Pada 29 Mei 1453, dunia menyaksikan satu peristiwa yang menggegar sejarah: Konstantinopel, ibu kota Empayar Byzantine yang bertahan lebih seribu tahun, akhirnya tumbang ke tangan Sultan Mehmed II, atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Fateh.
Bagi dunia Islam, ini adalah kemenangan besar. Namun bagi Eropah, kejatuhan Konstantinopel menjadi titik trauma dan ironinya, mungkin juga titik kelahiran kemajuan moden mereka.
Sebelum 1453, Konstantinopel berfungsi sebagai jambatan ilmu antara Timur dan Barat. Naskhah-naskhah falsafah Yunani, sains Rom dan karya klasik disimpan dan dikaji di sana.
Apabila kota itu jatuh, ramai cendekiawan Kristian Byzantine melarikan diri ke Itali dan mengangkut bersama manuskrip-manuskrip berharga yang selama ini tidak sampai ke Eropah Barat. Dari sinilah bermulanya lonjakan intelektual yang kita kenal sebagai Renaissance.
Tanpa disedari, serangan Al-Fateh memaksa Eropah “terjaga”. Laluan perdagangan lama ke Timur kini dikuasai Uthmaniyah. Eropah tidak lagi boleh bergantung kepada jalan darat untuk mendapatkan rempah, sutera dan emas. Maka lahirlah obsesi baharu: mencari laluan laut.
Dorongan inilah yang mencetuskan Zaman Penjelajahan, membawa kepada pelayaran Vasco da Gama, Columbus dan akhirnya penjajahan global.
Dari sudut politik dan ketenteraan, kejatuhan Konstantinopel juga menghantar mesej jelas bahawa dunia Islam bukan lagi kuasa yang boleh dipandang rendah. Negara-negara Eropah mula mempercepatkan inovasi senjata, sistem pentadbiran dan pembinaan negara bangsa. Ancaman Uthmaniyah menjadi “musuh bersama” yang menyatukan Eropah secara tidak langsung.
Persoalannya, kalau Konstantinopel tidak jatuh, adakah Eropah akan bergerak sepantas itu? Mungkin Renaissance akan berlaku, tetapi tidak secepat dan sedalam yang kita lihat. Mungkin pelayaran global akan tertangguh beberapa dekad, atau penjajahan berlaku dalam bentuk yang berbeza.
Hakikatnya, sejarah bergerak melalui kejutan-kejutan besar. Penaklukan Al-Fateh bukan telah menukar peta politik sertamengubah arah tamadun dunia. Kalau tidak kerana Konstantinopel jatuh pun, Eropah mungkin masih maju, tetapi tidak dengan bentuk, kelajuan dan dominasi seperti hari ini.
Demikianlah, kisah bagaimana satu kemenangan di pihak Islam telah menjadi pencetus kepada kebangkitan Eropah.




No comments yet