Pada abad ke-9, Eropah dipenuhi perang, perebutan wilayah dan sengketa kuasa antara empayar besar. Tetapi di tengah-tengah hiruk-pikuk itu, berlaku sesuatu yang luar biasa. Wujud persahabatan politik antara seorang khalifah Islam di Baghdad dan seorang maharaja Kristian di Eropah Barat.
Hubungan ini begitu unik hingga seekor gajah, ya seekor gajah sebenar! Berjalan ribuan kilometer merentasi padang pasir dan pesisir laut untuk menjadi simbol diplomasi dua kuasa dunia ini.
Khalifah itu ialah Harun al-Rashid. Maharaja itu ialah Charlemagne. Dan gajah itu bernama Abul-Abbas.
Harun al-Rashid, pemerintah Abbasiyah yang menguasai wilayah dari Afrika Utara hingga ke sempadan India, memimpin sebuah empayar yang menjadi pusat ilmu dan perdagangan global. Charlemagne pula mengetuai Empayar Carolingian yang menyatukan hampir seluruh Eropah Barat.
Kedua-dua mereka memerintah jauh dari satu sama lain, tetapi mereka saling memerhati, menilai dan akhirnya saling menghormati.
Apa yang mendorong dua pemerintah besar ini untuk menjalin hubungan?
Jawapannya mudah: musuh yang sama.
Empayar Byzantine, yakni kuasa Kristian Timur pada waktu itu menjadi pesaing kepada Baghdad dan juga ancaman kepada Charlemagne. Maka, boleh kita kata yang persahabatan antara Harun dan Charlemagne adalah hubungan geopolitik yang strategik: “musuh kepada musuhku adalah rakanku.”
Charlemagne mengorak langkah dengan menghantar utusan, termasuk seorang diplomat bernama Isaac the Jew. Utusan ini merentasi padang pasir, menunggu di kota-kota pelabuhan dan menempuh perjalanan berbulan-bulan untuk sampai ke Baghdad.
Harun al-Rashid menyambut mereka dengan penuh hormat.
Baginda tahu hubungan ini membuka pintu kepada laluan perdagangan, kerjasama ketenteraan dan status politik yang tinggi di mata dunia Kristian. Lalu baginda memilih hadiah-hadiah yang dapat menunjukkan dua perkara: kemewahan Baghdad dan kehalusan diplomasi Abbasiyah.
Tetapi ada satu hadiah mengatasi segalanya. Seekor gajah yang gagah. Namanya Abul-Abbas. Hadiah ini adalah isyarat:
“Kami, di Baghdad, cukup kuat dan cukup kaya untuk menghadiahkan seekor gajah.”
Ini yang buatkan Charlemagne terpesona.
Perjalanan Abul-Abbas adalah kisah yang agak epik. Dari Baghdad, gajah itu dibawa ke Basrah, kemudian merentas Teluk Persia, menuju ke Mesir, merentasi Afrika Utara, naik ke kapal, menyeberangi Mediterranean, mendarat di Itali dan akhirnya dibawa menuju ke Aachen, ibu kota Charlemagne.
Perjalanan Abul-Abbas mengambil masa beberapa tahun.
Ketika Abul-Abbas tiba, seluruh Eropah tercengang. Sebahagian rakyat Charlemagne tidak pernah melihat unta, apatah lagi gajah. Ini menjadi simbol persahabatan yang mustahil: Islam dan Kristian, Baghdad dan Aachen, Timur dan Barat.
Tahun-tahun berikutnya, kedua pemerintah terus bertukar hadiah, utusan dan maklumat. Harun menghantar minyak balsam, kain-kain halus, alat mekanikal, jam air dan rempah. Charlemagne pula menghantar barangan Eropah, pelindungan kepada paderi Kristian di Timur dan saluran diplomatik di wilayahnya.
Hubungan ini berlangsung damai, tanpa perang, tanpa tipu daya besar. Cukup akrab dan aman.
Namun, Abul-Abbas akhirnya mati pada tahun 810 Masihi, menurut catatan sejarah akibat kesejukan ketika kempen ketenteraan Charlemagne di utara. Ahli sejarah sering menganggap kematian gajah ini sebagai simbol berakhirnya era hubungan unik antara dua kuasa besar itu, kerana tidak lama kemudian kedua-dua mereka juga mangkat.
Namun, hubungan Harun–Charlemagne kekal sebagai contoh bagaimana dua peradaban yang sering dipotretkan sebagai pihak yang bertentangan sebenarnya mampu bekerjasama pada puncak kekuasaan masing-masing.
Siapa sangka, seekor gajah menjadi penghubung antara dua dunia. Dan dari Baghdad ke Aachen, hadiah itu menjadi saksi bahawa tamadun Islam dan Kristian di masa lalu juga pernah bersahabat.




No comments yet