Dibina oleh Hadrian si Maharaja Empayar Rom, Tembok Hadrian terbentang megah di sepanjang England, sedikit ke selatan dari sempadan modennya dengan Scotland. Panjang monumen mengagumkan ini meliputi lebih 70 batu (120 km), bermula dari Wallsend di pantai timur Engalnd di North Tyneside sehingga ke paya-paya air masin Solway Estuary di Cumbria, pantai barat. Tembok ini dibina dalam dua fasa yang berbeza di bawah perintah Maharaja Hadrian, salah seorang dari ‘Lima Maharaja Rom yang baik’. Hadrian dianggap sebagai seorang Maharaja Rom yang terkemuka, memerintah dari tahun 117 sehingga 138M.

Lokasi Tembok Hadrian


Tanpa dapat dinafikan lagi, projek-projek pembinaan yang diperintahkan oleh Maharaja Hadrian adalah legasinya yang paling berkekalan. Beliau menubuhkan sejumlah kota di seluruh Semenanjung Balkan, Greece, Mesir dan bahkan di Asia. Gerbang Hadrian dibina oleh penduduk Athens pada tahun 132M sebagai tanda penghormatan mereka terhadap beliau. Hadrian juga bertanggungjawab mengarahkan pembinaan semula Pantheon, di samping membina Kuil Venus dan Roma.

Namun, monumennya yang paling penting sudah tentulah tembok yang dibina di utara England. Menurut catatan sejarah, Hadrian merupakan seorang pemerintah yang sangat pemurah, menghulurkan banyak wang untuk kegunaan masyarakat mahupun individu. Beliau juga dicatatkan sebagai salah seorang maharaja yang pernah berhasrat untuk menjalani hidup seperti rakyat kebanyakan.

Selain itu, Hadrian turut masyhur dengan pengembaraannya di seluruh empayar yang diperintah olehnya. Beliau jugalah yang bertanggungjawab meletakkan batu asas bagi penubuhan Empayar Byzantine.

Runtuhan Tembok Hadrian

Pada masa dahulu, tembok tersebut dikenali sebagai Vallum Hadriani. Pembinaan tembok tersebut diyakini bermula sekitar tahun 122M, bertepatan dengan tahun kunjungan Maharaja Rom itu ke wilayah tersebut. Pada asalnya, tembok ini memiliki kelebaran mencecah 3m (10 kaki) dan ketinggian 6m (20 kaki) di bahagian timur Sungai Irthing, manakala 6m (10 kaki) lebar dan 3.5m (11.5 kaki) tinggi di bahagian barat sungai.

Tidak hanya di permukaan rata, tembok ini juga terbentang luas di permukaan yang kurang rata. Diyakini bahawa tembok ini pada asalnya dilitupi dengan plaster (lepa) dan dicat putih sekaligus memberikan tembok itu permukaan yang bersinar, yang akan memantulkan cahaya matahari lalu membolehkannya dapat dilihat walau dari jarak berbatu-batu jauh.

Tembok Hadrian (Northumberland) terbentang sejauh berbatu-batu di atas permukaan kasar

 


Projek pembinaan tembok ini mengambil masa enam tahun untuk disiapkan dan pada mulanya, sejarahwan memperkirakan bahawa ia dibina oleh golongan hamba. Namun di masa-masa terkemudian, ternyata perkiraan tersebut silap. Tembok Hadrian dibina oleh
legion-legion Rom yang berada di Britain, berpangkalan di lebih sedozen perkubuan yang terdapat di sepanjang tembok berkenaan.

Tembok Hadrian menjalani sejumlah pembaikpulihan dan ia terus berdiri kukuh di sempadan barat Empayar Rom sehinggalah ke zaman ketumbangan empayar itu pada kurun ke-5M. Pasukan tentera Rom sememangnya terkenal kerana dalam kalangan mereka terdapat anggota yang memiliki kemahiran seni bina, pertukangan batu, juruukur dan tukang kayu.

Ekskavasi pertama yang dijalankan ke atas Tembok Hadrian dipercayai dilakukan oleh William Camden pada 1600an. Namun, lukisan sebenar tentang tembok ini pertama kali dihasilkan pada kurun ke-18 dengan penyelidikan-penyelidikan arkeologi rasmi dimulakan pada kurun ke-19 dan ia terus berlanjutan sehingga ke hari ini.

Ahli-ahli arkeologi menjalankan kerja ekskavasi di Vindolanda Rom (2011) berhampiran Tembok Hadrian

Berkenaan faktor pembinaan Tembok Hadrian, hal tersebut menjadi subjek perbincangan dan perdebatan dalam kalangan sejarahwan dan ahli arkeologi. Penulis biografi Hadrian mencatatkan bahawa, “(Hadrian) merupakan maharaja pertama yang membina sebuah tembok sepanjang 80 batu untuk memisahkan bangsa Rom dan bangsa gasar.” Namun begitu, tiada rekod yang menyediakan penjelasan tepat mengenai pembinaan tembok ini. Pandangan umum mempercayai bahawa Tembok Hadrian dibangunkan untuk mengawal imigrasi dan penyeludupan ke dalam England.

Dengan kewujudan tembok berkenaan, legion-legion yang bertugas dapat mengesan individu-individu yang keluar masuk dari wilayah penguasaan Rom sekaligus membolehkan mereka untuk mengenakan cukai ke atas mereka dan juga menjalankan pemeriksaan bagi membanteras penyeludupan. Teori-teori lain pula berpandangan bahawa tembok ini dibina untuk mencerminkan kekuasaan dan kegagahan yang dimiliki oleh Empayar Rom, mengawal pemberontakan, dan/atau mencerminkan polisi pertahanan yang diamalkan oleh Hadrian.

Tembok Hadrian diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987, dan pada tahun 2005, ia disenaraikan sebagai “Sempadan Empayar Rom” transnasional.

TERJEMAHAN:

Ivan Petricevic. (7 Disember 2014). The Mighty Wall of Hadrian, Emperor of Rome. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/mighty-wall-hadrian-emperor-rome-002418


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.