Sungai Nil terbentang hampir sepanjang 4175 batu (6719 km), melintasi sembilan buah negara di seluruh Afrika dan ia dianggap secara meluas sebagai antara sungai terpanjang di dunia. Walaupun ia mungkin dianggap sebagai pengetahuan yang umum ketahui, sungai masyhur ini menyimpan banyak fakta menarik. Artikel ini melampirkan sepuluh fakta yang dianggap paling mengujakan.
- TANPA SUNGAI NIL, TAMADUN MESIR PURBA MUNGKIN TIDAK PERNAH WUJUD
Sungai Nil dianggap sebagai sumber kehidupan buat masyarakat Mesir purba dan memainkan peranan yang signifikan dalam sejarah dan kekayaan budaya bangsa tersebut. Sungai ini juga merupakan faktor penting dalam pembangunan sosioekonomi dan kejayaan Mesir purba. Tanpa Sungai Nil, tamadun agung purba itu mungkin tidak akan pernah wujud memandangkan curahan hujan hampir tiada di Mesir dan Sungai Nil adalah satu-satunya sumber bagi mengairi tanaman.
- SUMBER SEBENAR SUNGAI NIL MASIH TIDAK DIKETAHUI
Sebilangan pihak mungkin menyatakan bahawa Tasik Vitoria, tasik utama Afrika, sebagai sumber kepada Sungai Nil. Ada pula yang menyebutkan Sungai Kangera dan anak sungainya, iaitu Ruvubu yang berhulu di Burundi sebagai sumber sebenar Nil. Apapun, hakikatnya, sumber Sungai Nil masih kekal misteri sehingga kini.
- LEBUH RAYA NIL
Sungai Nil umpama ‘lebuh raya’ yang menjalinkan negara-negara dan ia sangat penting bagi kelangsungan aktiviti perdagangan dan pengangkutan. Perdagangan rentas darat tidak menjadi pilihan di rantau itu sehingga kurun ke-19. Kapal-kapal dan perahu-perahu merupakan antara pengangkutan utama bagi mengangkut manusia dan barang dagangan di rantau berkenaan.
- NIL, PEMBERI KEHIDUPAN
Selain membekalkan air, Nil juga menyumbang kepada kesuburan tanah sekaligus menjadi sebab utama mengapa ramai masyarakat Mesir hidup berhampiran dengannya. Masyarakat tempatan menggunakan lembing dan jaring untuk menangkap ikan dan memerangkap pelbagai jenis burung yang terbang rendah di permukaan sungai.
- MENYUMBANG KEPADA PENGHASILAN PAPIRUS
Hampir keseluruhan maklumat yang kita ketahui tentang Mesir purba datang daripada rekod-rekod bertulis yang ditinggalkan di atas papirus. Nil amat berperanan dalam membekalkan papirus, di mana papirus itu sendiri diperbuat daripada rumput yang tumbuh di tepi sungai.
- BANJIR NIL
Salji yang mencair dan hujan lebat pada musim panas di Pergunungan Habsyah mendorong kepada derasnya curahan air sekaligus mengakibatkan tebing-tebing Sungai Nil di Mesir berlimpahan ke atas tanah rata sehingga berlaku banjir besar pada setiap tahun. Pada hari ini, Nil tidak lagi membanjiri kawasan sekitarnya semenjak terbinanya Empangan Tinggi Aswan pada 1960an.
- AKHET: BANJIR
Sebelum Empangan Tinggi Aswan dibina, banjir tahunan Nil lazimnya berlaku pada bulan Jun hingga September. Musim ini disebut oleh orang Mesir sebagai akhet: banjir. Musim ini dilihat oleh orang Mesir sebagai tanda kedatangan dewa Hapi bagi membawa kesuburan kepada tanah. Sementara itu, dewi banjir menurut kepercayaan mereka pula ialah dewi Mehet-Weret, si “Banjir Besar”.
- OSIRIS: DEWA TERUNGGUL SUNGAI NIL
Walaupun Hapi merupakan dewa yang menaungi kawasan sekitar Nil, dewa yang paling lazim dikaitkan secara sejarah dan budaya dengan Nil adalah dewa Osiris yang diceritakan telah membunuh saudaranya, Seth di tebing sungai Nil dan kemudian menjadi raja Alam Kematian. Oleh kerana itu, Nil merupakan bahagian penting dalam aspek kerohanian masyarakat Mesir. Mereka mempercayai bahawa Sungai Nil merupakan laluan antara hidup dan mati. Justeru, semua makam Mesir dibina di bahagian barat Nil – barat dianggap sebagai tempat kematian memandangkan dewa matahari, Ra, terbit dari barat pada setiap hari.
- SUKAN PURBA MASYHUR DIMAINKAN DI SUNGAI NIL
Masyarakat Mesir purba mengamalkan suatu sukan sungai yang agak masyhur, iaitu sukan lawan tombak. Pengetahuan moden tentang sukan ini hanya datang dari penyelidikan ke atas relif-relif makam Mesir purba, justeru ianya terhad. Gambaran-gambaran ini menunjukkan sejumlah perahu dinaiki oleh sekumpulan lelaki, di mana setiap seorang daripada mereka membawa sebatang lembing atau tombak. Kebanyakan mereka menggunakan batang lembing itu untuk mengayuh dan mengawal perahu, sambil beberapa yang lain berdiri untuk melempari lembing tadi bagi menjatuhkan lawan dari perahu masing-masing.
- PENGHUNI-PENGHUNI TERTUA NIL
Buaya telah hidup dalam Sungai Nil sejak ribuan tahun dan mereka tidak gemar jika ada manusia mendekati mereka. Mereka lazim menyerang manusia, terutama mereka yang sedang mencuci pakaian atau menangkap ikan di tepi sungai. Dianggarkan bahawa sebanyak 200 buah serangan oleh buaya Nil di Afrika berlaku setiap tahun.
TERJEMAHAN:
Theodoros Karasavvas. (9 Oktober 2017). The Nile: How One River Helped Build a Civilization – 10 Amazing Facts. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/nile-how-one-river-helped-build-civilization-10-amazing-facts-008937
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih