Masyarakat Melayu terdahulu sangat terkenal dengan sifat-sifat kreatif serta mempunyai cara hidup yang penuh dengan kesenian falsafah di dalam adat mahupun kepercayaan agama khususnya setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Orang Melayu terdahulu melihat alam sebagai ruang lingkup yang penting sebagai tempat kediaman dan alam dijadikan guru serta pengalaman untuk generasi yang terkemudian. Apa sahaja yang mereka cipta, seringkali mengandungi unsur-unsur keagamaan dan nasihat buat tatapan generasi yang mendatang.

Kadangkala apabila kita bertandang ke rumah-rumah Melayu tradisional, kepala kita hampir saja terhantuk rangka pintu kerana pintunya direka terlalu rendah dan tidak sesuai dengan ketinggian manusia. Akan tetapi pernahkah kita berfikir di mana rasionalnya rekabentuk pintu yang rendah di dalam senibina rumah Melayu tersebut? Adakah berpunca daripada ralat atau disengajakan?

Gambar 1 : Rumah Melayu yang menggunakan rekabentuk pintu yang rendah.
Sumber gambar: https://assets.hmetro.com.my/images/articles/minang01_1480712484.jpg

Rekabentuk pintu yang rendah di dalam senibina rumah Melayu adalah terhasil daripada kreativiti arkitek serta tukang-tukang bina rumah Melayu terdahulu yang senantiasa menyanjung tinggi adat dan membudayakan ajaran Islam di dalam setiap inci kehidupan, termasuk di dalam rekabentuk rumah. Rekabentuk pintu ini, sengaja direka rendah supaya sesiapa sahaja yang hendak memasukinya menundukkan diri terlebih dahulu.

Tunduk, merupakan satu simbolik kepada sikap patuh, taat atau menyerah yang merupakan salah satu makna kepada perkataan “Islam” dari sudut bahasa.  Di dalam masyarakat Melayu, “rumah” merupakan suatu tempat yang dimuliakan, suatu tempat bagi tuan rumah berlindung dari bahaya, tempat menjaga kesucian dan kehormatan keluarga, juga sebagai tempat ibadah. Perlakuan “menunduk” sebelum memasuki rumah memberi simbolik kepada penyerahan diri atau mujahadah di dalam memasuki agama-Nya. Hal ini juga, merupakan satu bentuk penghormatan daripada tetamu kepada tuan rumah sebagai “tuan tanah” tempat kita bertandang.

Di dalam Al-Quran Surah An-Nur ayat 27-28 Firman Allah SWT,

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٌ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat”.

An-Nur, 27

 

Gambar 2 : Rumah Melayu dengan rekabentuk pintu dan serambi yang rendah.

Rumah adalah tempat menyimpan rahsia rumahtangga. Apa yang berlaku dalam rumah adalah rahsia peribadi tuan rumah. Pendedahan aurat antara suami isteri serta anak-anak gadis adalah lumrah di dalam rumah. Di dalam ayat ini, Allah SWT mengajar hamba-hambaNya yang beriman supaya memuliakan tuan rumah dan beradab apabila berkunjung. Hikmahnya agar memelihara maruah tuan rumah supaya tidak kelihatan segala pemandangan yang mengaibkan diri dan keluarganya. Ayat ini menjelaskan, antara adab yang perlu dilakukan ketika mengunjungi rumah orang ialah meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu kepada penghuninya, moga-moga dengan cara itu akan menimbulkan perasaan kasih dan kemesraan sesama manusia.

فَإِن لَّمۡ تَجِدُواْ فِيهَآ أَحَدٗا فَلَا تَدۡخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤۡذَنَ لَكُمۡۖ وَإِن قِيلَ لَكُمُ ٱرۡجِعُواْ فَٱرۡجِعُواْۖ هُوَ أَزۡكَىٰ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٌ

“Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembali (saja) lah”, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

An-Nur, 28

Pada ayat 28 telah diperintahkan sekiranya orang yang berkunjung itu tidak mendapat izin dari tuan rumah, maka hendaklah ia pulang saja. Sikap demikian itu adalah lebih baik daripada berdiri di depan pintu rumah dengan niat memaksa penghuni rumah agar mengizinkannya kerana penghuni rumah kadang-kadang mempunyai sebab tersendiri atau sedang sibuk dengan suatu pekerjaan dan dia tidak mahu diganggu oleh tetamu.

Di dalam menjadi tetamu, haruslah kita mencontohi baginda Rasulullah di dalam adab baginda. Nabi s.a.w tidak pernah menghampakan harapan orang yang menjemputnya ke  rumah mereka. Beberapa adab yang telah digariskan apabila bertandang sebagai tetamu adalah:

  • Memperbetulkan niat kita apabila menjadi seorang tetamu iaitu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
  • Jika kita dijemput ke rumah seseorang, maka kita sahajalah yang patut pergi tanpa membawa orang lain melainkan setelah mendapat persetujuan dari orang yang menjemput.
  • Semasa berada di rumah yang menjemput kita sebaik-baiknya janganlah masuk ke dalam rumahnya sehinggalah kita disuruh berbuat demikian.
  • Apabila masuk ke rumahnya, duduklah ke arah yang menghadap ke luar rumah bukan ke arah dapur atau ke bilik mereka.
  • Mata kita janganlah terlalu liar memandang ke seluruh kawasan rumahnya dan mulut kita janganlah terlalu ramah bertanyakan soalan-soalan yang tidak sepatutnya. Jangan sekali-kali menyusahkan tuan rumah.
  • Apabila hidangan dihidangkan, biarlah ianya dihidang di mana-mana yang dikehendaki oleh tuan rumah dan tidak perlu bagi kita mengubahkannya ke tempat lain kecuali jika tuan rumah meminta kita berbuat demikian.
  • Makanlah setelah tuan rumah memulakannya atau dia menjemput kita berbuat demikian.
  • Sama ada makanan yang dihidangkan itu sedap atau tidak, maka sebaik-baiknya hendaklah kita zahirkan sesuatu yang boleh menyenangkan tuan rumah.
  • Makanlah rnakanan yang berdekatan dengan kita tetapi jika makanan yang dihidangkan itu berjenis jenis, maka tidak ada salahnya kita mengambil dari mana-mana arah.
  • Janganlah menampakkan yang kita terlalu lapar atau gelojoh dengan berebut-rebut sehingga memalukan. Sebaliknya makanlah dengan tertib dan perlahan-lahan.
  • Jika di rumah orang miskin maka zahirkan rasa syukur dan jangan komen apa-apa pun. Sebaliknya jika di rumah orang berada maka janganlah seperti pelanduk masuk kampung.
  • Apabila makanan dihidangkan maka makanlah dengan tertib dan bacalah doa-doa waktu makan dan doa sebagai tetamu.
  • Setelah selesai keperluan kita sebagai tetamu maka hendaklah segera mengundurkan diri kerana memberi kerehatan kepada tuan rumah. Jangan sekali-kali menyusahkan tuan rumah.
  • Jika kita menjadi tetamu kepada orang alim, maka lebih banyak mendengar nasihat dan mendapatkan ilmu darinya, sebaik-baiknya bawalah hadiah untuknya.

Tanggungjawab memuliakan tetamu tidak hanya jatuh kepada tuan rumah, tetapi terlebih dahulu dimulakan oleh si tetamu, dengan menghormati tuan rumah sebagai “tuan tanah” tempat kita berkunjung. Di samping kita menikmati keistimewaan layanan sebagai tetamu, hak-hak tuan rumah jangan pula kita tidakkan. Dengan kedua-duanya tetamu dan tuan rumah saling menjulang hormat di dalam adab, hubungan keduanya menjadi semakin sejahtera dan erat, berkat dari adab yang dijulang.

Kepentingan adab “Menghormati Tuan Rumah” ini, telah dikiaskan secara halus oleh para arkitek pembinaan rumah Melayu terdahulu di dalam rekabentuk pintu rumah yang memaksa sesiapa yang melaluinya menundukkan kepala. Malah, telah diceritakan secara lisan oleh mereka yang hidup di era pendudukan Jepun betapa tentera-tentera Jepun yang berpangkat tinggi enggan untuk memasuki rumah-rumah Melayu kerana terpaksa menundukkan kepala. Di dalam budaya masyarakat Jepun, menundukkan kepala merupakan suatu lambang penghormatan yang hanya diberikan pada orang-orang tertentu.

Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir ini telah menghasilkan rekabentuk senibina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Rekabentuk pintu dalam rumah melayu ini bukan sahaja mempunyai fungsi sebagai laluan keluar masuk, malah tersembunyi nasihat di dalam rekabentuknya. Sesuai dengan sabda baginda Rasulullah, “Agama itu adalah nasihat” (HR.Muslim)

Nasihat-nasihat yang tersembunyi di dalam cara hidup masyarakat Melayu terdahulu, seringkali disampaikan melalui metafor dan kiasan-kiasan yang tersirat, jarang sekali memberi maksud secara langsung. Mereka mencipta peribahasa-peribahasa yang indah dengan menggunakan perbandingan alam, benda, haiwan dan pengalaman kehidupan sekitarnya sebagai pengalaman dan peringatan hidup yang berguna.  Tinggalan-tinggalan mereka seharusnya dipelajari dan dijadikan teladan oleh generasi kini, supaya tidak lapuk ditinggal zaman.

Rujukan:

-Al-Quran, Surah An-Nur

– Permata Kata, Adab Menjadi Tetamu
https://permatakata.wordpress.com/2008/07/06/adab-menjadi-tetamu/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak kelahiran pasangan pelukis batik dan penggiat seni kraf melayu dari Perlis, Ahmad Syahir merupakan seorang Assistant Architect dan penggiat seni Visualisasi 3D senibina. Kini sedang mengejar Master dalam bidang senibina di UTM. Dari sudut pandangnya sebagai anak seni, alam merupakan karya Tuhan yang menyimpan seribu satu rahsia tentang Pelukisnya. Segala yang ada adalah seni yang mempunyai maksud dan mampu ditafsir. Penulisan cenderung kepada Alam Melayu dan Eksplorasi Karya.

Comments are closed.