Wasati (Pertengahan) dan Muktadil (Bersederhana) itu bukanlah maksudnya bersikap berkecuali dalam isu Akidah seolah-olah ianya tidak penting atau bersikap duduk atas pagar sehingga bertindak mencampur adukkan mazhab-mazhab Akidah kononnya atas alasan “lapang dada, rai khilaf”. Itu acah-acah Muktadil dan acah-acah Wasati namanya. Campur aduk Mazhab Fiqh yang bersifat Furu’ pun dilarang jika ianya merosakkan Syariat, apatah lagi mencampur aduk Mazhab Akidah yang bersifat Usul.
Bersikap Wasati dan Muktadil itu adalah dengan memegang secara jazam (teguh) terhadap akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Ini kerana hanya ASWJ lah yang konsisten dengan konsep pertengahan dan kesederhanaan sepertimana yang ditulis oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Iqtisad fil Iktiqad. Berikut merupakan antara contoh sifat pertengahan dan kesederhanaan ASWJ.
– BAB DOSA MANUSIA
• KHAWARIJ : Terlalu keras hingga mudah mengkafirkan orang Islam yang melakukan dosa. Bahkan, perkara yang bukanlah sebuah dosa seperti isu remeh yang bersifat Furu’ dan Khilaf pun dikatakan Bidaah, Taghut, Syirik dan Kafir juga. Lebih ekstrim lagi, Khawarij yang merupakan benih Teroris ini bertindak menghalalkan darah umat Islam untuk diperangi dan dibunuh setelah umat Islam dituduh sebagai Bidaah, Taghut, Syirik, Kafir.
• MURJIAH : Terlalu bebas hingga segala dosa yang dilakukan oleh manusia tidak boleh dihukumi, sebaliknya perlu dikembalikan (raja’) kepada Allah sahaja. Kononnya menghukum itu kerja Allah, siapalah manusia untuk mengambil alih kerja Allah, kita tak tahu isi hati pelaku dosa itu, walaupun dia buat dosa tetapi hatinya baik.
• ASWJ : Pertengahan antara Khawarij dan Murjiah. Ada perkara yang perlu dihukumi, ada perkara yang tak boleh dihukumi. Allah menurunkan Hukum Syariat untuk dilaksanakan oleh manusia. Bahkan, ada orang-orang tertentu yang diberikan hak khusus untuk melaksanakan hukuman yang bersifat perundangan di Mahkamah. Selain Mahkamah di dunia, manusia juga akan menghadapi Mahkamah di akhirat kelak. Untuk tahu apa yang boleh dan tidak boleh dihukumi serta siapa yang akan menghukumi, memerlukan pengajian khusus. Sila mengaji.
– BAB QADA’ QADAR
• QADARIYYAH : Perbuatan manusia datangnya dari manusia sendiri. Bukan Allah yang ciptakan perbuatan manusia. Barulah sempurna sifat Allah yang Maha Adil untuk menghukum manusia kerana manusia yang bertanggungjawab secara penuh terhadap segala perbuatan mereka. Qadariyyah berdalilkan Surah ar-Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri….”
• JABARIYYAH : Perbuatan manusia datangnya dari Allah. Manusia hanya terpaksa dan berserah mengikuti takdir sahaja tanpa boleh berusaha apapun. Barulah sempurna sifat Allah yang Maha Berkuasa. Jabariyyah berdalilkan Surah as-Saffat ayat 96, “Dan Allah menciptakan kalian serta segala perbuatan kalian…”
• ASWJ : Pertengahan antara Jabariyyah dan Qadariyyah. Perlu ada Doa-Usaha-Ikhtiar-Tawakal dalam setiap perkara. Allah itu Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Adil. Manusia perlu berusaha secara Syariatnya walaupun pada Hakikatnya segala perkara ada dalam Qada’ Qadar Allah. Syariat dan Hakikat tidak boleh ditukar silang, tetapi perlu dihubungkan melalui Tarekat, maka barulah dapat mencapai Makrifat. Huraian terperinci mengenai bab Qada’ Qadar memerlukan pengajian yang khusus. Sila mengaji.
– BAB SIFAT ALLAH
• MUKTAZILAH : Sifat Allah dinafikan secara Qatie (Ta’thil) agar keesaan Allah itu tidak hilang dengan adanya dua unsur iaitu Dzat dan Sifat.
• MUJASIMMAH : Sifat Allah diisbatkan secara Zahir literal (Tasybih) termasuklah yang berbentuk Mutasyabihat sehingga Allah disamakan dengan makhluk seperti berwajah, bertangan, berkaki, berjari, duduk, turun, berlari dan sebagainya.
