Filem komedi aksi jenayah ini telah ditayangkan di Korea Selatan pada Mei 2021. Meskipun tidaklah popular, tapi ia telah menduduki tangga pertama pada minggu-minggu awal tayangannya. Jadi, apa istimewanya filem Pipeline ini?
Filem ini sebenarnya meneroka dunia rompakan minyak dari bawah tanah yang jarang sekali dipaparkan. Ia tentang dua watak utama, lakonan Seo Inguk dan Lee Soohyuk yang bekerjasama untuk mencuri minyak dari saluran paip bawah tanah.
Watak Pindol atau Kang Se Dol yang dibawa oleh Seo Inguk adalah seorang tukang gerudi paip yang terkenal, dan diupah oleh seorang ketua syarikat minyak, Hwang Gunwoo untuk mengorek lubang pada saluran paip terbesar di Korea.
Dan, di sinilah, pasukan Pindol yang turut disertai oleh seorang jurutera, seorang tukang kimpal dan seorang pakar pengorek bekerjasama untuk melaksanakan tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa seminggu.
Pelbagai kejadian berlaku kepada ahli kumpulan ini, yang akhirnya meninggalkan Pindol seorang diri dalam menyelesaikan tugasan itu.
Jadi, apa sebenarnya yang ingin disampaikan daripada filem ini?
Melalui filem ini, ia sebenarnya mengorek isu ketamakan manusia yang tak pernah berpenghujung. Pada awalnya, kita mungkin mempercayai tujuan Hwang mengupah Pindol yang kononnya mahu mencuri minyak demi simpanan syarikatnya.
Namun, ketamakan Hwang melebihi segalanya. Dia sebenarnya mempunyai rancangan yang lebih besar daripada sekadar mencuri minyak daripada saluran paip bawah tanah. Paling utama, dia tak pernah peduli jika ada yang terkorban demi cita-citanya itu.
Filem ini juga sebenarnya sedikit sebanyak mengupas realiti dalam industri minyak serta realiti yang sememangnya ada berlaku kes kecurian minyak daripada saluran bawah tanah ini.
Malah, ia juga secara berani menggambarkan sesetengah syarikat minyak yang mungkin terlibat dalam salahlaku atau aktiviti haram demi mencapai keuntungan yang lebih.
Filem ini mungkin bukan untuk semua, tapi bagi mereka yang mungkin menggemari topik yang serius, disulami dengan komedi, atau kita sebut sebagai black comedy, boleh mencuba untuk menontonnya.
Ada sesuatu yang lebih besar yang mungkin kita dapat fikir dan renung daripada filem sebegini, dan tak mustahil, ia juga boleh berlaku dalam situasi di negara kita sendiri.




No comments yet