Pengembaraan masa boleh dikatakan sebagai salah satu fantasi paling menarik yang pernah dikhayalkan oleh manusia. Namun malangnya, ramai ahli fizik moden menegaskan betapa mustahilnya angan-angan itu untuk direalisasikan melainkan hanya dalam fiksyen sains.
Bagi peminat-peminat zaman purba yang berhajat dapat mengunjungi tempat-tempat hebat dari zaman langka, di sini kami cuba menyenaraikan sebelas buah kota purbakala yang terus dihuni sehingga ke hari ini, di mana ia sentiasa terbuka untuk dikunjungi tanpa perlu melakukan pengembaran masa.
ATHENS, GREECE
Tanpa dapat dinafikan, Athens merupakan salah sebuah kota purba yang amat masyhur. Kewujudannya jelas, kegemilangannya ketara dan ia menyandang kedudukan sebagai antara kota purba yang paling banyak dikunjungi terutama sekali lantaran sejarahnya yang melangkau ribuan tahun.
Sebagai sebuah pusat kesenian, pendidikan, falsafah dan tanah tempat berdirinya Akademi Plato dan Lyceum Aristotle, Athens dianggap secara meluas sebagai tanah kelahiran tamadun Barat dan demokrasi. Pencapaian Athens dalam kebudayaan dan politik pada kurun ke-4 dan kurun ke-4 Sebelum Masihi meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap dunia Eropah ketika itu. Pada zaman moden,
Athens menjadi pusat pelancongan utama selain pernah menjadi tuan rumah bagi sukan Olimpik sebanyak dua kali. Ia berdiri megah sebagai sebuah bandar kosmopolitan yang menerajui bidang ekonomi, kewangan, perindustrian, maritim, politik dan kebudayaan negara Greece. Pada tahun 2012, tahun di mana Greece berdepan dengan krisis ekonomi yang cukup teruk, Athens tetap disenaraikan sebagai salah sebuah dari 35 buah bandar paling kaya di dunia berdasarkan kuasa beli penduduknya.
FAIYUM, MESIR
Faiyum merupakan sebuah kota purba (kini Medinet el-Faiyum) yang terletak di sebuah wilayah yang dikenali sebagai ‘Oasis Faiyum’ di Mesir. Oasis Faiyum berdiri tinggi di daratan gurun pasir dan disuburkan secara semula jadi oleh anak sungai Nil. Kesuburan ini seterusnya mencambahkan flora dan menggamit fauna ke kawasan berkenaan sekaligus menjadikannya sebuah kota Mesir yang dihuni selama ribuan tahun. Lokasinya berjarak 100 km (62 batu) arah barat daya dari Kaherah. Ia merupakan ibu kota bagi Wilayah Faiyum moden. Bandar ini turut merangkumi sebuah tapak purba yang dikenali sebagai Crocodilopolis, atau Arsinoe. Kota Faiyum ditubuhkan sekitar tahun 4000SM dan merupakan kota Mesir purba yang paling tua dan paling lama dihuni di dunia.
JERICHO, PALESTIN
Ramai ahli arkeologi dan sejarahwan yang bersepakat mengatakan Jericho sebagai kota paling lama dihuni di muka bumi, di mana usianya kembali pada 12 000 tahun dahulu. Ekskavasi-ekskavasi yang dijalankan di tapak Tel-al-Sultan mendapati petempatan yang terdapat di Jericho berusia seawal 10 000 SM. Petempatan-petempatan ini mempunyai sumber air yang banyak dan dipercayai mata air yang terdapat di Tel-al-Sultan merupakan faktor penyumbang kepada pembangunan tapak tersebut walau di zaman yang sangat awal. Nama asal kota ini, iaitu Yereha (wangian) menyimpan maksud simbol bagi kekayaan sumber tersebut dan nama itu terus dikekalkan dalam bahasa Arab moden, iaitu Ariha.
BALKH, AFGHANISTAN
Balkh merupakan sebuah kota purba yang menjadi pusat Buddhisme, Sufisme, dan Zoroastrianisme di wilayah utara Afghanistan moden. Pada hari ini, ia berdiri sebagai sebuah bandar kecil di wilayah Balkh yang berjarak kira-kira 20km (12 batu) arah barat laut dari Mazar-e Sharif.
Sejak awal lagi, kota Balkh merupakan salah sebuah kota utama di Khorasan. Marco Polo memerincikan Balkh sebagai ‘kota agung lagi mulia’, manakala orang Yunani pula memanggilnya sebagai Bactra sekaligus meraihkannya nama Bactria. Kini, sebahagian besar bandar Balkh yang masih tersisa hanyalah puing-puing runtuhan yang menggamit kunjungan para pelancong pada setiap tahun.
LUOYANG, CHINA
Berdiri megah di bahagian barat Wilayah Henan, lokasi tepat Luoyang adalah di tengah-tengah pertemuan antara Sungai Luo dan Sungai Kuning. Kota Luoyang merupakan salah sebuah dari Empat Ibu Kota Agung China dan berfungsi sebagai ibu kota bagi tiga belas dinasti purba, bermula dari Dinasti Xia (kurun ke-21 hingga kurun ke-16 SM). Luoyang dianggap sebagai wilayah keramat, justeru mendorong pembinaan banyak monumen, patung dan kuil.
Gua-Gua Longmen yang mempunyai ribuan patung Buddha merupakan antara tarikan utama kota ini. Begitu juga dengan Kuil Shaolin dan Muzium Luoyang yang mempamerkan kuda-kuda dan pedati-pedati Diraja Zhou Timur. Bukti sejarah dan bukti arkeologi di kota ini amat banyak, di mana setiap satunya menyimpan seribu satu kisah kota berkenaan sejak zaman purba. Sehingga ke hari ini, Luoyang kekal dianggap sebagai sebuah kota yang penting dan kini, ia menampung populasi lebih 6.5 juta orang.
BYBLOS, LEBANON
Byblos yang dihuni sejak zaman Neolitik sering dikaitkan secara meluas dengan legenda dan sejarah Mediterranean. Kota ini menyimpan sebuah monumen yang dibina sebagai sebahagian daripada petempatan nelayan pertama yang menghuninya, sekitar 8000 tahun dahulu.
Monumen ini berdiri tanpa diusik walau tapak Byblos itu sendiri mengharungi pelbagai pembahruan, baik pembangunan bandar pertama, kuil-kuil monumental Zaman Gangsa, hinggalah ke binaan kubu Parsi, jalanan Rom, gereja-gereja Byzantine, citadel Salib, dan bandar-bandar Uthmaniyah.
Sebagai bandar pertama yang dibina oleh orang-orang Phoenicia, Byblos juga secara langsung dikaitkan dengan sejarah penciptaan alfabet Phoenicia dan penyebarannya. Sebagai maklumat tambahan, alfabet yang kita gunakan pada hari ini berasal-usul dari Byblos, di mana inskripsi Phoenicia tertua yang pernah dijumpai adalah pada sarcophagus Ahiram.
ARGOS, GREECE
Argos merupakan sebuah kota yang terletak di Peloponnese, Greece. Sebagai sebuah petempatan purba, Argos terus dihuni setidak-tidaknya sebaia sebuah kampung kecil sejak 7000 tahun dahulu. Kota ini menyimpan banyak runtuhan bangunan. Hanya beberapa kilometer sahaja dari Argos, terdapat pula sebuah tapak arkeologi tamadun Mycenae. Malahan, kota ini turut tersenarai sebagai Rangkaian Bandar Eropah Paling Purba.
ALEPPO, SYRIA
Menanggung parut-parut Perang Aleppo yang berlangsung selama empat tahun (2012-2016), Aleppo merupakan salah sebuah kota tertua yang terus dihuni sehingga kini. Sejarahwan mengandaikan bahawa Aleppo dihuni sejak milenium keenam Sebelum Masihi. Dengan lokasinya yang terletak di persimpangan banyak laluan perdagangan, Aleppo diperintah secara bersilih-ganti oleh bangsa Het, Assyria, Arab, Monggol, Mamluk dan Uthmaniyah.
UR, IRAQ
Berdiri berhampiran kota Nasiriya dan berjarak sekitar 365km (277 batu) arah selatan dari Baghdad, Ur yang membawa maksud ‘kota’ dalam bahasa Sumeria dan Akkadia merupakan salah sebuah tapak purba yang paling masyhur di Iraq. Ur berperanan sebagai ibu kota tamadun Sumeria.
Kota ini yang muncul beberapa kali dalam Bible (sebagai kota bangsa Kaldan, sekitar tahun 900SM) dan diperincikan sebagai tanah kelahiran Nabi Ibrahim al-Khalil ini merupakan salah sebuah kota Sumeria yang paling penting dalam milenium keempat dan separuh pertama milenium ketiga Sebelum Masihi. Ia terus dianggap sebagai salah sebuah kota yang paling aktif dan paling penting di Mesopotamia selatan sepanjang kurun-kurun berikutnya.
VARANASI, INDIA
Varanasi merupakan sebuah lagi kota purba yang layak disenaraikan sebagai kota tertua yang terus dihuni di dunia. Sejarah awalnya melibatkan peranan Varanasi sebagai petempatan Aryan pertama di tengah Lembah Sungai Ganges.
Ia kemudiannya berkembang sebagai sebuah kota menjelang milenium kedua SM dan menjadi pusat keagamaan dan falsafah bangsa Aryan. Kini, Varanasi dianggap sebagai pusat agama kaum India. Kota ini juga pernah menjadi ibu kota kerajaan Kashi pada era Buddha, yang dicatatkan pernah memberi ucapan pertamanya di Sarnath pada tahun 528SM.
LUXOR, MESIR
Luxor adalah nama moden bagi kota purba Thebes, ibu kota Mesir semasa era Kerajaan Baru (1550-1050SM). Pun begitu, sejarahwan dan ahli arkeologi mendapati terdapat sebuah kota yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran pernah wujud di tapak Thebes satu milenium lebih awal.
Luxor juga dikenali sebagai kota agung bagi dewa Amon-Ra. Pada hari ini, ia sering disebut sebagai ‘muzium terbuka paling besar di dunia’ memandangan runtuhan-runtuhan kompleks kuil di Karnak dan Thebes sememangnya berdiri megah di kawasan terbuka. Berikutan kekayaan sejarah yang dimiliki oleh kota purba ini, ribuan pelancong dari seantero dunia datang mengunjunginya pada setiap tahun sekaligus menyumbang kepada kepesatan ekonomi Mesir.
TERJEMAHAN:
Theodoros Karasavvas. (31 Januari 2018). 11 of the Most Ancient and Continually Occupied Cities in the World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/11-most-ancient-and-continually-occupied-cities-world-009522
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih