Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Dunia Tempur

Amerika Culik 1,600 Saintis Nazi Jerman Untuk Bina Roket?

Dalam keadaan dunia sedang cuba menghukum Nazi Jerman selepas perang tamat, Amerika Syarikat pula senyap-senyap buat satu benda yang sampai hari ini masih jadi perdebatan moral paling gelap dalam sejarah moden.

Mereka ambil saintis, jurutera dan pakar teknologi dari Jerman. Bukan seorang dua. Tetapi lebih kurang 1,600 orang pakar Jerman dan Austria dibawa masuk ke Amerika selepas Perang Dunia Kedua.

Nama operasi itu?

Operation Paperclip. Atau pada awalnya dikenali sebagai Project Overcast.

Pada asalnya, program ini dikatakan bertujuan membawa pakar-pakar Jerman ke Amerika untuk tempoh singkat sekitar enam bulan hingga setahun. Kononnya, mereka diperlukan untuk membantu Amerika dalam perang menentang Jepun. Tetapi perang di Pasifik tamat lebih awal selepas Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.

Sepatutnya, kalau alasan asal itu sudah tidak relevan, program itu berhenti.

Tapi tidak.

Amerika teruskan juga.

Sebab mereka sudah nampak satu benda yang lebih besar. Nazi Jerman mungkin kalah perang, tetapi teknologi mereka bukan calang-calang. Roket V-2, peluru berpandu, pesawat jet, aerodinamik supersonik, sistem panduan peluru berpandu, enjin roket, enjin jet, perubatan penerbangan dan macam-macam lagi.

Dan Amerika tahu, kalau mereka tidak ambil saintis-saintis ini, Soviet Union mungkin akan ambil.

Di sinilah bermulanya perlumbaan secara senyap selepas Perang Dunia Kedua. Bukan lagi sekadar siapa menang perang. Tetapi siapa dapat rampas otak-otak terbaik Jerman.

Ramai orang selalu bayangkan Operation Paperclip ini semata-mata tentang NASA dan misi ke bulan. Hakikatnya, pada peringkat awal, ia bukan tentang angkasawan. Ia bukan tentang bendera Amerika dipacak di bulan. Ia bukan tentang impian meneroka angkasa.

Ia tentang senjata. Ia tentang Perang Dingin. Ia tentang Amerika yang takut Soviet Union mendahului mereka dalam teknologi peluru berpandu dan nuklear.

Sebelum Amerika fikir pasal bulan, mereka fikir pasal misil. Sebelum mereka fikir pasal Apollo 11, mereka fikir pasal bagaimana roket boleh membawa kepala peledak nuklear. Program angkasa datang kemudian. Pada awalnya, roket itu dilihat sebagai alat perang.

Tokoh paling terkenal dalam kisah ini ialah Wernher von Braun.

Nama ini mungkin bagi sesetengah orang kedengaran macam nama saintis genius yang membantu Amerika sampai ke bulan. Memang betul, von Braun akhirnya memainkan peranan besar dalam pembangunan roket Saturn V, roket gergasi yang membawa manusia ke bulan pada tahun 1969.

Tapi sebelum dia menjadi wajah kejayaan NASA, von Braun ialah orang penting dalam program roket Nazi Jerman.

Beliau terlibat dalam pembangunan V-2 rocket, peluru berpandu balistik pertama di dunia yang digunakan Nazi untuk menyerang bandar-bandar seperti London, Antwerp dan Paris. Ribuan orang awam dan tentera terbunuh akibat serangan V-2.

Lebih gelap lagi, pengeluaran roket V-2 dikaitkan dengan penggunaan buruh paksa dari kem tahanan khususnya di kompleks Mittelwerk dan Dora-Mittelbau. Ramai tahanan mati akibat keadaan kerja yang kejam, kelaparan, penyakit dan layanan tidak berperikemanusiaan.

Von Braun juga pernah menjadi ahli Parti Nazi dan juga pegawai SS. Selepas perang tamat, von Braun dan sekitar 125 rakan sekerjanya dibawa ke Amerika. Mereka ditempatkan di Fort Bliss, Texas dan bekerja dengan pihak tentera Amerika. Mereka membantu Amerika melancarkan roket V-2 yang dirampas dari Jerman dan membangunkan teknologi peluru berpandu baharu.

Kemudian pada tahun 1950, kumpulan von Braun dipindahkan ke Redstone Arsenal di Huntsville, Alabama. Di sinilah mereka menjadi teras kepada pembangunan peluru berpandu balistik Amerika. Dari situ lahir teknologi yang akhirnya membawa kepada roket Redstone, Jupiter dan kemudian Saturn.

Apabila Soviet Union melancarkan Sputnik pada Oktober 1957, Amerika terkejut. Dunia tiba-tiba nampak Soviet lebih awal masuk ke angkasa. Amerika yang selama ini rasa dirinya kuasa paling hebat terpaksa menelan hakikat bahawa mereka sudah ketinggalan.

Selepas itu, von Braun dan pasukannya membantu Amerika melancarkan satelit pertama mereka, Explorer 1 pada tahun 1958. Pada 1960, bahagian roket tentera yang dipimpin von Braun dipindahkan ke agensi angkasa baharu iaitu NASA.

Dari situlah, kumpulan saintis Jerman di Huntsville ini akhirnya terlibat dalam pembangunan roket Saturn yang membawa Amerika ke bulan pada tahun 1969.

Salah seorang lagi tokoh penting ialah Hans Pabst von Ohain, pencipta bersama konsep enjin turbojet Jerman. Beliau dibawa ke Amerika melalui Project Paperclip dan bekerja sebagai jurutera penyelidikan di Wright-Patterson Air Force Base, Ohio.

Ada juga Kurt Debus, bekas saintis roket V-2 dan bekas pegawai SS, yang kemudian menjadi pengarah pertama Kennedy Space Center. Bayangkan ironinya. Seorang lelaki yang pernah berada dalam sistem ketenteraan Nazi kemudian duduk dalam institusi paling penting untuk melancarkan misi angkasa Amerika.

Ada pula Hubertus Strughold yang digelar “bapa perubatan angkasa”. Beliau memainkan peranan dalam kajian awal berkaitan tubuh manusia dalam keadaan ekstrem, termasuk isu berat sifar, sokongan hayat dan pakaian angkasa. Tetapi selepas itu, namanya turut dipersoalkan kerana kaitan dengan eksperimen perubatan zaman Nazi terhadap tahanan.

Di sinilah kontroversi Operation Paperclip menjadi semakin berat.

Masalahnya, sebahagian daripada mereka ada rekod Nazi. Ada yang ahli Parti Nazi. Ada yang pernah menyertai SS atau SA. Ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan buruh paksa, eksperimen manusia atau industri perang Nazi.

Kira-kira separuh daripada kumpulan awal Paperclip mempunyai keahlian Parti Nazi. Memang ada yang mungkin masuk kerana oportunis, mahu selamatkan kerjaya atau mahu naik pangkat. Tetapi ada juga yang betul-betul percaya kepada ideologi Nazi.

Masalahnya, apabila Perang Dingin mula panas, Amerika jadi semakin sanggup tutup sebelah mata.

Alasan mereka kalau Amerika tidak ambil saintis ini, Soviet akan ambil. Kalau Soviet ambil, teknologi itu akan digunakan menentang Amerika. Jadi daripada membiarkan “otak Nazi” jatuh ke tangan Moscow, lebih baik Washington ambil dulu.

"Jahat tak apa, janji pihak kita punya."

Sebab itulah latar belakang beberapa saintis ini dibersihkan, disorok, diringankan atau diklasifikasikan. Rekod Nazi mereka dianggap masalah kecil yang menyusahkan pentadbiran. Ada fail yang tidak dibuka kepada umum selama bertahun-tahun.

