Tiga penyebab utama yang membawa kepada kehancuran alam semesta:

1. Tenaga Kegelapan (Dark Energy)
2. Graviti
3. Entropi

1. Tenaga Kegelapan.

Alam ini berkembang. Hari demi hari, tahap kelajuan alam ini berkembang semakin laju sehingga suatu hari nanti, alam ini akan berkembang selaju melebihi kelajuan cahaya.
Saintis tak tahu tenaga apa yang menyebabkan perkembangan alam ini memecut laju. Tetapi tenaga yang menyebabkan perkembangan tersebut wujud dan saintis memanggilnya Tenaga Kegelapan (Dark Energy). Tenaga ini masih belum kita kenali dan masih belum kita ketahui sifat tabiinya.

Suatu hari nanti, apabila alam berkembang terlalu laju, seluruh sistem galaksi dan sistem bintang akan hancur. Kerana yang memastikan sistem galaksi dan sistem bintang berada di tempatnya ialah graviti. Tanpa graviti, tiadalah sistem galaksi dan bintang. Gravitilah yang memastikan planet dan bintang berada di tempatynya.

Apabila alam berkembang terlalu laju, graviti tak mampu untuk menahan kedudukan bintang-bintang dan planet-planet. Sampai ke satu tahap, molekul pun berkecai, termasuklah atom-atom sehingga tiada lagi objek dan hidupan terbentuk.

2. Graviti

Terbalik dengan yang pertama tadi. Kes pertama tadi, tenaga kegelapan menang melawan graviti. Bagaimana pula kalau berlaku sebaliknya? Tenaga kegelapan makin berkurang dan perkembangan alam semakin perlahan sehingga graviti menguasai perkembangan alam.

Lama-lama, alam berhenti berkembang. Akibat daripada graviti, alam perlahan-lahan menguncup dan mengecil sehingga semua planet dan bintang ditarik oleh pusat-pusat graviti. Lohong-lohong hitam akan bergabung-gabung, menelan semua objek samawi.

Alam akan jadi seperti sewaktu zaman mudanya, apabila ia mengecil, ia akan jadi panas. Alam akan jadi lebih panas. Sekarang ini sejuk. Ini panas gila. Berjuta kali ganda lebih panas daripada matahari.

Yang tinggal akhir sekali ialah satu lohong hitam besar gedabak hasil daripada gabungan semua lohong hitam. Semua objek ditelan. Akhir sekali lohong hitam menelan dirinya sendiri. Alam hancur musnah berkecai.
3. Entropi

Anda bayangkan rumah yang dibiarkan. Lama-lama rumah itu akan usang dan rapuh. Akhirnya runtuh. Mayat manusia yang dibiarkan lama-lama akan rapuh dan menjadi debu. Semuanya disebabkan entropi.

Telah menjadi hukum bahawa, entropi akan sentiasa meningkat. Ini bermaksud bahawa, setiap objek di sekeliling kita akan sentiasa menuju kepada ketidakstabilan dan ketidakseimbangan. Anda tidak perlukan banyak usaha untuk buatkan bilik anda bersepah dan pinggan di depan anda pecah.

Tetapi mengambil tenaga dan usaha yang begitu banyak untuk mengemas dan mencatumkan semula pinggan yang pecah. Rumah yang dibiarkan akan rapuh, bukan jadi semakin cantik. Nak cantik, kena adanya usaha dan tenaga luar untuk itu.

Begitulah juga alam. Lama-lama, ia akan mati dan cair. Bintang akan mati. Planet akan mati. Semuanya akan menuju ketidakstabilan disebabkan oleh entropi. Yang akhir sekali akan mati ialah lohong hitam. Lohong hitam akan mengeluarkan sinaran Hawking sebelum ia tersejat.

Akhirnya, semua alam akan mereput dan entropi telah mencapai ke tahap paling tertinggi. Ketidakstabilan paling agung. Alam semesta pun mati.

Gambar di bawah hanyalah diagram evolusi perkembangan alam untuk memahami bagaimana alam berkembang. Ia bukanlah bentuk sebenar alam semesta. Kita masih belum mengetahui bentuk sebenar alam semesta. Ada beberapa hipotesis seperti alam ini berbentuk rata, ada yang berbentuk sfera, dan ada yang berbentuk hiperbolik. Kita pun masih belum mengetahui sama ada alam ini bertebing ataupun tidak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.