Sebagai perempuan, kita sering dikaitkan dengan lemah lembut serta kesantunan. Namun di sebalik sifat keperempuanan, pasti punya sisi dalam setiap wanita untuk membuktikan kepada dunia bahawa kita juga boleh berjaya seperti lelaki. Jarang sekali suara wanita didengar lebih-lebih lagi apabila adat resam lebih menyebelahi pendapat para lelaki serta melebihkan pelajaran serta kehormatan pada mereka.
Perempuan yang bertindak berani sebegini sering dielakkan oleh bangsanya sendiri kerana dianggap sebagai ancaman akibat berani mencabar sistem masyarakat serta budaya nenek moyang yang menjadi pegangan sejak berkurun lamanya. Sehinggalah muncul Raden Ayu Kartini di daerah Jepara, Indonesia yang mengubah nasib perempuan Indonesia buat selamanya. Sosok Kartini sudah tidak asing lagi pada masyarakat Indonesia sehingga ke hari ini. Indonesia juga mengisytiharkan Hari Kartini pada hari kelahiran srikandi ini iaitu pada 21 April setiap tahun bagi memperingati jasanya dalam menggerak pola pemikiran masyarakat Indonesia ketika itu yang terlalu patuh kepada adat serta menegakkan hak sama rata bagi perempuan.
Kartini dilahirkan pada tanggal 21 April 1879 di Jepara, Indonesia dan merupakan anak kepada bangsawan bernama Sosoningrat yang memegang jawatan Bupati (Ketua Daerah) di daerah tersebut manakala ibunya pula hanyalah orang biasa bernama Ngasirah.Beliau mendapat gelaran Raden Ayu kerana dilahirkan dari golongan bangsawan. Adalah syarat ketika pemerintahan kolonial Belanda yang menggesa Bupati untuk berkahwin dengan golongan yang sama taraf dengannya. Ayahnya akhirnya mengambil keputusan untuk berpoligami dan berkahwin dengan anak bangsawan bernama Raden Adjeng Woerjan. Kartini bernasib baik kerana dilahirkan dalam golongan bangsawan yang memberikan peluang kepadanya untuk bersekolah walaupun hanya sehingga usia 12 tahun sahaja. Hal ini kerana mengikut adat jawa, perempuan yang baru baligh harus dipingit iaitu perlu dikurung di dalam rumah sehingga ada orang masuk meminang.
Dalam tempoh pingitan, Kartini rajin membaca bahan bacaan Belanda dan membuatnya mengagumi cara pemikiran wanita Eropah yang jauh lebih maju daripada wanita Jawa ketika itu. Kartini juga kekal berhubung melalui surat dengan wanita Belanda bernama Ovink-Soer iaitu sosialis yang turut menerbitkan majalah wanita Belanda iaitu De Hollandasche Lelie sejak dari zaman sekolahnya. Wanita ini juga menjadi pengaruh bagi Kartini untuk memperjuangkan hak wanita.
Langganan majalah ini juga mempertemukan Kartini dengan sahabat pena dari Belanda iaitu Stella, seorang feminist yang membuka mata Kartini terhadap isu-isu wanita. Dalam surat-surat Kartini, beliau banyak mempersoalkan berkaitan ketidaksamaan wanita dengan lelaki. Suratnya juga lebih kepada keluhan tentang tradisi Jawa yang banyak mengekang kehidupan wanita-wanita untuk turut bersama membangunkan bangsa dan negara.
Dalam suratnya juga, Kartini mempersoalkan tentang poligami yang dianggap tidak adil bagi wanita kerana beliau sendiri turut menyaksikan nasib ibu kandungnya menghadapi kepayahan hidup bermadu. Bagi Kartini, surat adalah medium yang baik untuk berkongsi pendapat yang bernas mengenai apa yang dibacanya serta tentang makna kehidupan.
Pada usia 24 tahun, Kartini akhirnya akur untuk berkahwin dengan Joyodiningrat. Usia 24 tahun juga sudah agak tua untuk berkahwin pada ketika itu. Dengan persetujuan suaminya, Kartini berjaya membuka sekolah pertama buat perempuan tempatan tanpa mengira status. Sekolah ini juga mengikut korikulum Barat yang lebih sistematik dan progresif. Beliau juga berjaya memperjuangkan kebebasan hak wanita ke peringkat lebih tinggi dengan bantuan Stella serta pegawai-pegawai tinggi Belanda.
Kartini meninggal dunia pada 17 September 1904 iaitu beberapa hari selepas kelahiran anak pertamanya pada usia yang cukup muda. Segala surat yang ditulis kepada teman Belandanya dikumpul oleh Pengarah Pendidikan Belanda dan dijadikan buku bertajuk ‘Door Duisternis tot Licht’ yang bermaksud ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’. Buku ini diterbitkan pada 1911 dan menjadi cahaya inspirasi kepada seluruh bangsa Indonesia sehingga ke hari ni.
Bagi yang ingin menghayati perjuangan Kartini sepanjang hayatnya, bolehlah tonton filem berjudul Kartini yang diarahkan oleh Hanung Bramantyo. Filem ini pada pendapat saya adalah salah satu karya terbaik Indonesia dan wajib ditonton oleh semua wanita. Filem ini membuktikan bahawa walaupun wanita tidak sekuat lelaki untuk menghunus pedang di peperangan, namun minda yang terbuka serta tindakan yang berani mampu mengubah nasib sendiri serta orang di sekeliling. Jadilah perempuan yang berwawasan jauh dan bukan sekadar hanya menunggu untuk dipinang. Rancanglah masa depan dengan baik supaya lebih cerah dan dapat menjadi permata kepada agama dan bangsa sendiri suatu hari nanti.
SUMBER RUJUKAN
Biography.com Editors (2014) Raden Adjeng Kartini Biography [online] available from
<https://www.biography.com/people/raden-adjeng-kartini-37859> [6 January 2018]
Biografiku.com (2017) Biografi R.A Kartini – Pahlawan Emansipansi Wanita Indonesia <https://www.biografiku.com/biografi-ra-kartini/> [5 January 2018]
Dangerous Women (2016) R,A Kartini and the ‘Clover Leaf’ <http://dangerouswomenproject.org/2016/09/27/raden-adjeng-kartini/> [5 January 2018]
Rania, D. (2017) Kartini Kan Nggak Cuma Cantik Aja, Jadi Ini Alasan Dian Sastro Tetap Jadi Pilihan di Film ‘Kartini’ <https://www.hipwee.com/hiburan/kartini-kan-nggak-cuma-cantik-aja-jadi-ini-alasan-dian-sastro-tetap-jadi-pilihan-di-film-kartini/> [3 January 2018]
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih