Secara kasarnya, kita mungkin pernah mempelajari tentang kedinamikan sistem pemerintahan di Eropah. Ada negara beraja dan ada negara republik. Turut ada negara kebangsawanan. Eropah ini dihiasi dengan kepelbagaian pemerintahan di negara-negara yang terkandung dalam benuanya.
Maka jika diperbuat perbandingan dengan negeri-negeri Melayu kita, sejarahnya ada miripnya dengan Eropah. Kedua-duanya pasa satu-satu masa pernah melalui fasa pemerintahan beraja secara total. Tetapi, apabila tiba satu titik dalam sejarah, beberapa kerajaan di Eropah itu runtuh dan digantikan sistem bersifat republik pula.
Contoh penggulingan raja di Eropah yang boleh diketengahkan adalah seperti Perancis (1792), Rusia (1917), Jerman (1918) dan Itali (1946). Kesemua negara yang disebutkan ini tidak lagi mempunyai seorang raja pemerintah, bahkan sehingga ke saat ini.
Lain pulanya al-kisahnya dengan situasi di negeri Melayu, yang kalaupun runtuh sesebuah kerajaan itu, akan lahir pula penggantinya yang baru. Hal ini dapat kita lihat dalam Kesultanan Perak misalnya yang sebelum itu wujud beberapa buah kerajaan kecil di beberapa wilayah yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kesultanan itu.
Jadi, mengapa hal sebegitu berlaku di Eropah?
Makanya perlulah kita melayari badai ombak lembaran sejarah Eropah yang kompleks dan berliku-liku untuk memahami hal ini. Jika kita membaca sejarah, kejadian-kejadian penurunan raja-raja mereka daripada takhta itu bersangkutnya adalah pada gerakan nasionalisme yang berlaku di seluruh benua itu.
Di sinilah dapat kita buat perbandingan di antara kerajaan di Eropah dan kerajaan di sini. Istilah Daulat yang dipegang oleh kerajaan-kerajaan di kedua tempat ini sebelum itu adalah mirip sekali. Kedaulatan sesebuah negara atau raja itu bertunjangkan keabsahan kedudukan raja yang diyakini mereka berasal-usulkan kayangan.
Lantikan Tuhan, Wakil Tuhan dan Khalifah Allah misalnya adalah konsep-konsep yang terguna pakai.
Namun, apabila bermulanya gerakan nasionalisme di Eropah, konsep ini sudah mula ditolak oleh masyarakat.
Hal ini berpalit juga dengan kebobrokan perangai sang manusia bergelar raja di sana. Sifat zalim sering melitupi diri membuatkan rakyat mula muak akan keberadaan mereka lambat-laun.
Maka, konsep kedaulatan itu mula berubah daripada tunjangan kepada raja kepada kedaulatan yang berasal daripada rakyat dalam sesebuah kerajaan atau negara itu sendiri. Hal ini bermaksud, kedaulatan sesebuah negara itu kini adalah milik rakyat yang secara langsungnya adalah seiringan dengan konsep sesebuah pemerintahan republik. Oleh sebab itu, perubahan ini menjadi tulang belakang kepada gerakan nasionalisme yang mereka lancarkan itu.
Berbeza pula dengan gerakan nasionalisme di negeri-negeri Melayu kerana di sini, orang Melayu masih berpegang teguh dengan konsep kedaulatan yang berasal daripada seseorang raja.
Maka, gerakan nasionalisme itu bergerak sejajaran dengan keberadaan seseorang raja yang memerintah. Oleh sebab pegangan teguh terhadap kepercayaan itu, raja-raja kita kekal memerintah tidak seperti sesetengah Raja Eropah yang telah rakyat mereka gulingkan.
Maka, perubahan kepercayaan rakyat dalam konsep kedaulatan itu adalah satu faktor utama yang telah menjadi pencetus kepada titik tolak pemerintahan kerajaan-kerajaan di Eropah itu, menunjukkan bahawa sesebuah ketamadunan itu meskipun jika memiliki permulaan yang mirip, boleh menempuh satu titik yang jauh berbeza di kemudian hari.




No comments yet