dalam format klasikal (tetapan masa lama), merupakan antara rating maksimum yang boleh dicapai oleh seorang manusia dalam permainan catur. Orang itu adalah Alireza Firouzja.
Lebih membanggakan lagi, Alireza juga merupakan pemain termuda yang mendapat rating setinggi itu, iaitu pada usia 18 tahun 5 bulan, menewaskan Magnus Carlsen yang berusia 18 tahun 11 bulan sewaktu mendapat rating 2800 beliau. Dengan penambahan Alireza, sehingga kini, hanya ada 14 individu dalam dunia ini yang pernah mencapai rating melepasi 2800 mata.
Sejarah Tercipta
Pencapaian Alireza itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Hal ini kerana, sebelum mendapat rating melepasi 2800 mata semalam, Alireza pada awal bulan ini telah terlebih dahulu memenangi FIDE Grand Swiss Tournament 2021 yang berlangsung di Riga, Latvia. Kejohanan yang disertai oleh 108 orang peserta ini terdiri dari pemain-pemain terkemuka seluruh dunia, antaranya adalah Fabiano Caruana (bekas pencabar Juara Dunia 2018), Maxime Vachier-Lagrave serta Levon Aronian.
Hakikat bahawa Alireza berjaya menjadi juara, memenangi kejohanan yang turut disertai oleh ketiga-tiga pemain yang pernah melepasi rating 2800 mata ini menunjukkan bahawa Alireza sebenarnya berada dalam kelompok yang sama, cuma dia perlukan ruang untuk membuktikan kemampuannya.
Selepas Kejohanan FIDE Grand Swiss Tournament 2021 berlangsung, Alireza telah mendapat ruang yang diperlukannya apabila dia menyertai pasukan Perancis, bermain untuk Kejohanan Berpasukan Eropah (European Team Championship). Alireza bersama-sama dengan empat orang pemain lain (gambar) telah pergi ke Slovenia untuk berentap dengan 39 wakil negara yang lain.
Sepanjang kejohanan Eropah berlangsung, Alireza telah menunjukkan pencapaian yang amat luarbiasa hebat. Alireza tidak kalah satu perlawanan pun dalam kejohanan ini, berjaya mendapat 7 menang dan 2 seri (8.0/9) Rating kejohanan Alireza (performance rating) juga adalah paling tinggi antara individu yang bertanding, iaitu 3015, jauh meninggalkan peserta yang lain! Dengan prestasi Alireza yang amat memberangsangkan ini, beliau telah membantu pasukan Perancis mendapat pingat gangsa (Perancis dan Ukraine berkongsi mata yang sama, namun Perancis kalah tie-brake).
Hasil dari kedua-dua kejohanan ini (FIDE Grand Swiss dan Kejohanan Berpasukan Eropah), Alireza telah mendapat tambahan rating sebanyak 33.8, menjadikan rating beliau melompat dari 2770 menjadi 2803.8.
Masa Depan Alireza: Carlsen atau Nepomniachtchi?
Dengan kejayaan Alireza ini, telah mula timbul “cakap-cakap” dalam komuniti catur bahawa Alireza merupakan antara bakal pencabar utama gelaran Juara Dunia. Hal ini kerana gaya permainan Alireza yang tidak tumpah seperti gaya permainan juara dunia yang lepas, seperti Garry Kasparov dan Viswanathan Anand.
Satu-satunya penghalang Alireza dari memiliki rating no 1 dalam format klasikal adalah Juara Dunia Catur kita sekarang, iaitu Magnus Carlsen. Meskipun pencapaian Alireza adalah amat membanggakan, namun jarak antara tempat kedua (Alireza) dengan tempat pertama (Carlsen) adalah sebanyak 50 mata, yang menunjukkan bahawa banyak lagi yang perlu Alireza buat untuk mencabar takhta Carlsen.
Namun mungkin tuah akan menyebelahi Alireza kali ini, kerana Magnus Carlsen akan berjuang untuk mempertahankan takhta Juara Dunia-nya pada akhir bulan ini, menentang pencabar beliau, iaitu pemain dari Russia, Ian Nepomniachtchi.
Perlawanan ini bakal berlangsung bermula dari 24 November dan dijangka berakhir pada 16 Disember, bertempat di Dubai. Carlsen merupakan pilihan utama kejohanan, dan pemenang kejohanan tersebut akan membawa pulang USD 2 juta.
Mungkin ini akan kedengaran agak ganjil, namun pemain yang bakal memenangi Kejuaraan Dunia ini pastinya tidak mampu menarik nafas lega, kerana Alireza pastinya akan terus berusaha untuk memburu takhta juara.
Pertarungan Carlsen menentang Nepomniachtchi yang bakal berlangsun pada akhir bulan ini. Credit: FIDE.
BACAAN LANJUT:
“Euro Teams: Ukraine take gold, Firouzja crosses 2800”. https://en.chessbase.com/post/european-team-championship-2021-r9
“Firouzja Wins FIDE Chess.com Grand Swiss, Reaches Candidates with Caruana”. https://www.chess.com/news/view/alireza-firouzja-wins-fide-chess-com-grand-swiss-caruana-candidates
https://twitter.com/2700chess/status/1462491661209153545?s=20
“Chess: Magnus Carlsen and Ian Nepomniachtchi face off for $2m in Dubai”. https://www.theguardian.com/sport/2021/nov/19/chess-magnus-carlsen-and-ian-nepomniachtchi-face-off-for-2m-in-dubai?fbclid=IwAR1AvG76zgJj2l340PdgMPXxVFROF6xZLHkgxE4QgEKPi3rNC6pgdjaX72Y
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih