Dalam
suatu malam, 246 orang tidur untuk bersedia menaiki penerbangan esok pagi.
2,606 orang tidur untuk bersedia syif pagi esoknya. Begitu juga dengan 343
anggota bomba dan 60 pegawai polis. Dan tiada seorang pun mampu menjangkakan
bahawa tepat pada pukul 10 tarikh 11 September, 2001, hidup mereka terus
berubah. Terlalu ramai orang terkorban dalam tragedi 9/11. Apa yang lebih
menyayatkan ialah timbulnya titik-titik konspirasi diatas kubur konkrit mereka
selepas dua buah pesawat menghentam sebuah menara berkembar yang dikenali
sebagai Pusat Perdagangan Dunia, Amerika Syarikat.
Boleh
dikatakan apa yang berlaku telah mengubah landskap dunia. Timbunan-timbunan
konkrit telah melepaskan habuk bertoksik seperti karsinogen, ke seluruh Lower
Manhattan. Agensi Perlindungan Persekitaran (EPA) dengan pantas membuat kerja
dari segi analisis kualiti udara serta keselamatan negara (Gates, 2006).
Beberapa
kematian didapati berkait dengan habuk bertoksik ini, yang mana 18,000 orang
lagi dijangkakan sakit kerananya. Bayi-bayi pula ditemui mempunyai masalah
paru-paru sejak dalam kandungan lagi. Dan Program Kesihatan WTC menelankan
belanja sebanyak AS$4.2 juta untuk menguji dan merawat sebarang penyakit
berkaitan dengan toksik.
Dalam
sebuah kajian diterbitkan pada Disember 2012, seramai 55,000 orang yang
didaftarkan dalam suatu senarai berkaitan WTC telah diteliti selama 4-5 tahun
lamanya. Tujuan penelitian adalah untuk mengenalpasti simtom-simtom kanser
dalam kalangan mereka. Dan didapati mangsa dan pekerja pemulihan sangatlah
terdedah dengan unsur-unsur barah yang menyebabkan kanser-kanser prostat,
tyroid dan myeloma. 17 tahun selepas serangan, sebuah firma guaman New York
melaporkan 15 orang menghidapi kanser payu dara lelaki angkara serangan ini
(Welch, 2018).
Sementara
manusia mula gugur kesakitan, begitu juga dengan ekonomi Amerika Syarikat.
Setelah buka saja pasaran saham, Purata Industri Dow Jones menjunam 684 mata
(-7.1%). Dalam masa seminggu, penyusutan didapati berada pada paras 1,369.7
mata (-14.3%), sekaligus melenyapkan AS$1.4 trilion dalam bentuk saham dari
pasaran (Barnhart, 2001).
Bandaraya
New York boleh dikatakan terhenti seketika. Sebanyak 430,000 kerja tergantung,
bersamaan AS$2.8 bilion tidak sampai kepada keluarga pekerja dalam tempoh tiga
bulan. Sektor pengeksportan paling terkesan yang mana KDNK bandaraya tersebut
dihentam dengan kerugian –AS$27.3 bilion. Keadaan mendesak di New York memaksa
campurtangan persekutuan yang mana Presiden George W. Bush mengizinkan sokongan
sebanyak AS$21.7 bilion dengan segera.
Kesakitan
bagi pasaran-pasaran besar turut diturunkan kepada perniagaan kecil-kecilan
terutamanya di Lower Manhattan. Sebanyak 18,000 pekerjaan lenyap pada tarikh 11
September sahaja, yang mana Pentadbiran Perniagaan Kecil meluluskan bantuan
dalam bentuk pinjaman.
Dan
dalam masa ini, syarikat-syarikat insurans berada dalam keadaan kemurungan.
Perniagaan mereka dihentam teruk oleh kerana gangguan urusniaga (AS$11 bilion),
pampasan hartanah (AS$9.6 bilion), tanggungan (AS$7.5 bilion), pampasan pekerja
(AS$1.8 bilion) dan bayaran lain-lain (AS$2.5 bilion). Sekelip mata, industri
insurans dilucutkan kewangan sebanyak AS$32.4 bilion (hari ini bernilai
AS$47.27 bilion).
Setiap
sen ini tidak mencukupi untuk mengembalikan ribuan nyawa yang gugur pada hari
tersebut. Sekali lagi pada 11 September 2019, kaum keluarga mereka berhimpun di
Ground Zero dalam suasana hiba. Ramai dalam kalangan mereka menulis nama mangsa
korban sebagai tanda penghormatan. Dan melihat keadaan semasa, dengan
pembangunan semula di kawasan WTC, Amerika Syarikat dilihat telah membuka
lebaran baharu.
Sungguhpun
begitu, “9/11” kekal sebagai tarikh yang amat penting dalam sejarah Amerika
Syarikat. Kepentingannya menjangkaui 22 November iaitu Jumaat Presiden John F.
Kennedy ditembak. Mahupun 24 Julai pada ketika Neil Armstrong menjadi manusia
pertama untuk berjalan di Bulan.
RUJUKAN:
At least 15 men near Ground Zero after 9/1 have breast cancer, law firm says https://www.cbsnews.com/news/at-least-15-men-near-ground-zero-after-911-have-breast-cancer-law-firm-says/
Buildings Rise From Rubble While Health Crumbles. https://www.nytimes.com/2006/09/11/arts/television/11dust.html
CCCEH
Study of the Effects of 9/11 on Pregnant Women and Newborns
https://web.archive.org/web/20110726045732/http://www.familiesofseptember11.org/docs/CCCEH%20Study%20Intro.pdf
The Economic Effects of 9/11: A
Retrospective Assessment
https://fas.org/irp/crs/RL31617.pdf
Markets
Reopen, Plunge
https://www.chicagotribune.com/business/chi-010917markets-story.html




No comments yet