Perahu-perahu Abydos merujuk kepada sekumpulan perahu yang ditemui di padang pasir Abydos, Mesir. Perahu-perahu laut ini memainkan peranan penting dalam sejarah Mesir, tidak hanya dalam kehidupan seharian masyarakatnya, tetapi juga dalam kepercayaan dan mitologi mereka.
Perahu dianggap sebagai alat pengangkutan yang sangat penting memandangkan rupa bumi tamadun Mesir didasari oleh Sungai Nil yang mengalir dari selatan ke utara. Selain itu, dewa Mesir purba iaitu Ra turut dipercayai terbang meredah langit dengan menaiki sebuah kapal matahari.
EKSKAVASI PERAHU-PERAHU ABYDOS
Walaupun terdapat sejumlah gambaran artistik berkenaan kapal dan perahu dalam tamadun Mesir, tidak banyak perahu sebenar yang kekal sehingga ke hari ini – mengharungi mamahan zaman. Justeru itu, perahu-perahu Abydos dianggap sebagai satu penemuan yang penting.
Pada Oktober 2000, dilaporkan bahawa rusuk sebuah perahu kayu berusia 5000 tahun telah ditemukan oleh sekumpulan arkeologis dari Universiti Muzium Pennsylvania dan Ekspedisi Universiti Yale ke Abydos. Sebanyak 14 buah perahu ditemukan di tapak berkenaan dan kesemuanya dipercayai dibina sekitar 3000SM.
Kewujudan paling kurang sedozen kubur perahu telah pun diketahui oleh para arkeologis yang bekerja di Abydos sejak tahun 1991 lagi. Kubur-kubur perahu ini terletak bersebelahan dengan sebuah tapak pemakaman besar firaun dari Dinasti Kedua, iaitu Khasekhemwy. Pun begitu, mereka tidak menjalankan kerja-kerja ekskavasi ke atas kubur-kubur perahu itu kerana mahu memelihara keadaannya.
Walaupun ia terletak bersebelahan dengan tapak makam Khasekhemwy, para ilmuwan mengemukakan pendapat bahawa perahu-perahu tersebut telah pun ditempatkan di situ bertahun-tahun lebih awal sebelum tapak makam itu dibina. Dalam erti kata lain, perahu-perahu itu adalah dikhususkan untuk firaun yang lebih awal, mungkin dari Dinasti Pertama.
PERINCIAN TENTANG PERAHU-PERAHU ABYDOS
Secara purata, perahu-perahu Abydos berukuran 18-24 meter panjang (59-78.7 kaki), 2-3 meter lebar (6.6-9.8 kaki) dan sekitar 60 cm dalam (23.6 inci). Para penyelidik menganggarkan bahawa setiap perahu tersebut mampu memuatkan sehingga 30 orang pendayung. Oleh kerana itu, mereka turut berpendapat bahawa perahu-perahu ini bukan hanya sekadar model, akan tetapi benar-benar perahu yang boleh digunakan untuk berlayar.
Walau bagaimanapun, masih belum jelas dalam kalangan penyelidik adakah perahu-perahu ini pernah digunakan sebelum ia dikebumikan atau adakah ia sememangnya dibina khusus untuk tujuan dikebumikan. Apapun, penemuan kali ini sememangnya suatu yang sangat jarang memandangkan lazimnya bagi tujuan keagamaan atau pengebumian, model (atau replika) akan digunakan untuk menggantikan benda sebenar. Misalnya, 35 buah model perahu ditemukan di makam Tutankhamun.
Turut didakwa bahawa perahu-perahu Abydos merupakan contoh binaan perahu terawal yang kekal sehingga ke hari ini. Perahu-perahu ini diperbuat daripada papan-papan kayu yang dicantumkan bersama. Makanya, perahu Abydos juga dianggap mencerminkan perkembangan besar dalam sejarah pembinaan perahu.
Berikutan teknologi rumit yang diperlukan untuk membina perahu ini, ilmuwan berpendapat bahawa perahu Abydos adalah lambang kekayaan dan kekuasaan firaun. Menerusi kajian lanjut, perahu-perahu ini berpotensi memberikan lebih banyak maklumat tentang kekuasaan, kekayaan, dan kemajuan teknologi dinasti-dinasti Mesir awal.
PENGEMBARAAN HARIAN RA DI ATAS PERAHU
Selain kegunaan secara praktikal, perahu-perahu Abydos juga berkemungkinan memiliki fungsi simbolik. Dalam kepercayaan masyarakat Mesir purba, dewa matahari iaitu Ra dipercayai mengembara di dada langit pada waktu pagi dan mengembara di alam kematian pada waktu malam dengan menaiki sebuah perahu matahari.
Pengembaraan harian ini dianggap menggambarkan kitaran kehidupan-semula Ra. Oleh kerana itu, dengan mengebumikan perahu berhampiran makam seorang firaun, masyarakat Mesir purba berharap agar firaun tersebut turut dapat menikmati kitaran penghidupan semula yang abadi dalam kehidupan sesudah mati.
Simbolisme yang dipikul oleh perahu ini turut dapat dilihat pada kapal Khufu yang masyhur, yang ditemukan di Piramid Giza. Kapal tersebut dianggarkan dibina sekitar 4 kurun setelah perahu-perahu Abydos. Justeru, perahu Abydos dianggap sebagai ciptaan asalan bagi kapal Khufu – dan memulakan tradisi kepercayaan untuk membawa para firaun mengembara ke penghidupan semula sesudah mati.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (21 Disember 2015). The Abydos Boats: Transporting the Pharaohs Through the Afterlife. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/abydos-boats-transporting-pharaohs-through-afterlife-004999
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih