Pada subuh 29 Mei 1973, Malaysia kehilangan seorang seniman yang mungkin tidak akan pernah dapat diganti lagi.
Nama beliau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Tetapi seluruh negara mengenalinya sebagai P. Ramlee.
Hari ini, genap 53 tahun pemergian Seniman Agung itu. Namun anehnya, walaupun lebih separuh abad sudah berlalu, lagu-lagunya masih berkumandang di radio, filem-filemnya masih ditonton generasi muda dan dialog-dialognya masih hidup dalam perbualan rakyat Malaysia.
Ramai orang mengenang P. Ramlee melalui filem-filem seperti Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Anakku Sazali atau Tiga Abdul. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa ketika beliau meninggal dunia, ada sebuah filem yang sedang dirancang dan tidak sempat disiapkan.
Filem itu bernama Air Mata di Kuala Lumpur.
Mungkin jika takdir memberikan sedikit lagi masa, filem itulah yang menjadi karya terakhir beliau.
Malam sebelum pemergiannya, P. Ramlee sebenarnya masih memikirkan soal filem.
Menurut catatan Osman Abadi, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Majalah Utusan Melayu yang pernah bekerjasama dengan beliau dalam filem Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang, pada malam 28 Mei 1973 sekitar jam 9 malam, P. Ramlee duduk termenung di rumahnya di Jalan Dedap, Setapak.
Beliau kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
Tidak lama kemudian, beliau bangun dan mencapai telefon.
P. Ramlee menghubungi Osman Abadi dan mengajak beliau bertemu pada malam itu di Shah Motel kerana mahu berbincang mengenai skrip filem Azizah yang sedang dirancang.
Namun pertemuan itu tidak menjadi kenyataan kerana Osman mempunyai urusan lain dan meminta supaya mereka bertemu keesokan harinya.
P. Ramlee bersetuju.
Sebelum mengakhiri panggilan, beliau sempat menyanyikan lagu Azizah kepada rakannya itu.
Tiada siapa menyangka itulah antara perbualan terakhir melibatkan Seniman Agung tersebut.
Beberapa jam kemudian, sekitar jam 5.30 pagi, telefon rumah Osman berdering sekali lagi.
Tetapi kali ini bukan suara P. Ramlee yang kedengaran.
Sebaliknya Saloma.
“Encik Osman, abang Ramlee sudah tiada.”
Berita itu membuatkan Osman tergamam.
Malam sebelumnya mereka masih berbual merancang filem. Tetapi pagi itu semuanya sudah berakhir.
Apa yang lebih menyedihkan ialah ketika itu P. Ramlee sebenarnya masih mempunyai banyak rancangan yang belum sempat direalisasikan.
Ramai yang menganggap penghujung hayat beliau hanya dipenuhi kesuraman.
Hakikatnya tidak begitu.
Sebulan sebelum meninggal dunia, P. Ramlee dan Saloma masih aktif menerima undangan persembahan.
Salah satu gambar terakhir beliau dirakam pada 23 April 1973 ketika berada di Jerantut, Pahang.
Dalam gambar tersebut, beliau kelihatan sedang menjamu selera bersama Saloma.
Wajahnya kelihatan tenang.
Tiada siapa dapat meneka bahawa hayatnya hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi.
Pada masa yang sama, beliau sedang sibuk menguruskan sebuah syarikat baharu bernama Rumpun Melayu yang ditubuhkan bersama H.M. Shah pada Februari 1973.
Malah mereka dilaporkan mempunyai modal sehingga dua juta ringgit tanpa bergantung kepada pinjaman bank.
Mereka juga telah membeli sebuah pawagam di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menayangkan filem-filem dari Indonesia dan India.
Lebih penting lagi, P. Ramlee sedang merancang untuk kembali aktif dalam dunia penerbitan filem.
Di sinilah lahirnya projek Air Mata di Kuala Lumpur.
Filem itu diilhamkan daripada lagu ciptaan beliau sendiri yang berjudul Air Mata Di Kuala Lumpur.
Beliau mahu membawa kisah yang terkandung dalam lagu tersebut ke layar perak.
Malah lagu tema filem itu juga sudah dirakam menggunakan suara Saloma.
Tetapi takdir menentukan sebaliknya.
Pada pagi 29 Mei 1973, sebelum sebarang penggambaran dapat dimulakan, P. Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung.
Maka lahirlah satu lagi karya agung yang tidak pernah sempat disaksikan oleh rakyat Malaysia.
Sebenarnya Air Mata di Kuala Lumpur bukan satu-satunya filem yang gagal direalisasikan.
Sepanjang kerjayanya, banyak idea dan skrip yang tidak sempat diterjemahkan ke layar perak.
Pada tahun 1961, beliau bercadang menghasilkan filem bercorak keagamaan berjudul Hidayah yang asalnya menggunakan tajuk Menchari Keampunan. Filem itu bertujuan mengangkat nilai Islam dan banyak merujuk kepada ayat-ayat al-Quran.
Namun pelbagai isu berkaitan hukum agama dan dasar studio menyebabkan projek itu tidak dapat diteruskan.
Pada tahun yang sama juga beliau merancang sebuah filem muzikal berjudul Pancha Sitara.
Malangnya penulis asal cerita tersebut meninggal dunia dan projek itu turut terbengkalai.
Dua tahun kemudian muncul pula rancangan menghasilkan Seniwati di Hong Kong.
Tetapi filem itu menerima bantahan daripada sebahagian penggiat seni yang menganggap penggambaran di Hong Kong tidak mencerminkan budaya Melayu.
Lalu projek itu juga terkubur.
Beberapa minggu sebelum meninggal dunia, P. Ramlee turut berbincang dengan pembikin filem Indonesia mengenai sebuah filem kerjasama Malaysia-Indonesia berjudul Doktor Cholera.
Persetujuan awal sudah dicapai. Namun hanya dua minggu selepas pertemuan itu, beliau pergi meninggalkan dunia.
Selain itu, terdapat pelbagai skrip lain yang sudah siap tetapi tidak pernah difilemkan seperti Menanti Hujan Teduh, Sayonara Kekaseh-Ku, Roboh-Nya Kota Melaka, Bujang Lapok Jumpa Puteri Gunung Ledang dan Bujang Lapok Ke Hong Kong.
Apabila melihat semua projek yang tidak sempat disiapkan ini, kita mula sedar bahawa pemergian P. Ramlee bukan hanya kehilangan seorang pelakon atau penyanyi.
Kita sebenarnya kehilangan puluhan karya yang mungkin mampu mengubah sejarah perfileman negara.
Malah sehingga hari ini, masih ada yang percaya bahawa P. Ramlee meninggal dunia dalam keadaan miskin dan dilupakan.
Hakikatnya lebih rumit daripada itu.
Benar, industri filem Melayu ketika itu sedang bergelut dengan kemunculan televisyen dan fenomena Pop Yeh Yeh.
Namun P. Ramlee masih memiliki rumah, masih mempunyai syarikat sendiri dan masih merancang pelbagai projek baharu.
Beliau mungkin berdepan cabaran industri. Tetapi beliau tidak pernah berhenti berkarya. Itulah yang paling mengagumkan.
Sampai malam terakhir hidupnya, fikirannya masih tertumpu kepada filem. Mungkin sebab itulah selepas 53 tahun, nama P. Ramlee masih hidup.
Beliau meninggalkan pemikiran, kritikan sosial, budaya dan identiti bangsa yang terus relevan hingga hari ini.
Al-Fatihah buat Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh.




No comments yet