Kesultanan Delhi merupakan sebuah kesultanan Islam yang wujud pada tempoh masa antara abad ke-13 hingga abad ke-16M. Berpangkalan di Delhi, wilayah naungan Kesultanan ini merangkumi bahagian utara India walaupun pada masa-masa kemuncaknya ia pernah mendominasi hampir seluruh sub-benu India.
Seiring peredaran masa, Kesultanan Delhi diperintah oleh lima buah dinasti yang berlainan – Dinasti Mamluk, Dinasti Khalji (Khilji), Dinasti Tughlaq, Dinasti Sayyid dan Dinasti Lodi. Apabila sultan terakhir daripada Dinasti Lodi terkorban dalam pertempuran, Kesultanan Delhi pun menemui pengakhirannya dan hal ini membawa kepada penubuhan Empayar Mughal.
PENUBUHAN KESULTANAN DELHI
Sebelum tertubuhnya Kesultanan Delhi, tentera-tentera Islam dari Asia Tengah sering menyerang kerajaan-kerajaan di utara India. Hal ini terus berlanjutan hinggalah semasa pemerintahan Muhammad al-Ghor, seorang sultan Ghor yang memasang hasrat untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam di utara India dan tidak hanya sekadar menyerang dan menjarah wilayah-wilayah berkenaan.
Muhammad al-Ghor tidak mempunyai putera. Oleh kerana itu, setelah beliau dibunuh pada tahun 1206M maka empayarnya pun terbahagi dalam kalangan hamba-hambanya yang berbangsa Turki. Salah seorang daripada hamba tersebut bernama Qutbu ad-Din Aibak yang menjadi pemerintah Delhi sekaligus mengasaskan Kesultanan Delhi.
Dinasti pertama yang memerintah kesultanan tersebut dipanggil sebagai Dinasti Mamluk. Ia turut dikenali sebagai Dinasti Hamba atau Dinasti Ghulam. Dinasti ini meneruskan polisi perluasan kuasa yang diamalkan oleh Muhammad al-Ghor.
Menjelang pertengahan abad ke-13M, kesultanan ini menjadi kuasa utama di wilayah utara India – bermula dari Laluan Khyber di barat hingga ke Bengal di timur.Dinasti Mamluk berakhir pada tahun 1290M apabila berlakunya pertelagahan dalam kalangan pembesar dan pemerintah terakhirnya, Muiz ad-Din dibunuh oleh Jalal ad-Din Khalji yang mengasaskan Dinasti Khalji.
Salah seorang figura paling menonjol dalam Dinasti Mamluk ialah Sultana Razia, salah seorang dari sejumlah kecil pemerintah wanita dalam sepanjang lipatan sejarah Islam dan satu-satunya sultan wanita yang memerintah Kesultanan Delhi.
DINASTI-DINASTI KESULTANAN DELHI YANG SETERUSNYA
Dinasti kedua yang memerintah Delhi ialah Dinasti Khalji. Diasaskan oleh Jalal ad-Din Khalji yang merupakan bekas pembesar bawahan Dinasti Mamluk, dinasti ini memerintah Kesultanan Delhi sehingga tahun 1320M. Walaupun dinasti ini hanya bertahan selama 30 tahun, pemerintah-pemerintahnya merupakan penakluk hebat yang berjaya meluaskan wilayah naungan hingga ke Deccan.
Selain itu, tentera-tentera dari Dinasti Khalji ini turut berupaya melebarkan kuasa ke bahagian selatan India. Lantas, kebanyakan kerajaan Hindu di sana ditundukkan sebagai wilayah bawahan Kesultanan India. Walau bagaimanapun, pencapaian paling ulung Dinasti Khalji adalah peperangan mereka dalam menentang Mongol. Berkat kekuatan yang dimiliki oleh pasukan tentera mereka, Khalji berjaya menangkis sejumlah serangan besar dari pihak Mongol.
Seperti Dinasti Mamluk, Dinasti Khalji ini juga berakhir apabila pemerintah terakhirnya dibunuh. Pembunuh tersebut adalah Ghiyath al-Din Tughlug. Mengulangi skrip yang sama seperti Jalal ad-Din Khalji sebelum ini, Ghiyath juga mengasaskan Dinasti Tughlaq. Tempoh pemerintahan Muhammad bin Tughluq dianggap sebagai masa kemuncak Kesultanan Delhi.
Walau bagaimanapun, tempoh tersebut berlangsung dengan begitu singkat, iaitu dari tahun 1330 hingga 1335M. Hal ini diakibatkan oleh banyaknya pemberontakan yang meletus sekaligus banyak wilayah yang hilang dari genggaman Delhi. Menambah parah bagi keadaan sedia ada, para pemerintah Tughluq langsung tidak melakukan sebarang usaha untuk merebut semula wilayah-wilayah berkenaan.
Makanya dengan pantas, pada tahun 1347M, bangsawan Muslim di Deccan memerdekakan diri dari Kesultanan Delhi dan menubuhkan Dinasti Bahman. Jauh di selatan, Empayar Hindu Vijayanagara pula ditubuhkan pada tahun 1351M selepas mengisytihar kemerdekaan dari naungan Kesultanan Delhi. Pada tahun 1398/1399, Kesultanan Delhi mengalami kekalahannya yang paling besar apabila ditewaskan oleh Timurlane. Delhi sendiri habis dijarah.
Dinasti Tughluq terus melanjutkan pemerintahannya sehingga tahun 1413 sebelum ia digantikan oleh Dinasti Sayyid. Dari sudut politik, dinasti ini tidak banyak mencapai kejayaan besar melainkan berhasil menguatkan pengaruh Islam di wilayah Kashmir.
TUMBANGNYA KESULTANAN DELHI
Dinasti terakhir bagi Kesultanan Delhi adalah Dinasti Lodi. Pemerintah dinasti berkenaan berasal-usul dari Afghan. Pengasasnya adalah Bahlul Lodi, individu yang pernah berkhidmat sebagai gabenor Punjab dan kemudiannya mengambil-alih kepemimpinan setelah kemangkatan pemerintah terakhir Dinasti Sayyid pada tahun 1451M.
Sultan-sultan Lodi tidak berupaya mencantas ranting-ranting rosak yang menjalar di setiap sudut pemerintahan. Rentetan hal itu, Kesultanan Delhi pun pada akhirnya menemui penghujung semasa pemerintahan sultan ke-3 dinasti berkenaan, iaitu Ibrahim Lodi. Sultan ini dicatatkan sebagai seorang yang lemah dan berlaku korup.
Makanya salah seorang gabenor wilayah yang juga merupakan kerabat Dinasti Lodi bertindak menjemput Babur si pengasas Empayar Mughal untuk menyerang Kesultanan Delhi sekaligus menamatkan kepenguasaannya.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
DHWTY. (22 Jun 2018). The Delhi Sultanate: 300 Years of Muslim Power Over the Indian Subcontinent. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/delhi-sultanate-muslim-power-indian-subcontinent-0010244
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih