“Wahai panglima-panglima, saya merayu kepada kamu atas nama Nabi, saksi saya, saya memerintahkan kamu untuk membela baginda dan kotanya, sehingga ke peluru terakhir dan nafas terakhir, tanpa mempedulikan kekuatan musuh. Doa-doa Muhammad ﷺ bersama kita,” perintah jeneral Fahrettin Pasha kepada lapisan terakhir pertahanan Khilafah Uthmaniah ketika Madinah al-Munawwarah dikepung musuh. Sejarah merekodkan, meskipun mereka cedera dan tidak henti diserang dari segenap arah, maqam Nabi tetap menjadi keutamaannya melebihi nyawa mereka sendiri.

Bagi mengelakkan khazanah peninggalan Rasulullah ﷺ dimusnahkan puak ekstremis, Khilafah Uthmaniah berusaha menyelamatkannya dan dipindahkan ke Istana Topkapi, Turki. Supaya umat masih dapat melihatnya dan mengubat rindu kepada Rasulullah ﷺ. Sejarah pengumpulan khazanah Nabi ﷺ secara tersusun oleh Uthmaniah, bermula sejak zaman Sultan Selim I.

Ruangan khas di Topkapi yang bernama Has Oda Beytu’l-hilafe, menjadi sebahagian daripada adat istiadat raja-raja Uthmaniah. Di sinilah majlis pemasyhuran, bermalam dan pengurusan jenazah raja. Semuanya bagi tabarruk dengan atsar Rasulullah ﷺ yang barakah.

Khazanah Rasulullah ﷺ dan peninggalan lain dijaga dengan baik.

Bilik Destimal menempatkan kesan tapak kaki Nabi Muhammad ﷺ, pasu Nabi Ibrahim, serban Nabi Yusuf, tongkat Nabi Musa, pedang Nabi Daud dan suhuf Nabi Yahya.

Bilik Şadırvanlı Sofa menempatkan kunci Kaabah, pancuran emas Kaabah, bekas penyimpan Hajaratul Aswad, bab at-Tawba, dan pedang-pedang para Sahabat.

Bilik Arzhane menyimpan gigi Rasulullah ﷺ, rambut dari janggut rasulullah ﷺ, cop khatm Rasulullah ﷺ, surat dari Rasulullah ﷺ dan pedang beserta busur Rasulullah ﷺ yang disimpan dengan kotak emas rekaan pandai besi terbaik. Di sini, bacaan al-Quran dikumandangkan tidak putus-putus.

Bendera di zaman Rasulullah ﷺ juga disimpan di Has Oda Beytu’l-hilafe. Ia pernah digunakan lagi ketika pertempuran memerangi Austrian Habsburgs pada 1593, Hungary pada 1594 dan apabila sultan memenangi Pengepungan Eger pada 1596, ia diabadikan sebagai simbol kegemilangan Khilafah Uthmaniah.

Sultan bertabarruk dengan bendera ini setiap kali peperangan. Dari bilik Has Oda Beytu’l-hilafe, ia dibawa ke Bilik Mahkota dengan iringan takbir “Allahu Akbar!”. Ia lalu dicium sultan dan diberikan kepada perdana menteri sambil tuanku bertitah; “Beta mewakilkan Khazanah Suci kepada kamu dan kamu kepada Tuhan. Semoga Dia menjadi penolongmu!” Apabila selesai peperangan, ia dikembalikan ke bilik asalnya dengan iringan bacaan ayat al-Quran.

Madinah al-Munawwarah banyak menjadi saksi dahsyatnya cinta Khilafah Uthmaniah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila Khilafah Uthmaniah berhasil mempelajari teknologi elektrik, Mekah & Madinah adalah kota pertama naungannya yang mendapat bekalan elektrik lengkap. Biarlah kota ini yang pada pandangan penduduk langit tampak bercahaya, juga terlihat paling bercahaya bagi penduduk bumi.

Sultan Murad IV seorang penakluk timur dan barat, ada memakai bulu merak di kepalanya. Ia semuanya berpunca daripada suatu peristiwa. Setelah dia berjaya menakluki Mesir, dia datang menziarahi Rasulullah ﷺ. Bukan dengan berjalan mendabik dada sebagai raja, bahkan dengan merangkak sebagai hamba. Ketika tiba di hadapan maqam nabi, selawat dan salam dikumandangkan.

Sewaktu itu dia melihat penyapu untuk maqam tersebut yang diperbuat daripada bulu merak. Dia lalu mengambil sedikit bulu tersebut dan meletakkannya di kepala. Lambang semegah apa pun seorang sultan, hakikatnya hanyalah debu di bawah telapak kaki Rasulullah ﷺ.

Masjid Biru yang dibina Sultan Ahmed I mempunyai 6 buah menara, jumlah yang sama dengan menara di Masjidil Haram, Mekah. Bagi mengelakkan daripada menyaingi kemegahan Masjidil Haram, maka sultan telah menghantar pembantu arkitek terkenalnya, Sedefhar Mehmet Ağa untuk menambah lagi menara di sana, agar kemuliaan Mekah yang paling tinggi.

Minaret yang dibina bersebelahan kubah hijau, direka sedikit condong ke arah bertentangan kubah. Ini bagi memastikan, jikalau berlaku gempa bumi, minaret ini akan jatuh ke arah luar, memastikan kubah nabi selamat.

Sultan Abdul Hamid ke-2, ketika membina rel keretapi untuk ke Madinah, telah mengutamakan adab mulia. Baginda memastikan tukul yang digunakan pekerjanya, dibalut dengan kain tebal supaya tidak terlalu bising sampai mengganggu Rasulullah ﷺ. Sultan sendiri, apabila surat dari Madinah sampai, akan mengalirkan air mata merindui Nabi ﷺ, sambil bertitah:

“Berikanlah apa sahaja yang mereka minta”.

Untuk mengubat rindu pencinta Rasulullah, dipastikan yang apabila gerabak keretapi sampai, mereka tiba di stesen yang betul-betul menghadap ke maqam mulia Rasulullah ﷺ. Bahkan, diletakkan bahan khas yang akan meminimakan bunyi bising keretapi ketika mendekati stesen Madinah. Biarlah yang mula-mula dilihat bila tiba ke Thaybah, ialah kubah hijau Nabi. Bukan shopping complex, bukan tempat pelancongan.

Kesultanan Islam yang sebati dengan tarekat sufi ini, tidak terpisah dengan mahabbah Nabi ﷺ. Ali Bait keturunan Rasulullah diberikan elaun khas. Ulama’ yang mampu menyampaikan syarahan kitab asy-Syifa’ bi Huquqil Musthafa, iaitu kitab berkenaan kemuliaan & hukum hakam berkaitan rasulullah ﷺ, akan diberikan gaji khas untuk mengajar di masjid-masjid kerajaan.

Syiar bagi akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, ialah merperbanyakkan selawat & salam kepada Rasulullah ﷺ. Di zaman Khilafah Uthmaniah, bait qasidah memuji kanjeng Nabi ﷺ, indah memenuhi segenap dinding Masjid Nabawi. Kesannya masih tersisa walaupun banyak yang telah dipadam. Majlis Mawlid Nabi ﷺ diadakan secara besar-besaran setiap tahun.

Kesannya, adat orang Turki sampai ke hari ni, apabila disebutkan nama Rasulullah ﷺ, mereka akan segera berselawat sambil meletakkan tangan ke dada. Biar mahabbah Nabi ﷺ yang hidup di hati. Bahkan, ada seorang mufti di Turki, yang akan berdiri setiap kali disebutkan ayat al-Quran dan hadis Nabi ﷺ.

Semuanya untuk apa?

Untuk umat ini kembali kepada tuannya, Nabi Muhammad ﷺ. Jika kita telah kembali kepada tuan kita, barulah kita berjaya mengulangi kegemilangan baginda ﷺ dan para sahabatnya yang mulia. Kebangkitan Uthmaniah kali kedua, moga-moga menjadi nyata, berkat sunnah dan tabarruk atsar Rasulullah ﷺ.

RUJUKAN:

  1. Kecintaan Sultan Abdul Hamid II kepada Rasulullah | Pemimpin idaman Umat. https://www.youtube.com/watch?v=IybG_KJ8Od4
  2. The Love of Prophet Muhammad in Ottoman Society. http://www.lastprophet.info/the-love-of-prophet-muhammad-in-ottoman-society
  3. Understanding attachment to Prophet Muhammad. https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2019/11/535862/understanding-attachment-prophet-muhammad
  4. Why did Ottoman sultans safeguard Islam’s holy relics in Istanbul? https://www.trtworld.com/magazine/why-did-ottoman-sultans-safeguard-islam-s-holy-relics-in-istanbul-27405
  5. Ottoman Sultans’ Love for The Prophet Muhammad. https://en.a9.com.tr/Ottoman-Sultans-Love-for-The-Prophet-Muhammad-saas-107583
  6. Journal of the Economic and Social History of the Orient 52 (2009) 542-578. The Ottoman State and Descendants of the Prophet in Anatolia and the Balkans (c. 1500-1700). http://research.sabanciuniv.edu/11781/1/canbakal_seyyids_jesho.pdf
  7. Ottoman love for the Prophet ﷺ live in Madinah. https://www.facebook.com/ilmfeed/videos/ottoman-love-for-the-prophet-%EF%B7%BA-live-in-madinah/2031161183819267/
  8. Jejak Peninggalan Nabi di Turki | ON THE SPOT (20/06/18). https://www.youtube.com/watch?v=0UNnTPBLeH8

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.