Kita semua bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Sunni, jarang kita dengar pasal orang Syiah dalam sejarah Islam ni, lagi-lagi bila mereka dapat title Khilafah dalam Dunia Islam dan pemerintahnya dianggap sebagai Khalifah.
Dalam sejarah panjang Dunia Islam, muncul sebuah dinasti unik yang menjadi penyimpang daripada arus utama pemerintahan Sunni, iaitu Kekhalifahan Fatimiyah, mereka adalah pemerintah bermazhab Syiah Ismailiyah yang wujud antara abad ke-10 hingga abad ke-12 Masihi.
Di antara semua pemerintahnya, tokoh yang sering disebut sebagai satu-satunya Khalifah Syiah yang benar-benar memerintah dunia Islam secara sah dan teratur ialah Al-Mu‘izz Li-Dinillah (memerintah 953–975M), kerana di bawah kepemimpinannya, Fatimiyah menguasai wilayah yang luas serta mendapat pengiktirafan politik di kawasan-kawasan penting dunia Mediterranean.
Fatimiyah muncul pada tahun 909M di Ifriqiyah (Tunisia moden), didirikan oleh ʿUbayd Allah Al-Mahdi Billah, Imam Syiah Ismailiyah yang mendakwa keturunan Saidatina Fatimah Al-Zahra’, puteri Rasulullah SAW. Namun, Fatimiyah hanya menjadi kekhalifahan Syiah yang besar dan stabil selepas era Al-Mu‘izz, yang berjaya mengembangkan kuasa sehingga menawan Mesir pada tahun 969M melalui panglima terkenal, Jauhar Al-Siqilli.
Tindakan ini mengukuhkan kedudukan Fatimiyah sebagai pesaing langsung kepada Abbasiyah Sunni di Baghdad.
Walaupun beberapa raja Syiah pernah memerintah seperti kerajaan Buwayhid di Timur Baghdad dan Zaidiyyah di Yaman, mereka ni tak pernah isytiharkan diri sebagai khalifah, sebaliknya hanya menguasai pemerintah Abbasiyah dari belakang tabir. Inilah sebabnya ahli sejarah menganggap Fatimiyah sebagai satu-satunya kekhalifahan Syiah yang sah dan lengkap, dengan struktur pemerintahan, sistem pentadbiran, mata wang, serta rangkaian dakwah Ismailiyah di seluruh dunia Islam.
Di bawah Fatimiyah, Mesir berkembang menjadi pusat ilmu. Universiti al-Azhar contohnya, kini antara institusi Islam paling berpengaruh, ia diasaskan oleh Fatimiyah pada tahun 972M oleh Jauhar Al-Siqilli sebagai masjid kemudian ia menjadi pusat pengajian Syiah Ismailiyah. Kerajaan ini juga membangunkan sistem perbankan awal, birokrasi moden, dan infrastruktur bandar Kaherah yang bertahan sehingga kini.
Namun, kekhalifahan ini turut dicemari konflik dalaman, perebutan kuasa antara wazir, serta ketegangan mazhab. Selepas era Al-Hakim Bi-Amrillah, pemerintahan menjadi semakin tidak stabil. Fatimiyah akhirnya runtuh pada 1171M apabila Salahuddin Al-Ayyubi, seorang Sunni, menamatkan pemerintahan mereka dan mengembalikan Mesir kepada kekuasaan Sunni Abbasiyah secara nominal dibawah Dinasti Ayyubiyah.
Walaupun begitu, Fatimiyah tetap kekal sebagai satu-satunya Khilafah Syiah dalam sejarah Islam. Keunikan mereka bukan sahaja pada mazhab, tetapi juga pada pencapaian budaya, seni bina, dan pentadbiran yang mewarnai identiti Mesir sehingga hari ini. Walaupun Khilafah Syiah wujud, dan akan kekal sebagainya dalam sejarah sebagai salah satu khalifah, aku bukan Syiah.




No comments yet