Kita sedia maklum yang Viking bukan sahaja sebagai pelaut, pahlawan dan pedagang, tetapi juga sebagai bangsa yang kaya dengan mitologi. Bagi mereka, dunia ini tak kekal. Sampai masa, dunia akan musnah, hancur dan digantikan dengan sebuah dunia baharu. Inilah yang disebut sebagai Ragnarök, kiamat menurut mitologi Norse.
Ibarat filem fantasi yang epik, cara orang Viking membayangkan berakhirnya dunia penuh dengan adegan-adegan peperangan kosmik, bencana alam dan pengkhianatan!
Menurut kepercayaan Viking, tanda-tanda akhir dunia bermula dengan Fimbulwinter, iaitu musim sejuk yang berlangsung selama tiga tahun tanpa henti. Bayangkan dunia dilitupi salji tanpa musim panas, tanaman mati, haiwan pupus dan manusia kelaparan. Dari sini, peperangan besar-besaran akan meletus di antara sesama manusia, kerana semua berebut untuk terus hidup.
Selepas itu, dunia akan dilanda kekacauan kosmik. Fenrir, sang serigala gergasi, akan terlepas daripada rantai, manakala Jörmungandr, ular laut yang melilit dunia, naik ke permukaan dan menyemburkan racun yang meracuni laut serta langit. Pada masa yang sama, Surt, si gergasi api dari Muspelheim, akan mara dengan pedang berapi dan membakar dunia.
Kemuncak Ragnarök ialah pertempuran di Vigrid. Vigrid ialah padang luas tempat semua dewa, gergasi dan makhluk kosmik bertarung. Odin, ketua dewa, akan dibaham oleh Fenrir. Thor pula membunuh ular Jörmungandr, tetapi mati akibat racunnya. Dewa-dewa utama lain turut gugur.
Langit terbelah, bintang jatuh dan bumi tenggelam ke dalam lautan api.
Menariknya, Viking tidak melihat Ragnarök sebagai penamat mutlak. Mereka percaya selepas dunia musnah, bumi akan muncul semula dan kembali subur, hijau, dan damai. Dua manusia akan terselamat dan menjadi pemua kepada generasi baharu.
Bagi Viking, kiamat bukanlah noktah, tetapi kitaran kehidupan yang berulang. Jika ditanya “macam mana dunia berakhir kalau ikutkan Viking?”, jawapannya ialah: dunia akan musnah bukan dengan kehancuran. Tapi bukan itu saja, bumi juga akan hancur dengan harapan akan kelahiran semula.
Kiamat menurut Viking adalah gambaran kepada cara mereka melihat dunia. Dunia yang penuh peperangan dan penderitaan, tetapi sentiasa ada sinar baharu selepas kegelapan.




No comments yet