• ASWJ : Pertengahan antara Muktazilah dan Mujasimmah. Konsep Nafi dan Isbat disandingkan oleh para ulama Salaf melalui kaedah Tafwidh secara Mutlak dan Takwil secara Zhanni. Tafwidh adalah serah sepenuhnya kepada Allah tanpa dibahas langsung, tidak diterjemah dan tiada berkaifiat. Takwil adalah mencari kata seerti atau sinonim dalam seni bahasa Arab untuk memahami sesuatu ayat Mutasyabihat. Kedua-dua kaedah Tafwidh dan Takwil ulama Salaf ini kemudiannya diwarisi oleh ulama di zaman Khalaf sehingga kini. Untuk tahu secara terperinci tentang Tafwidh dan Takwil, sila mengaji.
– BAB ISU SEMASA
Masyarakat kita terperangkap dalam minda binari. Kalau kita bantah Syiah, akan dituduh Wahabi. Kalau kita bantah Wahabi, akan dituduh Syiah. Sedangkan, sebenarnya fahaman songsang bukan hanya berkisar kepada dua hitam-putih ini sahaja. Terdapat banyak lagi pecahan yang menyalahi akidah ASWJ. Kesemua akidah menyeleweng ini perlu ditolak dengan tegas.
Janganlah kerana takut kehilangan pengikut atau undi parti, kita bersikap khianat kepada ilmu sehingga menyembunyikan kebenaran. Datang Syiah, kita kata Syiah itupun benar juga. Datang Wahabi, kita kata Wahabi itu benar juga. Itu adalah ciri-ciri ulama Su’.
Adakah jika datang Khawarij, Murjiah, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, Mujasimmah, Liberal, Plural, Sekular dan lain-lain ajaran sesat juga kita perlu bersikap “lapang dada, rai khilaf” juga? Berbeza Akidah walau dalam satu parti didiamkan, tetapi kalau berbeza parti boleh diperbalahkan walaupun sama Akidah. Begitukah? Terbalik! Akidah itu sepatutnya mengatasi parti.
Taqrib Muamalah dibenarkan, namun jangan pula Taqrib Akidah sehingga bercampur aduk antara hak dan batil. Itu akan menghilangkan sifat pertengahan ASWJ. ASWJ itu kekal ditengah secara teguh dengan prinsip-prinsipnya. Tidak terlalu berat ke kanan dan tidak terlalu berat ke kiri. La Tafrith wa la Ifrath.
Ilmu Qiraat, Hadis, Fiqh telah ada di zaman Rasulullah, namun nama-nama disiplin ilmu ini disandarkan kepada para ulama yang berkhidmat dalam ilmu tersebut seperti Hafs al-Kufi, Warsy al-Misri, al-Bukhari, Muslim, Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hanbal. Maka begitu jugalah ilmu Akidah.
Hakikatnya Akidah Islam itu satu sahaja iaitu Akidah Rasulullah. Inilah akidah yang diikuti oleh seluruh umat Islam. Namun kemudiannya muncul firqah-firqah menyeleweng yang menyelisihi majoriti jemaah umat Islam. Firqah-firqah ini berjumlah 72 buah sepertimana yang tercatat dalam hadis.
Setiap Firqah ini memiliki namanya tersendiri, antaranya seperti yang tercatat dalam artikel ini. Setiap firqah sesat ini memiliki dalil dari al-Quran dan Hadis jua dalam membentuk fahaman mereka. Ini kerana sesuatu ajaran itu menjadi sesat bukanlah kerana mereka tidak memiliki dalil, tetapi adalah akibat mereka salah memahami dalil.
Golongan yang masih kekal dalam jemaah majoriti umat Islam dinamakanlah sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Konsep ASWJ adalah mudah iaitu, semua umat Islam adalah ASWJ melainkan apabila seseorang itu bertindak keluar menyalahi usul akidah mazhab ASWJ. Golongan yang terkeluar dari batas usul ASWJ ini adalah sesat. Jika kesesatan mereka melepasi batas usul Islam, barulah dikatakan Kafir. ASWJ tidak bermudah-mudah dalam mengkafirkan Ahli Kiblat namun tetap tegas menolak fahaman sesat.
Nama akidah ASWJ ini disandarkan kepada dua ulama Salaf iaitu Imam Abu Hassan al-Asyaari serta Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua-dua ulama Salaf ini menyusun ilmu akidah secara sistematik dan terus diwarisi oleh majoriti ulama zaman Khalaf sehingga kini. Majoriti ulama Qiraat, Tafsir, Hadis, Akidah, Fiqh, Tasawwuf, Sirah, Bahasa Arab mengikuti mazhab kedua-dua tokoh ini. Maka masyhurlah kata-kata “Apabila dikatakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka ianya adalah al-Asyairah wal Maturidiah”.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih