Bagi mana-mana individu yang melihat kerjaya kami sebagai penulis, mungkin ada yang beranggapan pekerjaan sebegini kacang sahaja. Hakikatnya, ia bukan satu tugas yang mudah terutama dalam bidang kewartawanan kerana perlu mencari dan mengesahkan sesebuah maklumat, memilih prosa dan perkataan yang sesuai bagi sesebuah artikel dan akhir sekali melihat sejauh mana artikel berkenaan memberi impak kepada pembaca. Atas sebab itulah, tidak salah untuk kita memberi penghormatan kepada Bapa Kewartawanan Melayu terbilang, Abdul Rahim Kajai.
Abdul Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim Haji Salim merupakan anak jati Setapak, Kuala Lumpur dan dilahirkan pada tahun 1894. Nama Kajai dipilih beliau sempena nama kampung ibu bapanya iaitu Kampung Kajai yang terletak di Sumatera Barat. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Setapak pada tahun 1900, Abdul Rahim berjaya hingga ke Darjah Lima dengan cemerlang pada tahun 1905. Dengan pencapaian sebegini, ia turut membuka peluang kepadanya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kuala Lumpur.
Namun, ibu bapanya merasakan ia bukan satu langkah yang terbaik. Sebaliknya, Haji Salim memilih menghantar Abdul Rahim ke Makkah untuk mempelajari ilmu agama dan Bahasa Arab. Selain merupakan tempat baginya menimba ilmu, bapanya juga menguruskan perniagaan katering untuk memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah ketika itu. Walaupun tidak berjaya ke sekolah Inggeris, beliau berusaha mempelajari Bahasa Inggeris termasuk meminjam buku dari rakan-rakannya. Selepas berada di Makkah selama tiga tahun, beliau kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1909 dan mula bekerja sebagai penjilid buku dan pengatur huruf Melayu di Pejabat Cap Kerajaan di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun.
Kemudian, beliau berhijrah ke Singapura (1912-1913) untuk bekerja sebagai pengatur huruf Inggeris di Malaya Publishing House (MPH). Semasa di Singapura inilah, Abdul Rahim bertemu dengan bakal isterinya dan selepas menempoh alam baru bernama rumahtangga, beliau sedar kerjaya sebagai pengatur huruf dilihat tidak mencukupi. Atas sebab itulah, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan menimba pengalaman sebagai pelukis sementara di Jabatan Ukur, Kuala Lumpur dan pada masa sama menyumbang rencana-rencana sosial dan agama serta berita untuk dua akhbar iaitu Utusan Melayu dan Lembaga Melayu.
Bagaimanapun, beliau diuji dengan kematian bapanya pada tahun 1913 tatkala sudah merasa selesa dengan pekerjaannya. Ini memaksa Abdul Rahim kembali ke Makkah bukan saja untuk menjaga kakak/adiknya tetapi juga menguruskan perniagaan yang ditinggalkan Allahyarham Haji Salim. Dan lebih banyak onak menanti apabila Perang Dunia Pertama meletus pada 28 Julai 1914. Letusan perang ini mengakibatkan beliau terpaksa duduk lebih lama di Makkah kerana kebanyakan laluan perkapalan antarabangsa ditutup atas sebab keselamatan. Semasa di sana, beliau menggunakan masa lapangnya membaca akhbar agar sentiasa cakna dengan situasi semasa di Timur Tengah termasuk Perang Jarrab dan Perjanjian Darin. Semua peristiwa ini menarik perhatian imaginasinya dan menambah kesedaran tentang kepentingan kewartawanan dalam membentuk pandangan orang ramai.
Abdul Halim akhirnya berjaya kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 1917 selepas kebanyakan laluan perkapalan dibuka semula. Dengan kewujudan pelbagai akhbar Melayu yang timbul bak cendawan tumbuh selepas hujan, beliau juga sedar untuk menjadi seorang penulis dan wartawan yang berwibawa, seseorang penulis itu perlulah mempunyai kemahiran bahasa dan ilmu yang hebat. Dan sepanjang awal tahun 1920-an, Abdul Rahim menghadiri pelbagai kursus bagi menyediakannya dengan sepak terajang dunia kewartawanan. Pada tahun 1925, beliau diambil bekerja dengan akhbar Sinar Zaman yang ketika itu diketuai Mohd Yunus Abdul Hamid. Abdul Rahim dipilih kerana mempunyai kenalan semasa berada di Timur Tengah dan atas sebab itu juga, beliau dihantar kembali ke sana sebagai koresponden akhbar mereka.
Selepas dua tahun berada di Makkah, Abdul Rahim sekeluarga kembali ke Tanah Melayu selepas mendengar berita kematian bondanya yang tercinta. Semasa di Kuala Lumpur, beliau mula bekerja sebagai penulis khas bagi akhbar mingguan Saudara yang ketika itu dikelola Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi. Pada masa inilah, nama penanya Abdul Rahim Kajai digunakan dalam setiap penulisan artikelnya. Berkat kesungguhan dan etika kerjanya, beliau menjadi penolong editor dan editor pada tahun 1930. Semasa masa lapangnya, Abdul Rahim turut menghasilkan Hikayat Dzul-Ruhain yang mengandungi penerbitan semula hasil kerja Syed Sheikh.
Walaupun namanya mula meniti di bibir para pembaca, Abdul Rahim tidak mahu berhenti di situ saja. Beliau kemudian menyertai pasukan penerbitan Majlis selepas ia ditubuhkan pada 17 Disember 1931 sebagai editor. Abdul Rahim berusaha menukar Majlis sebagai sebuah akhbar harian yang berprestij tetapi gagal. Majlis terus kekal sebagai sebuah akhbar yang hanya diterbitkan dua kali seminggu. Kecewa dengan usahanya itu, beliau kemudian menyertai Warta Malaya pada tahun 1935 dan menjadi antara tonggak utama akhbar Melayu bebas pertama pada tahun 1930-an. Perlu diingat, akhbar Melayu ketika itu didominasi pemilikannya oleh orang Arab bukan Melayu, orang Arab-Melayu dan golongan Jawi Peranakan.
Menerusi Warta Malaya yang mula diterbitkan pada 1 Januari 1930, ia memecah dominasi golongan berkenaan dan menjadi pilihan ramai sehingga ke luar negara. Selain sibuk menulis untuk Warta Malaya, Abdul Rahim juga turut menyumbang kepada dua akhbar sisipan iaitu Warta Ahad dan Warta Jenaka. Kesibukan ini mendorongnya berpindah ke Singapura dan antara rakannya di situ ialah pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Onn Jaafar dan bakal presiden pertama Singapura Yusof Ishak. Akhbar-akhbar seperti Warta Melayu memainkan peranan utama mencetuskan kesedaran bangsa itu dengan menceritakan kehidupan dan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu serta mengupas secara mendalam punca-punca kelemahan bangsa itu dan masalah yang disebabkan oleh dasar-dasar British yang bersifat diskriminasi. Warta Malaya turut mencatat sejarah sebagai akhbar Melayu pertama yang dilanggan agensi-agensi berita antarabangsa.
Walaupun dianggap berjaya menarik perhatian pembaca dengan pendekatan yang bersifat proaktif dalam pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial, ia tidak mampu berlawan dengan Utusan Melayu dan ditamatkan penerbitannya pada tahun 1941. Ramai tokoh utama Warta Malaya diserap masuk ke Utusan Melayu termasuklah Abdul Rahim sendiri. Selain menjadi editor untuk Utusan Melayu, beliau juga merupakan editor bagi sisipan berkala akhbar berkenaan iaitu Utusan Zaman dan majalah Mustika (kini dikenali sebagai Mastika).
Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Abdul Rahim memutuskan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu melepasi pelbagai sekatan jalan hanya untuk sampai ke sana. Tetapi beliau berjaya sampai pada 11 Januari 1942, dua hari sebelum kereta perisai Jepun bergerak ke bandar berkenaan. Selepas keadaan kembali normal, Abdul Rahim berjaya mendapat keizinan jabatan propaganda Jepun untuk menerbitkan akhbar Perubahan Baru yang diterbitkan pada tahun 1942. Selepas Perubahan Baru kelihatan stabil, beliau menghalakan semula pandangannya ke Singapura menerusi penerbitan Berita Malai yang diterbitkan pada 1 Januari 1943.
Namun, Allah lebih menyayangi lelaki yang berjaya menyuntik semangat orang Melayu dengan penulisannya yang bersifat segar dan kritis. Pada Ogos 1942, Abdul Rahim jatuh sakit dan kesihatannya terus merosot sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 1943 pada usia 49 tahun. Kehilangan beliau merupakan satu tamparan hebat kepada gerakan kewartawanan dan nasionalisme Melayu. Legasinya terus subur sehingga ke hari ini menerusi kewujudan Anugerah Kajai, satu anugerah kewartawanan ulung yang diwujudkan pada tahun 1982. Pemenang anugerah bukan saja mendapat penghormatan dan prestij tetapi juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM30,000, sijil penghargaan dan trofi sumbangan Institut Media Malaysia (MPI). Tetapi jika kita mahu menghormati legasi lelaki bernama Abdul Rahim Kajai ini, hormatilah ia dengan menjadi penulis yang telus dan berintegriti, bukannya sebagai penulis yang bersifat mata duitan atau hanya berminat mengejar kisah berunsur sensasi dan kontroversi.
SUMBER
1. Teh Leam Seng, Alan. (2019). New Straits Times. Father of Malay Journalism. https://www.nst.com.my/lifestyle/pulse/2019/01/452146/father-malay-journalism
2. Addly, Aman. (2014). Tokoh Negara Malaysia. Abdul Rahim Kajai. http://penatokoh.blogspot.com/2014/02/abdul-rahim-kajai.html 3. Abdul Rahim, Tarmizi. (2015). Jasa Rahim Kajai kepada negara. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jasa-rahim-kajai-kepada-negara-1.84525
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih