Rakyat tanah besar China di zaman silam memanggil Maharaja mereka “Huang Di” yang bermaksud syurga dan bumi, ia nama untuk kedudukan teragung pemerintahan monarki China.

Gelaran “Huang Di” dicipta oleh Qin Shi Huang, Maharaja pertama Dinasti Qin. Berdasarkan kiraan statistik dari tahun 221 SM sejak Maharaja pertama Qin Shi Huang menaiki takhta hinggalah ke tahun 1912 setelah Maharaja terakhir Pu Yi digulingkan, terdapat sejumlah 495 orang Maharaja China pernah memerintah sepanjang 2132 tahun tersebut. Di antara mereka.

Dalam ramai-ramai Maharaja China tu mesti ada yang bersifat pelik. Kita boleh ketahui banyak fakta yang menarik dan pelik tentang mereka melalui Arkib Maharaja China, berikut adalah sepuluh fakta pelik tentang maharaja-maharaja China yang datang dari zaman berbeza.

  • Zhao Tuo – Maharaja Tertua

Zhao Tuo (203-137 SM) adalah seorang panglima yang terkenal di Dinasti Qin dan ketika kejatuhan menimpa dinasti itu, dia mendirikan kerajaan Nanyue dan menjadi Maharaja pertama kerajaan itu.

Semasa pemerintahannya, beliau mempromosikan integrasi orang-orang Cina dan Vietnam dengan membawa budaya dan teknologi maju yang dicipta tamadun China ke selatan.

Dia meninggal dunia pada usia 103 tahun, yang dianggap sebagai orang yang sangat tua walaupun hari ini.

  • Sima Yan – Maharaja Paling Playboy

Sima Yan (236-290), atau gelarannya, Maharaja Wu Jin, adalah pengasas Dinasti Jin. Dikatakan bahawa dia memiliki seramai 10,000 orang gundik!

Dia pernah mengeluarkan titah diraja yang “mengharamkan perkahwinan” selama beberapa tahun hanya kerana mahu memberi ruang untuk dia menganjurkan sejenis program yang seakan-akan seperti rancangan ‘Beauty Pageant’ hari ini, ia bertujuan untuk mencari, mengumpul dan memilih wanita muda dari seluruh negeri untuknya.

Program itu menambah keperluan membesarkan bahagian harem istananya kerana peningkatan kemasukan gundik-gundik baharu seramai lebih 5,000 wanita yang cantik. Betapa ramainya gundik hingga dia sendiri merasa sukar untuk memutuskan gundik yang mana akan dipilih untuk bermalam dengannya.

Jadi dia memilih melalui kaedah yang juga pelik, dia akan duduk di atas tandu kecil beroda yang ditarik oleh biri-biri dan membiarkan biri-biri berjalan secara rawak di dalam istana, dia akan memilih dan bermalam dengan mana-mana gadis bertuah itu di dalam bilik dimana biri-biri itu berhenti.

  • Zhu Youtang – Maharaja Paling Setia Dan Merendah Diri

Jika kelazimannya seorang Raja memiliki ramai gundik, atau sekurang-kurangnya beberapa orang isteri seperti Maharaja Guangxu yang mempunyai seorang maharani dan dua gundik, maka ia kelihatan hampir mustahil untuk mengaitkan maharaja dengan monogami.

Tetapi sebenarnya ia pernah wujud, Zhu Youtang (1470-1505), Maharaja Xiaozong dari Dinasti Ming, adalah satu-satunya maharaja yang hanya mempunyai seorang isteri sahaja. Dia hanya berkahwin dengan seorang maharani bernama Zhang, bahkan dia tidak ada gundik.

Mereka hidup bersama seperti kehidupan rakyat biasa yang berkeluarga. Satu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan seorang maharaja. Dikatakan juga bahawa dialah insan yang mencipta berus gigi pertama di dunia.

  • Yang Guang – Maharaja Paling Kacak

Yang Guang (569-618), Maharaja kedua Dinasti Sui mempunyai pencapaian yang luar biasa dan kezaliman yang terkenal. Beliau bertanggungjawab ke atas pembinaan Grand Canal, membuka Jalan Sutera dan menaiktaraf sistem peperiksaan.

Tetapi dia juga memeras rakyat dengan cukai yang tinggi dan mengerah buruh paksa yang akhirnya menyebabkan keruntuhan dinasti itu. Walau bagaimanapun, dia benar-benar seorang lelaki yang kacak. Buku sejarah mencatatkan bahawa dia “kacak dan cerdik semasa usia muda”

  • Maharaja Qianlong – Pengarang Syair Terbanyak Di Dunia

Maharaja Qianlong (1711 – 1799) dari Dinasti Qing ini sangat dikenali rata-rata orang Cina, dia juga mempunyai ‘kerja sampingan’ iaitu penyair. Beliau adalah penyair dengan hasil karya paling banyak di dunia.

Menurut rekod, beliau menulis sebanyak 41863 puisi sepanjang hidupnya. Bahkan koleksi puisi “Quan Tang Shi” (Complete Tang Poems), koleksi syair Tang yang terbesar pun hanya mempunyai 48,000 syair hasil karya oleh lebih daripada 2200 pengarang.

Jangka hayat Qianlong adalah 89 tahun yang bersamaan dengan sekitar 32,000 hari. Tolak masa kecilnya, beliau mempunyai kurang daripada 30,000 hari untuk menulis puisi. Ini bermakna dia mencipta lebih daripada satu puisi setiap hari.

  • Li Longji – Maharaja Paling Artistik

Li Longji (685-762), atau Maharaja Xuanzong dari Dinasti Tang, adalah seorang yang pakar dalam seni kaligrafi dan merupakan salah seorang kaligrafi imperial yang terkenal.

Dia juga mempunyai pemahaman yang baik tentang drama, tarian dan muzik. Beliau adalah seorang komposer yang hebat dan mencipta banyak lagu. Beliau juga mengasaskan pusat teater “Li Yuan”, jadi dia diiktiraf sebagai pengasas teater Cina.

  • Liu He – Maharaja Yang Paling Nakal

Liu He (59 SM), seorang maharaja Dinasti Han yang berusia 19 tahun, jadi dia sangat nakal. Semasa pemerintahannya selama 27 hari, dia telah melakukan kira-kira 1127 perkara-perkara yang tidak masuk akal, membuat huru-hara besar di istana.

Didorong oleh kemarahan dan hilang kesabaran, menteri yang berkuasa waktu itu, Huo Guang akhirnya menurunkan dia dari takhta.

  • Wang Mang – Maharaja Yang Paling Taksub Tentang Sains

Wang Mang (45 SM – 23 M) adalah pengasas dan maharaja pertama dan terakhir Dinasti Xin, dinasti yang pendek umur. Beliau adalah peminat sains.

Dia mengarahkan doktor untuk menjalankan kajian anatomi manusia yang pertama dalam sejarah China. Beliau menyokong ujian penerbangan terawal dan pernah berhasrat untuk mencipta pesawat bagi menyerang bandar-bandar.

Dikatakan bahawa dia mencipta sejenis perkakas matematik, iaitu angkup vernier (vernier caliper) pertama di dunia yang hampir sama dengan perkakas matematik zaman moden dari segi struktur dan fungsi.

Beliau adalah penyelidik makanan buatan pertama dan menjalankan pengeluaran susu buatan.

  • Yang Jian – Maharaja Paling Berpengaruh Dalam Sejarah China

Tidak ada seorang pun yang terfikir bahawa dia akan menjadi sangat berpengaruh, tapi mari kita lihat apa yang telah dilakukannya, anda akan tahu kenapa.

Yang Jian (541-604) berjaya menyatukan negara yang telah berpecah beratus-ratus tahun dengan menubuhkan Dinasti Sui. Beliau dikenali dengan gelaran Maharaja Wen.

Perpaduan politik yang diusahakan olehnya telah kekal selama berabad-abad, menjadikan China menjadi salah satu negara yang kuat di dunia. Dia dihormati sebagai “Saint Khan”.

Beliau mengasaskan sistem Tiga Jabatan dan Enam Kementerian, meminda undang-undang dan menjalankan pembaharuan mata wang dan mewujudkan sistem peperiksaan empayar.

Di dalam buku tulisan Michael H. Hart, pengkaji dari Amerika Syarikat, pada 1978, “The 100: Ranking of the Most Influential Persons in History,” Yang Jian menduduki tangga ke 82 sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah dunia.

  • Maharaja Daoguang – Maharaja Yang Paling Berjimat

Selepas kalah dalam Per4ng Candu, kerajaan Dinasti Qing menandatangani beberapa perjanjian yang amat memalukan, terpaksa menyerahkan wilayah ke tangan asing dalam bentuk pajakan dan perlu membayar sejumlah besar pampasan ganti rugi perang yang menyebabkan Dinasti Qing menghadapi masalah kewangan.

Maharaja Daoguang (1782 – 1850) memotong peruntukan makanan untuk diri sendiri dan beberapa kepentingan mililnya sendiri. Beliau bahkan memakai pakaian yang bertampal dan koyak. Dikatakan bahawa tradisi makanan “satu sup dan empat hidangan” telah diturunkan darinya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.