Kadang-kadang, sesuatu tempat dianggap “sensitif” hanya apabila ia sudah terlambat untuk diselamatkan.
Di beberapa tempat, binaan boleh muncul tanpa kebenaran dan bertahan bertahun-tahun atas pelbagai alasan.
Tetapi di tempat lain, walaupun sesebuah institusi itu sah, bersejarah dan menjadi simbol hubungan antara dua tamadun, ia masih perlu tunduk kepada kontrak, pelan pembangunan, dan undang-undang hartanah.
Itulah yang sedang berlaku kepada Veeraswamy, sebuah restoran India tertua di United Kingdom yang kini berdepan risiko penutupan selepas hampir satu abad beroperasi.
Ditubuhkan pada Mac 1926 di Victory House, Regent Street, Veeraswamy ialah saksi hidup bagaimana makanan India menjadi sebahagian daripada identiti Britain.
Malah ketika Blitz melanda London dalam Perang Dunia Kedua, restoran ini masih beroperasi. Apa yang gagal dimusnahkan oleh bom kini berdepan ancaman daripada pelan ubah suai bangunan.
Pemilik bersama restoran itu, Ranjit Mathrani merayu kepada Raja Charles III agar membantu menyelamatkan Veeraswamy daripada “kepupusan”. Pihak Crown Estate memutuskan untuk tidak memperbaharui pajakan kerana bangunan berstatus Grade II itu akan diubah suai bagi memenuhi piawaian moden dan kegunaan baharu.
Secara teknikal, keputusan itu sah.
Veeraswamy pernah menyediakan jamuan di Buckingham Palace untuk lawatan kenegaraan India. Tokoh dunia seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru, Charlie Chaplin dan Winston Churchill pernah menjadi pelanggan.
Restoran ini juga menerima bintang Michelin pada 2016.
Namun dalam dunia hartanah, sejarah tidak semestinya memberi hak untuk kekal. Crown Estate berhujah bahawa mereka mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk mengurus aset awam dan memaksimumkan nilai jangka panjang. Mereka turut menawarkan pampasan serta bantuan mencari lokasi baharu.
Mathrani menegaskan bahawa Veeraswamy mempunyai “sense of place and continuity” yang datang sejak generasi ke generasi. Ada yang pertama kali datang bersama keluarga pada 1950-an. Ada yang bertunang di situ.
Ada yang kembali setiap tahun untuk menghidupkan kenangan lama.
Petisyen menyelamatkan Veeraswamy telah mengumpulkan lebih 20,000 tandatangan termasuk sokongan chef terkenal seperti Raymond Blanc, Michel Roux dan Richard Corrigan.
Namun realitinya undang-undang hartanah tetap undang-undang.
Jika restoran ini ditutup, Britain tidak akan kehilangan kari. Restoran India ada di mana-mana. Tetapi yang hilang ialah simbol perintis yang “memecahkan ais” untuk generasi restoran India selepasnya.




No comments yet