Hanya selepas beberapa dekad terutama sekitar 1980-an, barulah banyak maklumat mula keluar apabila dokumen mula dinyahklasifikasi.

Nama Operation Paperclip sendiri dikatakan datang daripada amalan meletakkan klip kertas pada fail calon-calon yang mahu dibawa masuk. Klip itu menjadi tanda bahawa individu tersebut penting dan patut diproses. Ia seolah-olah menjadi tanda kepada pegawai supaya jangan terlalu menyelongkar rekod lampau mereka.

Kalau seseorang saintis itu berguna, masa lalunya boleh dikaburkan.

Amerika bukan satu-satunya negara yang memburu saintis Jerman. Soviet Union juga buat perkara sama melalui Operation Osoaviakhim pada Oktober 1946, apabila ribuan pakar Jerman dan keluarga mereka dipindahkan ke Soviet Union dalam satu operasi besar.

Britain dan Perancis juga menjalankan usaha masing-masing untuk mendapatkan teknologi dan kepakaran Jerman.

Selepas Nazi tumbang, Jerman bukan sahaja kalah perang. Jerman juga menjadi lombong ilmu yang dikeruk oleh kuasa pemenang.

Roket, pesawat, mesin, dokumen, paten, kepakaran, semuanya jadi rebutan.

Namun Operation Paperclip paling terkenal kerana kesannya sangat jelas pada sejarah Amerika. Kita boleh lihat kesannya dalam pembangunan peluru berpandu Amerika, sistem roket, penerbangan supersonik, teknologi angkasa dan akhirnya misi Apollo.

Tetapi bukan bermakna semua kejayaan roket Amerika datang daripada saintis Nazi sahaja. Amerika sudah ada kumpulan roket dan syarikat sendiri sejak Perang Dunia Kedua termasuk Reaction Motors, Aerojet dan Jet Propulsion Laboratory. Saintis Jerman mempercepatkan proses, tetapi mereka bukan satu-satunya sebab Amerika berjaya.

Persoalannya, berapa harga moral yang Amerika bayar?

Contohnya, Arthur Rudolph. Beliau pernah bekerja dalam pengeluaran roket di Mittelwerk, tempat buruh paksa digunakan dalam keadaan yang mengerikan. Di Amerika, Rudolph kemudian membantu membangunkan roket Saturn V. Tetapi pada awal 1980-an, Jabatan Kehakiman Amerika mula menyiasat kes jenayah perang terhadapnya. Akhirnya, beliau melepaskan kewarganegaraan Amerika dan meninggalkan negara itu pada tahun 1984 untuk mengelakkan perbicaraan.

Kemudian ada Georg Rickhey yang pernah dikaitkan dengan pengurusan buruh paksa di Mittelwerk. Beliau dibawa ke Amerika, tetapi kemudian diekstradisi ke Jerman Barat pada 1947 untuk menghadapi tuduhan jenayah perang. Beliau akhirnya dibebaskan.

Ada juga Walter Schreiber yang kemudian dituduh mempunyai kaitan dengan eksperimen manusia semasa era Nazi. Selepas kontroversi timbul, beliau akhirnya berhijrah ke Argentina dengan bantuan pihak tentera Amerika.

Itulah sebabnya Operation Paperclip menjadi salah satu sejarah gelap dunia angkasa.

Bolehkah ilmu dipisahkan daripada dosa orang yang menghasilkannya?

Kalau seorang saintis membantu membina roket ke bulan, tetapi sebelum itu pernah bekerja dalam sistem yang menggunakan buruh paksa, bagaimana kita patut mengenangnya?

Sebagai genius?

Sebagai penjenayah?

Atau sebagai kedua-duanya sekali?

Berapa banyak dosa masa lalu yang sanggup manusia maafkan, asalkan hasilnya membawa mereka lebih tinggi?

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet