Terletak di gerbang menuju gurun Sahara di kawasan Mali moden, dengan berada di dalam lingkungan zon subur di Sudan, Timbuktu merupakan salah sebuah bandar Afrika yang namanya sangat berpengaruh dalam sejarah. Ditubuhkan pada kurun ke-5 Masehi, Timbuktu berkembang menjadi sebuah ibu kota pendidikan dan kerohanian serta mencapai masa-masa kemuncaknya pada kurun ke-15 dan ke-16 Masehi.

Sekitar 700 tahun yang lalu, Timbuktu menjadi sebuah hub yang sangat sibuk di mana para pengembara dari Eropah, Afrika sub-Sahara, Mesir dan Maghribi saling bertemu untuk memperdagangkan garam, emas, gading dan juga hamba sahaya. Namun, bukan itu sahaja ‘barangan’ yang menjalani pertukaran tangan di sana.

Timbuktu adalah sebuah tempat di mana idea, falsafah, pemikiran intelek dan kepercayaan agama saling bertemu dalam sebuah percampuran yang dinamik. Salah satu kaedah utama di mana idea-idea tersebut saling bertukar adalah menerusi penjualan buku. Menurut sebuah perincian tentang Timbuktu pada tahun 1526 yang dikarang oleh diplomat bernama Leo Africanus, disebutkan bahawa, “Lebih banyak keuntungan dihasilkan menerusi penjualan buku berbanding cabang perdagangan yang lain.”

Teks-teks purba Timbuktu adalah suatu perkara yang amat mengagumkan – ia dibungkus dengan kulit unta, kambing, atau anak lembu dengan penggunaan dakwat emas, merah dan hitam. Halaman-halamannya pula dipenuhi dengan perkataan-perkataan yang ditulis dalam kaligrafi indah berbahasa Arab dan Afrika, di samping turut mengandungi rekaan-rekaan geometrik yang menarik.

Pada hari ini, terdapat ratusan ribu manuskrip purba yang disimpan di sebuah rumah peribadi. Walaupun dalam banyak keadaan para arkeologis mencemuh pemilikan peribadi ke atas relik-relik purba, akan tetapi bagi kes ini, dengan cara sedemikianlah relik-relik berkenaan dapat terpelihara dan terselamat.

Merentas tahun, banyak manuskrip yang musnah ataupun dicuri oleh kuasa-kuasa yang memerintah Timbuktu, termasuklah Perancis yang mengkolonikan Mali pada tempoh antara tahun 1892 dan 1960, dan juga kumpulan-kumpulan Al-Qaeda yang pada tahun 2013 melancarkan serangan ke atas Timbuktu sekalius mengakibatkan kemusnahan makam-makam di sana. Manuskrip-manuskrip purba yang mereka temui turut hangus dibakar.

Walau bagaimanapun, banyak manuskrip berjaya diselamatkan apabila pemiliknya bertindak menyeludupnya keluar dari Timbuktu dan meletakkannya di tempat yang selamat. Usaha ini diselaraskan oleh Abdel Kader Haidara yang melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan pengangkutan keldai mahupun perahu. Manuskrip-manuskrip ini sememangnya sangat berbaloi untuk diselamatkan – subjek-subjek yang dirangkumi dalam koleksi yang usianya menjangkau dari kurun ke-13 hingga kurun ke-17 adalah al-Qur’an, Sufisme, falsafah, perundangan, matematik, perubatan, astronomi, sains, syair dan banyak lagi. “Setiap buku mengandungi jawapan, dan sekiranya anda menganalisanya maka anda akan (dapat) menemui penyelesaian,” ujar Haidara. “Segala yang wujud pada hari ini telah pun wujud pada masa-masa sebelum ini.”

Manuskrip-manuskrip ini bagaikan sebuah jendela yang membawa kita menelusuri minda para pemikir ulung di zaman lampau. Diperturunkan dari generasi ke generasi dalam keluarga Timbuktu, manuskrip-manuskrip tersebut menawarkan sejarah kesederhanaan Islam, di mana para ilmuwan turut memperbahaskan tentang hak-hak wanita dan bagaimana mereka meraikan penganut Kristian dan Yahudi.

Apa yang dilakukan oleh Haidara ini merupakan sebuah keajaiban. Secara keseluruhan, beliau bertanggungjawab menyelamatkan lebih daripada 300 000 buah manuskrip dan membawanya ke tempat yang selamat di Bamako. Perjalanan yang ditempuh oleh manuskrip-manuskrip ini melibatkan rasuah, keganasan, konflik dan ancaman bahaya sebelum dapat tiba di destinasinya, seringkali bersembunyi di dalam kereta, kereta tolak dan khemah. Tidak luput juga ia pernah disembunyikan di sebalik timbunan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Walau bagaimanapun, dengan takdir kejam yang sentiasa berbolak-balik, manuskrip-manuskrip ini menghadapi ancaman baru yang lain – iaitu pereputan. Berpindah daripada cuaca yang panas dan kering ke sebuah lokasi yang lebih sejuk bermaksud ia terdedah kepada keadaan cuaca yang boleh merosakkan fizikal manuskri-manuskrip tersebut. Sekiranya ancaman fizikal daripada situasi ini terus berlanjutan dan jika kulat dan kulapuk tersebar berikutan meningkatnya kadar kelembapan, maka kerosakan yang dialami akan menjadi parah.

Apapun, segalanya belum berakhir; sebuah inisiatif yang dipanggil sebagai Projek Perpustakaan Timbuktu Di Tempat Pengasingan (Timbuktu Libraries in Exile Project) telah melancarkan sebuah usaha untuk menyelamatkan manuskrip-manuskrip ini dan memastikan agar ianya dapat terpelihara sehingga masa-masa akan datang. Projek ini bertujuan untuk menyimpan manuskrip-manuskrip tersebut dalam keadaan kalis-lembab serta lebih tersusun sepanjang keberadaannya di luar Timbuktu.

Sebuah usaha pengumpulan dana peringkat antarabangsa juga diadakan bagi menampung dana yang diperlukan demi menggerakkan usaha pemeliharaan ini, dengan peletakan sasaran sebanyak $100 000.

Walau apa sekalipun kedudukan politik, agama mahupun masa silam anda, kita semua boleh seiya sekata dalam mengatakan bahawa mempelajari daripada sejarah secara kolektif merupakan suatu perkara yang berbaloi untuk diperjuangkan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.