Kalau kita tengok gambar anjing ini, mungkin anda menyangka anjing ini seperti sedang tidur. Tetapi hakikatnya anjing yang ditemui di Yakutsk, timur Siberia ini telah mati 18,000 tahun yang lalu ketika usianya dalam sekitar 2 bulan.
Anak anjing itu diawet dengan baik dan sempurna. Bulu mata, hidung dan banyak bulunya masih dalam keadaan baik walaupun telah tertanam puluhan ribu tahun. Seolah-olah anak anjing ini baru sahaja mati. Sebahagian tulang rusuknya terdedah dan punca kematiannya masih belum dapat dikenalpasti. Namun, berdasarkan posisi tubuhnya, anak anjing itu tidak berada dalam keadaan tertekan pada ketika itu.
Pentarikhan karbon (carbon dating) mendedahkan berapa lama anjing ini telah hidup dan ujian genetik mendedahkan jantinanya. Namun, anjing jenis apakah ini masih belum jelas. Ahli genetik menyatakan haiwan itu adalah sejenis serigala. Ataupun, ia boleh jadi anjing terawal dunia. Biasanya tidak susah untuk membezakan antara anjing dan serigala. Banyak data telah diambil daripada haiwan tersebut dan anda mungkin menyangka tidak sukar untuk mengetahui sama ada haiwan itu anjing ataupun seriga. Namun, ianya tidak semudah itu kerana haiwan itu berasal daripada populasi yang terdiri daripada nenek moyang (common ancestor) anjing dan serigala.
Saintis menamakan haiwan itu ‘Dogor’ – perkataan Yakutian yang bermaksud ‘kawan’. Haiwan tersebut masih berada di Rusia. Tulang rusuknya diambil dan dibawa ke Sweden untuk melakukan ujian genetik dengan leih lanjut untuk mengenalpasti kedudukan Dogor dalam evolusi. Seterusnya mengenalpasti dan mendedahkan lebih banyak maklumat tentang tarikh tepat bilakah anjing dan serigala mula berpecah (divergence time) dari nenek moyang yang sama (common ancestor) serta bila dan bagaimana anjing mula menjadi haiwan domestik.
Sebab lain sukar untuk mengkelaskan Dogor ialah haiwan ini hidup sekitar pada waktu berlakunya perpecahan anjing dan serigala. Maka, ia boleh jadi anjing terawal ataupun serigala terawal. Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa dua spesis tersebut mula berpecah sekitar 15,000 hingga 40,000 tahun yang lalu. Kita mengetahui ia berlaku pada 15,000 tahun yang lalu kerana penemuan fosil anjing di Jerman. Namun, terdapat fosil yang lebih tua ditemui yang berumur 40,000 tahun yang lalu.
Perihal domestik, bagaimana dan bila anjing menjadi domestik masih belum dapat kesimpulan. Kajian pada tahun 2017 meletakkan garis masa sekitar 20,000 hingga 40,000 tahun lalu yang mana anjing didomestikkan dalam populasi tunggal.
Kajian pada tahun 2016 pula meletakkan sekitar 14,000 tahun yang lalu yang berlaku di dua populasi berbeza iaitu Asia dan Eropah. Disebabkan perbezaan ini, maka sukar untuk menentukan kelas haiwan bagi Dogor. Kelihatannya anjing didomestikkan bermula dari susur jalur serigala yang mula pupus. Sebab itulah sukar untuk menentukan bilakah dan di mana anjing mula menjadi haiwan domestik.
Rujukan:
- Janssens, L., Giemsch, L., Schmitz, R., Street, M., Van Dongen, S., & Crombé, P. (2018). A new look at an old dog: Bonn-Oberkassel reconsidered. Journal of Archaeological Science, 92, 126-138.
- Botigué, L. R., Song, S., Scheu, A., Gopalan, S., Pendleton, A. L., Oetjens, M., … & Bobo, D. (2017). Ancient European dog genomes reveal continuity since the Early Neolithic. Nature communications, 8, 16082.
- Frantz, L. A., Mullin, V. E., Pionnier-Capitan, M., Lebrasseur, O., Ollivier, M., Perri, A., … & Tresset, A. (2016). Genomic and archaeological evidence suggest a dual origin of domestic dogs. Science, 352(6290), 1228-1231.
- https://edition.cnn.com/travel/article/frozen-puppy-intl-scli-scn/index.html
- https://metro.co.uk/2019/11/27/ice-age-puppy-found-18000-years-buried-permafrost-11224528/
- https://www.sciencealert.com/18-000-year-old-puppy-found-almost-perfectly-preserved-in-siberian-permafrost
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih