Pada 15 September 2020, dua buah negara arab, iaitu United Arab Emirates (UAE) dan Bahrain telah menandatangani perjanjian ‘normalisasi’ hubungan diplomatik dengan negara haram Israel sambil disaksikan oleh Presiden Donald Trump selaku ‘pusher’ kepada perjanjian yang dinamakannya sebagai ‘Abraham Accords’.
Perjanjian ini ditandatangani secara bersama oleh Abdullah bin Zayed (Menteri Luar UAE), Abdullatif Al Zayani (Menteri Luar Bahrain), Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) dan Presiden Donald Trump, melalui upacara rasmi yang diadakan di perkarangan White House.
Menurut portal theatlantic.com, nama perjanjian ‘Abraham Accords’ dipilih oleh seorang pembantu (aides) yang bertugas di White House. Walaubagaimanapun, tidak diketahui identiti pembantu tersebut memandangkan Trump dan menantunya, Jared Kushner mengambil kredit sepenuhnya.
Beberapa portal berita mengandaikan bahawa nama perjanjian ini diambil bersempena dengan nama Baginda Nabi Ibrahim Alaihissalam (AS). Akan tetapi, apakah keperluan untuk mereka menggunakan nama Nabi Ibrahim AS untuk perjanjian di antara negara Arab dengan Israel?
Secara asasnya, menurut kepercayaan umat Islam, Nabi Ibrahim AS adalah bapa kepada ramai Nabi dan Rasul. Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan juga junjungan besar kita iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW adalah berasal daripada susur galur keturunan Baginda Nabi Ibrahim Alaihissalam.
Oleh hal yang demikian, Nabi Ibrahim AS dianggap sebagai ‘simbolik’ yang membawa maksud penyatuan kepada umat Islam (UAE & Bahrain) dan kaum Yahudi (Israel) menurut beberapa penerangan yang ada berkaitan dengan sebab-sebab pemilihan nama ‘Abraham Accords’ itu dibuat.
Terdapat 12 ‘key point’ utama yang menjadi teras kepada ‘Abraham Accords’, antaranya persefahaman prinsip umum, penubuhan pejabat kedutaan, jaminan keamanan & kestabilan, jalinan kerjasama dalam sektor-sektor strategik dan sebagainya menurut data dari portal whitehouse.gov. *Bacaan lengkap boleh rujuk di laman tersebut.
Sebelum negara UAE dan Bahrain mengadakan normalisasi hubungan diplomatik bersama Israel Laknatullah, negara-negara arab lain seperti Mesir dan Jordan sudah pun terlebih dahulu menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Perjanjian normalisasi antara Mesir dan Israel dibuat pada tahun 1979, melalui sebuah perjanjian yang dikenali sebagai ‘Camp David Accords’. Manakala, Jordan dan Israel pula menandatangani Perjanjian Damai (peace treaty) pada tahun 1994.
Dalam pada itu, negara Sudan menjadi negara Arab kelima yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel setelah perjanjian yang dinamakan sebagai ‘Sudan – Israel Normalization Agreement’ ditandatangani pada 23 Oktober 2020.
Donald Trump turut memberikan ‘signal’ bahawa terdapat beberapa negara Islam yang lain turut menunjukkan ‘minat’ untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, sambil mendabik dada kononnya pentadbiran beliau ‘berjaya’ mengubah landskap geopolitik di Timur Tengah.
Perjanjian normalisasi ini secara naifnya dianggap sebagai ‘game changer’, yang dibuat demi menjaga keharmonian dan kestabilan sejagat di wilayah Timur Tengah, di samping menjana manfaat secara ekonomi sambil ‘melindungi’ hak asasi rakyat Palestin (dibaca: mencabuli).
Walhal, semua orang sedia maklum bahawa perjanjian ini tidak lebih daripada ‘wayang’ politik bagi mencatur gerak langkah geopolitik puak-puak tertentu di wilayah Timur Tengah, yang bertujuan untuk menjaga kelangsungan hidup masing-masing.
Berbalik kepada perihal ‘Abraham Accords’, ingin saya kongsikan sedikit analisis menarik yang dikarang oleh Jeffrey Goldberg, iaitu jurnalis agensi pembekal media ‘The Atlantic’. Jeffrey menerusi artikelnya telah menggariskan beberapa ‘point’ penting seperti ‘the winners’ dan ‘the losers’ di dalam perjanjian tersebut.
Menurut Jeffrey, pemimpin-pemimpin seperti Mohammed bin Zayed (Putera Mahkota UAE), Mohammed bin Salman (Putera Mahkota Arab Saudi), Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) dan Presiden Donald Trump dikategorikan sebagai ‘the winners’.
Hal ini dikatakan demikian kerana, kesemua pemimpin tersebut memiliki ‘hidden agenda’ yang tersendiri. Mereka sekadar ingin memperlihatkan sisi ‘ketokohan’ masing-masing, yang mana mereka fikir mereka adalah pemimpin yang bersifat konstraktif lagi progresif, serta ‘bencikan’ peperangan dan keganasan, sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu.
Perjanjian yang kononnya menjunjung nilai ‘keamanan’ serantau ini, disifatkan Jeffrey sebagai ‘platform’ baharu bagi memperluaskan lagi perjanjian strategik yang melibatkan hal ehwal persenjataan (arms deal). Dengan adanya hubungan diplomatik yang sah antara Israel dan wakil negara teluk (Gulf Cooperation Council) seperti UAE dan Bahrain, semestinya teknologi persenjataan moden semakin giat dibangunkan di wilayah Timur Tengah.
Negara Palestin dan Iran pula disifatkan sebagai ‘the losers’, kerana rakyat Palestin kini semakin ditindas dan semakin jauh daripada aspirasi mereka untuk menubuhkan sebuah negara bangsa Palestin yang merdeka. Negara-negara Islam, khususnya negara Arab yang sepatutnya membela nasib Palestin kini mula mengiktiraf Israel sebagai rakan diplomatik.
Iran pula dijangka sedikit ‘terciduk’ setelah musuh-musuh ketatnya yang berada di kawasan Timur Tengah, iaitu negara-negara arab yang pro Arab Saudi kini bergabung dengan Israel untuk membentuk sebuah koalisi keselamatan yang baharu. Perkembangan ini sudah pasti membuatkan Iran semakin tidak senang duduk, ada juga kebarangkalian untuk Iran kembali memperkuatkan senjata Nuklear mereka untuk dijadikan sebagai ‘deterrent’.
Berdasarkan petunjuk ekonomi tahun 2019, UAE memiliki saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah $421.1 Bilion USD, berbanding Bahrain ($38.57 Bilion), Sudan ($18.7 Bilion) dan Israel ($395.1 Bilion). Dari segi saiz populasi pula, UAE memiliki populasi seramai 9.8 juta orang, manakala Bahrain (1.8 juta orang), Sudan (43.8 juta) dan Israel (8.6 juta orang).
Boleh kita rumuskan di sini bahawa perjanjian ‘Abraham Accords’ ini adalah ‘pembuka’ kepada lembaran baharu di dalam suasana geopolitik negara-negara Islam.
Sepertimana yang dilaporkan sebelum ini, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pernah memberitahu bahawa beliau dan pentadbirannya pernah didesak oleh kuasa-kuasa tertentu untuk mengiktiraf Israel sebagai rakan diplomatik. Jika perkara ini benar, tidak mustahil untuk negara kita menerima nasib yang sama.
Oleh itu, diharapkan agar kepimpinan negara Islam di seluruh dunia, khususnya negara Malaysia yang berdaulat ini dapat kekal teguh dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf negara haram Israel Laknatullah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih